1 January, 2019

Penghapusan tol motosikal


Pampasan bagi menghapuskan tol motorsikal di Jambatan Pulau Pinang dan di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) diumum sebagai RM20 juta..

Tetapi, Menteri Kewangan tidak menjelaskan dengan telus jika kos RM20 juta ini ialah untuk pampasan tahunan ataupun untuk mansuhkan tol bagi selama-lamanya.

Kemungkinan besar kos RM20 juta hanya pampasan setiap tahun.

Jika ini benar-benar kos pampasan tahunan, maka ini bukan mansuhkan tol untuk motorsikal seperti diumum dengan bangga oleh Menteri Kewangan.

Untuk minggu ini sahaja, kerajaan PH akan mengutip sekitar RM140 juta dari cukai tersembunyi petrol yang sekurang-kurangnya 30 sen satu liter kerana tidak mengurangkan harga petrol.

Satu minggu sahaja, cukai tersembunyi ini cukup untuk membayar pampasan RM20 juta tol motorsikal itu 7 kali ganda.

Bayangkan bahawa kerajaan PH telah mengutip cukai tersembunyi ini untuk tempoh lebih dari dua bulan akibat kejatuhan harga minyak dunia. Mereka tak bagi subsidi minyak kepada rakyat tetapi rakyat yang bagi subsidi kepada mereka.

Rakyat berhak untuk terus mendesak PH menepati janji manifesto untuk mansuhkan semua tol di Malaysia tetapi perlu berhati-hati ini bukan hasil dari cukai petrol tersembunyi yang ditibai secara senyap-senyap dari kita juga.