19 August, 2016

Perjalanan Merealisasi 40,000 Aspirasi


Kenyataan Media pada Mesyuarat Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera

1. Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera yang baru sahaja selesai diadakan sebentar tadi.

2. Sukacita saya umumkan bahawa pada bulan Ogos 2016, Yayasan Peneraju telah berjaya mencapai sasaran membangunkan 10,000 bakat Bumiputera yang telah menerima pembiayaan di bawah tiga program terasnya iaitu program Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.

3. Ini bermakna 25% daripada sasaran membangunkan 40,000 bakat Bumiputera menjelang tahun 2020 telah berjaya dicapai dengan pengenalan 117 program dengan perbelanjaan sekitar RM206 juta. Tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat.

4. Fokus Yayasan Peneraju amat jelas melalui segmen-segmen pembiayaan akademik, skil dan profesional. Bagi program skil, melalui pengenalan program-program pembiayaannya, Yayasan Peneraju juga mengetengahkan usaha untuk mengarus perdanakan program pembangunan dan peningkatan kemahiran bakat Bumiputera menerusi latihan teknikal dan vokasional atau TVET di mana 75% daripada fokus Yayasan Peneraju merupakan program-program menjurus ke arah peningkatan kemahiran.

5. Menjelang tahun 2020, Yayasan Peneraju akan melatih 30,000 penerima faedah Program Peneraju Skil. Setakat Jun 2016, dibawah Teras Peneraju Skil sebanyak 63 program telah dilaksanakan melibatkan 5,019 penerima faedah dan pelaburan berjumlah RM51.6 juta.

WhatsApp Image 2016-08-19 at 15.40.22

6. Dalam Rancangan Malaysia ke-11, Yayasan Peneraju diberi mandat oleh kerajaan untuk memperluaskan lagi latihan kemahiran dan program profesional bertauliah bagi membangunkan tenaga kerja mahir Bumiputera. Khusus untuk program kemahiran, Yayasan Peneraju mempunyai dua segmen sasaran iaitu;

7. Yang pertama, Program Peneraju Skil Iltizam yang menyasarkan belia berumur antara 17 sehingga 23 tahun yang kurang cenderung akademik, malahan yang tidak tamat persekolahan juga diserap.

8. Yang kedua, Program Peneraju Skil yang menyasarkan pelatih yang berumur sehingga 40 tahun yang ingin meningkatkan kemahiran mereka atau ‘upskill’ ke peringkat yang lebih tinggi.

9. Program-program ini menyediakan pensijilan industri dan antarabangsa, jaminan pekerjaan dan laluan kerjaya yang membantu ke arah pendapatan yang lebih tinggi.

10. Sudah ramai lepasan program yang kini berjaya mendapat pekerjaan dengan pendapatan yang lumayan. Sebahagian kisah kejayaan mereka ini telah dibukukan dan dilancarkan oleh saya sendiri pada Disember tahun lepas yang berjudul ‘# iniceritasaya’.

11. Saya tertarik untuk berkongsi kisah saudara Mohd Zulfadly Abdul Razzaq yang berasal dari Perak. Zulfadly bekerja sebagai welding technician dengan gaji sebanyak RM3,000 sebulan, sebelum menyertai program Peneraju Skil pada tahun 2014 dengan kelayakan SPM. Selepas tamat latihan selama 2 minggu, Zulfadly ditawarkan bekerja sebagai Piping Field Engineer di sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa dengan gaji purata RM17,000 sebulan.

12. Saya teruja kerana beberapa “anak-anak” Yayasan Peneraju turut hadir bersama kita pada hari ini untuk berkongsi kisah mereka.

WhatsApp Image 2016-08-19 at 15.40.17

13. Yayasan Peneraju kini berusaha untuk menarik minat lebih ramai rakan penaja dan rakan program untuk membantu menjayakan agenda nasional ini. Sumbangan dana adalah sangat penting bagi memastikan kelangsungan program-program di bawah Yayasan Peneraju dalam usaha merealisasi aspirasi untuk mencapai sasaran 40,000 penerima faedah menjelang tahun 2020.

14. Di sini saya menyeru agar syarikat-syarikat korporat, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana, IPTA dan IPTS serta institusi latihan untuk tampil kehadapan menyalurkan sumbangan dan sokongan berterusan baik dari segi suntikan dana, “benefit in kind” atau peluang kerjasama kepada Yayasan Peneraju.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles