17 November, 2015

Perjumpaan Bersama Wakil Perniagaan Amerika Syarikat


Ketika di Manila, saya telah bertemu dengan wakil-wakil daripada Majlis Perniagaan APEC-Amerika Syarikat.

Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP). Kesemua mereka mengalu-alukan keahlian Malaysia di dalam TPP.

Mereka turut menyampaikan penghargaan kepada Malaysia di atas usaha kita untuk menyelesaikan proses rundingan yang kini masih dalam peringkat domestik.

Menurut wakil-wakil perniagaan di Majlis ini, TPP akan menjadikan Malaysia dan mana-mana negara terlibat lebih kompetitif, serta mengalu-alukan negara ASEAN lain mengikut jejak langkah Malaysia.

Selain itu, mereka turut memuji pendekatan ‘business friendly ’ atau mesra niaga Kerajaan Malaysia dan pulangan daripada pelaburan mereka di Malaysia.

Ini membuktikan bahawa dasar-dasar Kerajaan, antaranya Dasar Transformasi Ekonomi, berkesan dan telah mendapat sambutan negara luar terutamanya dalam kalangan komuniti perniagaan.