26 May, 2017

Perutusan Ramadan 1438H/2017M Perdana Menteri


1. Alhamdulillah, bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam telah pun tiba. Kedatangan Ramadan al-Mubarak memang cukup bermakna untuk kita umat Islam tidak kira di Malaysia mahupun di serata dunia.

2. Dalam bulan inilah diturunkan kitab suci Al-Quran sebagai bimbingan serta panduan buat kita umat Islam, dan sepanjang 30 hari, kita semua menggandakan amal ibadat dengan berpuasa, menunaikan solat terawih, mempamerkan kesabaran dan istiqamah, serta memupuk sifat muhasabah dan kemurahan hati.

3. Di Malaysia, bulan Ramadan bukan sahaja disambut oleh umat Islam. Kemeriahan berbuka puasa bersama-sama telah menjadi sebahagian daripada cara hidup rakyat Malaysia. Setiap hari, ukhuwah sesama kita dirapatkan lagi dengan pelbagai aktiviti yang memupuk semangat perpaduan. Sikap hormat-menghormati sesama rakyat Malaysia terhadap amalan keagamaan atau budaya orang lain tetap menjadi kebanggaan kita di serata dunia.

4. Semoga Ramadan tahun ini mengangkat lagi tahap ketakwaan kita sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada umat terdahulu agar kamu bertakwa”.

5. Semoga negara akan sentiasa dirahmati, mendapat barakah dan maghfirah yang dijanjikan Allah SWT di bulan ini. Pada kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada anda dan keluarga.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles, Official Addresses