PPA1M Selasih Presint 17 Putrajaya

By Monday June 19th, 2017 Blog, Featured Articles

Agenda pembangunan perumahan mampu milik sentiasa dititikberatkan di bawah pentadbiran saya, di mana kerajaan telah dan akan terus membangunkan projek-projek seperti PR1MA, RUMAWIP, Rumah Mesra Rakyat, PPR, Perumahan Generasi Baru FELDA dan yang saya hadiri hari ini, PPA1M.

Majlis penyerahan kunci Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia Selasih Presint 17 di Putrajaya ini adalah satu lagi projek yang menjadi bukti keprihatinan serta slogan Rakyat Didahulukan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Bagi PPA1M, sasaran utamanya adalah pemilikan rumah bagi para penjawat awam kerajaan daripada golongan B40 dan M40.
Sebanyak 200,000 unit kediaman PPA1M disasarkan untuk dibina, dengan kesemua rumah mampu milik tersebut ditetapkan pada harga di bawah RM300 ribu, harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.

Daripada sasaran jumlah tersebut, 126 ribu unit telah diluluskan manakala 3,563 unit sudah siap untuk diduduki. Bakinya Insya-Allah, kini dalam berbagai peringkat pelaksanaan dan akan siap menjelang 2020 nanti.

Hari ini, saya berbesar hati menyampaikan kunci 1,000 unit kediaman PPA1M Selasih Presint 17 kepada para penjawat awam bertuah, yang kebanyakannya terdiri daripada kumpulan gred 41 dan ke bawah.Suka juga saya kongsikan di sini betapa beruntungnya pemilik PPA1M Selasih ini, di mana subsidi Kerajaan bagi setiap unit rumah adalah antara RM25,000 hingga RM38,000 seunit bergantung kepada saiz rumah.

Contohnya, harga pasaran sebenar tanpa subsidi kerajaan bagi seunit rumah berkeluasan 1,500 kaki persegi adalah RM338,000, tetapi para penjawat awam cuma perlu membayar RM300,000 sahaja.
Tambahan kepada itu, setelah  mengambil kira kadar tanggungan, serta bagi memberi lebih nilai kepada para penjawat awam, Perbadanan Putrajaya bersetuju menurunkan kadar bayaran bulanan menyelenggara PPA1M ini kepada 16 sen sekaki persegi, dikurangkan daripada 20 sen sekaki persegi sebelum ini.Para penjawat awam adalah tunjang pentadbiran negara dan Kerajaan Persekutuan amat menghargai serta akan sentiasa berusaha menjaga kebajikan dan keperluan mereka.

Penyerahan kunci hari ini adalah sebahagian daripada usaha tersebut, dan sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada semua pemilik unit perumahan di sini, semoga kehidupan anda dan keluarga lebih selesa selain kualiti kehidupan turut menjadi lebih sempurna di PPA1M Selasih Presint 17 Putrajaya, Insya-Allah.