26 May, 2016

PPA1M Taman Metropolitan Kepong


Petang tadi saya menghadiri Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M di Taman Metropolitan Kepong.

Projek ini amat dekat di hati saya, dan adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat, dalam hal ini untuk para penjawat awam Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Negeri atau Tempatan, Badan Berkanun Persekutuan dan Badan Berkanun Negeri.

ppa1m-1

Saya dimaklumkan bahawa untuk projek PPA1M ini, sebanyak 5,027 penjawat awam telah memohon, dan daripada jumlah itu seramai 1,230 layak dan ditawarkan untuk membeli unit di sini.

Saya sempat bertemu sebahagian daripada mereka dan menyampaikan surat pembelian kepada mereka.

Antaranya Mohd Hairulazlan Mohd Kamal, anggota bomba yang bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur. Saya berkongsi kegembiraannya yang bakal memiliki rumah sendiri pada usia yang muda. Tahniah saya ucapkan.

ppa1m-2

Puan Sarasvathy pula bekerja di Sekolah Kebangsaan La Salle (1) Jinjang dan menetap bersama suami serta 2 orang anaknya di Perumahan Panjang DBKL. Semoga selepas ini kehidupan beliau lebih selesa di rumah baru yang lebih luas juga dilengkapi pelbagai kemudahan berdekatan.

ppa1m-3

Bagi mereka yang tahu mengenai nilai hartanah di kawasan ini, harga RM90,000 hingga RM300,000 bagi sebuah unit pangsapuri PPA1M di Taman Metropolitan ini adalah amat murah untuk unit yang berkeluasan daripada 850 kaki persegi sehingga 1,500 kaki persegi. Tahniah kepada semua yang terpilih memiliki rumah di sini.

Meskipun projek ini dibangunkan oleh pihak swasta, tetapi kita mampu menawarkan harga rendah kerana adanya input daripada kerajaan serta penggunaan pelbagai kaedah seperti cross-subsidy dan sebagainya. Tahniah saya ucapkan kepada pihak pemaju serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan projek ini.

ppa1m-4

Kerajaan telah meletakkan sasaran untuk membina 100,000 unit rumah PPA1M menjelang tahun 2018, dan sukacita saya maklumkan bahawa setakat hari ini, sebanyak 82,012 unit PPA1M sudah diluluskan kerajaan, bermakna kita tidak jauh daripada mencapai sasaran tersebut.

Perumahan mampu milik adalah antara keutamaan tertinggi kerajaan dan pelaksanaannya sedang dan akan terus giat kita jalankan bagi memenuhi aspirasi dan impian rakyat, Insya-Allah.