24 February, 2018

Program SL1M Peringkat Zon Tengah 2018


Kerajaan amat prihatin dalam isu pengangguran, terutamanya dalam kalangan anak muda. Oleh itu pada tahun 2011, Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) telah dilancarkan untuk membantu graduan menganggur meningkatkan tahap keupayaan diri dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja seterusnya meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

Ini secara langsung memberi peningkatan mobiliti sosial kepada graduan dan keluarga mereka. Saya percaya jika seorang anak berasal daripada sebuah keluarga yang susah mendapat peluang pendidikan dan kemudiannya mendapat pekerjaan, nescaya nasib dan masa depan seluruh keluarga itu akan bertambah baik.

Dan Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, lebih daripada 140,000 graduan telah dibawa masuk ke dalam tenaga kerja dan diberi latihan melalui program SL1M.

Tengah hari tadi, saya gembira dapat lihat kehadiran ramai anak-anak yang penuh semangat dan harapan di roadshow Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Tengah 2018, mencari peluang pekerjaan sambil memeriahkan aktiviti, berkunjung ke booth jualan dan pameran.

Saya juga cukup gembira dengan kisah-kisah kejayaan yang dikongsikan tadi. Antaranya kisah hidup saudara Max Lionel Teo dari Kota Kinabalu, yang keluarganya tidak mampu membeli tiket kapal terbang ke Pulau Pinang untuk dia menyambung pelajaran di Universiti Sains Malaysia. Melalui insentif Kerajaan sebanyak RM1,000 untuk anak Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung Malaysia, beliau melanjutkan pelajarannya di peringkat ijazah dan kini sedang giat menjalani Latihan SL1M di Petronas.

Saudari Zetty Ilyda pula, seorang pelatih SL1M yang berasal dari suku kaum Jakun di Pahang, kini telah diserap masuk dan menjawat jawatan tetap di Boustead Holding Berhad.

Saya juga amat tertarik mendengar kisah seorang anak peneroka FELDA, saudara Zairul Anuar yang telah menganggur selama lebih setahun dan akhirnya mendapat peluang pekerjaan di bawah SL1M-UMW Graduate Enhancement Programme. Kini, beliau memegang jawatan sebagai Penolong Pengurus di UMW Toyota Motors Sdn Bhd.

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua peserta SL1M dan saya harap kejayaan anda terus memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pertama sekali, saya ingin tekankan bahawa perancangan atau insiatif yang hendak dilaksanakan oleh Kerajaan tidak akan mencapai matlamat yang dihasratkan tanpa sokongan pelbagai pihak. Justeru itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua syarikat-syarikat GLC dan swasta yang turut serta dalam program SL1M atas sokongan dan komitmen yang diberikan.

Saya difahamkan, kesemua syarikat-syarikat GLC dan swasta telah menyumbang kira-kira RM2 bilion sejak tahun 2011 untuk menjayakan Program SL1M sehingga ke hari ini. Syarikat-syarikat ini bukan sahaja telah meningkatkan kebolehpasaran lebih 140,000 para graduan kita, malah, mereka telah secara tidak langsung memperkasakan modal insan negara.

Pada tahun lalu, saya juga telah mengarahkan agar semua syarikat yang mendapat kontrak perolehan Kerajaan diwajibkan untuk melaksanakan program SL1M. Selain itu, satu pra-syarat juga ditetapkan bahawa syarikat yang sedang atau pernah melaksanakan Program SL1M sahaja akan dipertimbangkan dalam penganugerahan kontrak baru dari Kerajaan. Mengikut Pekeliling Perbendaraan PK 1.2, syarikat harus memperuntukkan 1 peratus dari nilai kontrak yang diterima dari Kerajaan untuk melaksanakan Program SL1M.

Jika dahulu SL1M sukar mendapatkan sokongan syarikat, namun semenjak pelaksananaan pekeliling ini, kira-kira 25 syarikat setiap bulan telah berdaftar dengan SL1M. Saya diberitahu, dalam program temu duga SL1M kali ini, ada lebih 150 majikan yang akan menawarkan lebih 15,000 peluang pekerjaan.

Saya juga telah umumkan bahawa elaun bulanan pelatih-pelatih SL1M akan dinaikkan kepada RM2,000 daripada RM1,500 sebentar tadi dan saya harap kenaikan elaun ini dapat memberi manfaat yang lebih baik kepada pelatih-pelatih SL1M pada tahun ini.

Kedua, usaha kerajaan untuk membantu graduan-graduan tidak berhenti di takat itu sahaja. Semasa Bajet 2018, saya telah menyarankan agar diwujudkan pusat sehenti di semua UTC negeri untuk menyediakan khidmat nasihat profesional berkenaan peluang pekerjaan serta latihan.

Bermula Januari tahun ini, sebanyak 12 Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan telah mula beroperasi di UTC di seluruh negara. Penubuhan pusat sehenti ini merupakan kerjasama beberapa agensi seperti SL1M, Unit Peneraju Agenda Bumiputra (Teraju), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB). Kerjasama seperti ini harus diperluaskan lagi agar lebih ramai golongan yang akan mendapat manfaat daripada program ini.

Ketiga, sukacita saya maklumkan bahawa program SL1M telah mendapat pengiktirafan antarabangsa. Sekretariat SL1M telah diundang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Belanda dan juga Korea Selatan pada tahun lepas untuk berkongsi manfaat Program SL1M di persada antarabangsa. Melalui perkongsian pengetahuan seperti ini, saya difahamkan negara seperti Oman, Sri Lanka dan Colombia berharap dapat mengaplikasikan modul SL1M di negara mereka.

Akhir sekali, saya ingin mengajak anak-anak muda di luar sana yang sedang mencari kerja untuk menggunakan platform SL1M ini sebaik-baiknya. Saya harap anda rebut peluang yang disediakan. Persiapkan kelengkapan temu duga, teguhkan keyakinan diri dan jangan sia-siakan platform yang diberi. Gunakanlah Program SL1M ini sebagai a stepping stone for a better future. Insya-Allah.