25 November, 2016

Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia


Setiap tahun, semasa saya meminta pandangan ramai untuk Bajet tahunan, kategori Perumahan selalu berada di antara kategori pilihan utama rakyat Malaysia.

Selaras dengan itu juga, setiap tahun saya akan memberikan perhatian kepada kategori Perumahan dalam Bajet dengan pelbagai inisiatif seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M, dan banyak lagi.

Salah satu inisiatif tersebut adalah Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia atau RMR1M yang diterajui oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad. Inisiatif ini bermula pada tahun 2002 dan menumpukan kepada bantuan buat golongan berpendapatan rendah seperti pesawah, pekebun, nelayan dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang dan daif tetapi mempunyai tanah untuk membangunkan kediaman sendiri.

Alhamdulillah, hari ini saya dapat hadir di Kampung Bukit Changgang di Kuala Langat untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran RMR1M: 10,000 Hasrat Satu Impian selain melawat rumah dan bertemu sendiri dengan 2 keluarga yang telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

Rumah pertama saya lawati adalah rumah Encik Shahril, yang bekerja sebagai penternak. Sebelum ini beliau menumpang bersama isteri dan 2 orang anaknya di rumah kampung bapa. Alhamdulillah setelah memohon pada tahun 2012, permohonan mereka diluluskan dan mereka dapat mula tinggal di rumah baharu pada April 2013.

RMR1M - En Shahril

Saya juga singgah di rumah Puan Haizum yang bekerja sebagai pembantu pengurusan murid di Sekolah Kebangsaan RTB berdekatan. Alhamdulillah kini dia dan suami serta anak-anak dapat kediaman sendiri atas tanah pemberian bapa, rumah yang selesa dan dekat dengan tempat kerja.

RMR1M - Pn Haizum

Konsep RMR1M ini sangat menguntungkan, di mana Kerajaan memberikan subsidi langsung sebanyak RM20,000 untuk pembinaan setiap unit rumah, selain subsidi faedah pinjaman sebanyak 2 peratus atau RM11,000. Ini bermakna bayaran bulanan untuk Encik Shahril, Puan Haizum dan pemohon-pemohon lain adalah serendah RM150 sahaja.

Dalam pelancaran hari ini, saya menyampaikan sijil kelayakan subsidi kepada 10 lagi pemohon, simbolik kepada 10,000 pemohon RMR1M yang layak.

10 penerima

Setakat hari ini, sebanyak 36 ribu buah rumah RMR1M telah dibina. Tambahan kepada itu, dalam Bajet 2016, saya umumkan 10 ribu unit lagi, manakala Bajet 2017 baru-baru ini saya tambah lagi 5,000 unit rumah.

Tetapi memandangkan RMR1M ini begitu popular, dan sambutan yang diberi begitu menggalakkan, Kerajaan akan menimbangkan untuk tambah lagi bilangan RMR1M, Insya-Allah.

Pembinaan rumah-rumah ini adalah sebahagian daripada AkuJanji yang telah kerajaan Barisan Nasional tepati, untuk menyediakan dan menunaikan impian rakyat memiliki kediaman sendiri yang selesa dan berkualiti.

Insya-Allah, kita akan terus sediakan lebih banyak perumahan dan projek-projek berpaksikan rakyat seperti ini, sejajar dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles