25 March, 2015

Sambutan Hari Polis Ke-208


Pagi tadi saya telah menyambut Hari Polis Ke-208 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur bersama dengan warga Polis Diraja Malaysia.

Seringkali kita melihat anggota-anggota polis berdepan dengan risiko yang tinggi dan sedia menggadaikan nyawa hanya untuk memastikan masyarakat kita kekal aman dan harmoni.

Daripada peristiwa Bukit Kepong pada 1950 ke pemberontakan komunis pada 60an ke peristiwa Memali pada 80an dan baru-baru ini pencerobohan di Lahad Datu pada 2013, segala usaha, peluh dan darah yang tumpah itu tidak akan hilang dari ingatan kita seumur hidup ini.

Tiada sesiapa yang dapat menafikan bahawa elemen-elemen keganasan yang mula kelihatan di negara-negara asing dapat dicegah melalui perisikan dan penguatkuasaan undang-undang agar tidak berlaku di Malaysia dan menambah kepada sejarah yang sedia ada. Saya yakin bahawa pelaksanaan Akta Pencegahan Keganasan nanti amat penting kepada PDRM dalam usaha mereka menangani elemen-elemen tersebut demi keselamatan negara kita.

Di samping itu, Kerajaan juga akan mengekalkan dan memperkukuhkan Akta Hasutan bagi memastikan keharmonian antara agama dan kaum di negara ini terjamin.

Hakikatnya, cabaran PDRM bertambah kompleks dan sukar mengikut masa.

Walaupun begitu, jarang saya mendengar ucapan terima kasih kepada wira-wira negara seperti mereka yang menjalankan tugas dengan bersih, cekap dan amanah tanpa mempedulikan segala risiko, tohmahan, fitnah dan tuduhan yang tidak berasas yang dilemparkan kepada mereka.

Hari ini, saya mengajak semua untuk berdoa agar roh mereka yang terkorban ketika bertugas dicucuri rahmat serta mengurniakan kesejahteraan kepada anggota-anggota PDRM dan keluarga yang banyak berjasa kepada Malaysia.

IMG-20150325-WA0074

IMG-20150325-WA0075

IMG-20150325-WA0077_1

IMG-20150325-WA0076