15 October, 2016

Sambutan Ulang Tahun ke-60 UiTM


Saya di Universiti Teknologi Mara semalam untuk Sambutan Ulang Tahun ke-60. Saya melihat sebuah institusi yang cukup moden, dengan kampus yang tersergam indah. Sejarah penubuhan UiTM, atau pada ketika itu ITM ini sebenarnya amat dekat di hati saya dan keluarga. Pada 14 Oktober 1967, batu asas kampus Shah Alam ini, ditempatkan oleh Ayah saya, Allahyarham Tun Abdul Razak.

UiTM bagi saya adalah sebuah institusi yang telah mengubah lanskap sosio ekonomi negara kita, khususnya orang Melayu dan Bumiputera hari ini. Malah, sekiranya kita ingin mengenal pasti satu badan atau institusi yang telah menjadi penyumbang besar kepada pembangunan modal insan, tidak lain dan tidak bukan adalah UiTM.

Ada yang kata, UiTM itu singkatan untuk ‘Universiti ini tonggak Melayu’. Ada yang kata ia singkatan untuk ‘Universiti ini teras Melayu’. Apapun, kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa UiTM adalah tunjang kepada orang Melayu dan Bumiputera.

Ketika saya menjadi Menteri Pendidikan, wakil daripada ITM bertemu saya dengan hasrat untuk mengangkat ITM menjadi sebuah universiti. Kemudiannya saya telah membentangkan Rang Undang-Undang ITM pindaan 1996 yang diluluskan Dewan Rakyat. Alhamdulillah, dengan status universiti ini, lebih ramai lulusan dan dalam pelbagai peringkat dapat dilahirkan.

Peranan, kesan dan hasil penubuhan UiTM ini boleh dirumuskan dalam 4 dimensi:

PERTAMA: Akses kepada pendidikan tinggi

Salah satu kayu ukur kepada majunya sebuah negara dan bangsa serta tamadun yang hebat dan berjaya adalah dari segi bilangan peratusan rakyatnya yang mendapat akses kepada pendidikan tinggi. UiTM setakat ini telah berjaya melahirkan seramai 661,456 lulusan, antara penyumbang terbesar dalam negara.

KEDUA: Akses kepada pendidikan berkualiti

Antara kriteria yang diguna pakai untuk mengukur kualiti adalah kebolehan pasaran lulusan sesebuah institusi pendidikan. Dalam hal ini, kebolehan pasaran lulusan UiTM adalah antara yang tertinggi di Malaysia.

KETIGA: Mobiliti sosial

Saya percaya sebagai sebuah negara, Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dari segi mobiliti sosial, kerana hanya dalam satu generasi sahaja, anak dari keluarga miskin mampu menjadi seorang profesional yang berjaya dengan cemerlang, dan UiTM antara penyumbang terbesar dalam peningkatan mobiliti sosial ini.

KEEMPAT: “Social Engineering” dalam negara

Ini adalah supaya kita dapat membangunkan masyarakat yang seimbang dan adil buat semua. Program MDAB (Mengubah Destini Anak Bangsa UiTM) adalah contoh terbaik, di mana para pelajar yang kurang berkemampuan, tidak kira di mana mereka berada walau jauh di pedalaman, diberi peluang untuk mengubah nasib mereka.

Alhamdulillah, keempat-empat dimensi ini telah berjaya dilakukan UiTM, dan Insya-Allah akan diteruskan.

Sebagai sebuah kerajaan, dari zaman Allahyarham Ayahanda saya ke zaman saya sebagai Menteri Pendidikan dan kini sebagai Perdana Menteri, saya beri jaminan akan terus menyokong pembangunan UiTM.

Tahun ini kita sambut 60 tahun UiTM, dan Insya-Allah untuk masa depan dan bertahun-tahun lagi UiTM akan terus menjadi institusi kebanggaan tersohor dan menyumbang besar kepada kejayaan bangsa Melayu dan Bumiputera.

Selamat menyambut ulang tahun ke-60 tahun, UiTM.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles