21 May, 2016

Siasatan Tragedi MH17


Saya telah bertemu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, dalam perbincangan dua hala baru-baru ini di Sochi di mana agendanya merangkumi isu tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada tahun 2014.

WhatsApp-Image-20160521

Selepas hampir dua tahun tragedi ini berlaku, sudah pasti ada di kalangan keluarga yang kecewa dan mahukan jawapan dan keadilan segera.

Saya faham dan mengerti rasa sedih dan keperitan yang dialami oleh pihak keluarga mangsa. Saya sendiri kehilangan nenek tiri saya, Allahyarhamah Puan Sri Siti Amirah Prawira Kusuma, dalam tragedi ini.

Namun begitu, saya memohon agar semua pihak tidak melakukan sebarang spekulasi dan kesimpulan awal.

Saya lihat bahawa kita telah memulakan langkah yang positif ke arah menuntut keadilan untuk ahli keluarga dan mangsa tragedi MH17 apabila saya dan Presiden Rusia mencapai persetujuan bahawa tindakan lanjut akan ditentukan selepas keputusan siasatan dibentangkan oleh Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) pada bulan Oktober ini.

WhatsApp-Image-20160522

Dalam perbincangan itu juga, saya telah menegaskan pendirian Malaysia bahawa kami mahukan penyelesaian kepada tragedi ini berdasarkan proses keadilan. Dalang di sebalik tragedi ini perlu dibawa ke muka pengadilan.

Saya berharap agar pihak keluarga dapat memberi peluang dan masa kepada kerajaan untuk mengendalikan isu ini dan memimpin penuntutan keadilan menerusi segala proses undang-undang antarabangsa. Kerajaan akan mengusahakan agar semua pihak mendapat penjelasan dan penutup yang memuaskan dalam isu ini.

Saya doakan kesemua keluarga mangsa terus sabar menghadapi dugaan ini.