26 April, 2017

Sidang Kemuncak ASEAN ke-30


Insya-Allah, esok saya akan bertolak untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 di Manila, Filipina. Istimewanya sidang kali ini, ia juga adalah ulang tahun ke-50 sejak Deklarasi Bangkok ditandatangani oleh Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Malaysia sebelum diikuti oleh negara-negara Asia Tenggara lain seperti Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja pada tahun-tahun berikutnya.

Sejak tarikh itu, rantau dan negara-negara anggota Asia Tenggara telah berkembang pesat dan melangkah jauh, bukan sahaja dari segi pencapaian setiap negara secara individu, tetapi juga pencapaian kita sebagai sebuah rantau, hinggakan layaklah ASEAN digelar sebagai antara himpunan negara-negara serantau paling berjaya di dunia.

Selain daripada keharmonian dan hubungan baik antara negara-negara di rantau ini, kita juga boleh berbangga dengan pengukuhan ekonomi rantau ASEAN, contohnya Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK per kapita yang meningkat ketara sebanyak 76 peratus antara 2010 hingga 2016.

Malah, KDNK ASEAN pada tahun 2016 sebanyak USD 2.5 trilion meletakkan rantau ini pada kedudukan ekonomi ke-7 terbesar dunia, dan berdasarkan unjuran, pakar-pakar ekonomi dunia yakin bahawa ASEAN mampu melonjak menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang tahun 2050.

Namun, bagi mencapai matlamat itu, hubungan dan kerjasama erat antara kesemua 10 buah negara di Asia Tenggara bukan sahaja perlu terus kita kekalkan, tetapi juga perlu ditingkatkan dan ditambah baik lagi dari masa ke masa, dan sidang kemuncak ASEAN adalah landasan terbaik bagi mencapai objektif tersebut.

Saya percaya, selagi mana rantau ini terus kekalkan keeratan dan kerjasama antara negara-negara anggota, selagi itu ASEAN akan terus mampu berkembang lebih maju, lebih berjaya, dan membawa manfaat kepada setiap negara anggota dan rakyatnya.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles