27 January, 2018

Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India 2018, New Delhi


Alhamdulillah lawatan kerja saya ke India untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India telah selesai dengan jayanya. Saya dan pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain telah mengalu-alukan hasrat India untuk mempertingkatkan kerjasama maritim antara ASEAN dan India dengan menjadikannya sebagai satu keutamaan dalam hubungan strategik kedua-dua pihak.

Saya telah tekankan bahawa ASEAN dan India harus terus menggalakkan kerjasama serantau dari segi keselamatan maritim terutamanya pembinaan keupayaan, pertukaran dan perkongsian maklumat yang boleh menghalang serta memerangi kegiatan jenayah di laut termasuk ancaman-ancaman tidak konvensional seperti keganasan dan ektremisme serta kegiatan lanun.

Saya percaya kerjasama strategik dalam bidang maritim ini menunjukkan bahawa kita berupaya meraih potensi yang besar lebih-lebih lagi melalui penggunaan sumber maritim secara bersama dengan kaedah pembangunan mampan dan sentiasa menekankan pemeliharaan alam sekitar.

Setelah selesai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India, saya berpeluang untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi untuk membincangkan isu-isu dua hala antara Malaysia dan India. Antara perkara yang dibangkitkan adalah berkenaan kenaikan kadar duti minyak sawit kepada 30% daripada 15% sebelum ini oleh kerajaan India. Saya telah mencadangkan agar perkara ini dipertimbangkan supaya tidak memberi kesan kepada pembelian minyak sawit kerana India adalah pembeli ke-2 terbesar minyak sawit negara. Saya juga telah mengetengahkan agar India meningkatkan pembelian minyak sawit daripada Malaysia.

Malaysia dan India berhasrat meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan termasuk mengadakan latihan ketenteraan udara bersama khususnya penugasan taktikal pesawat Sukhoi. Perdana Menteri Modi juga telah mencadangkan bahawa pasukan Tentera Udara India singgah di Malaysia untuk mengadakan latihan bersama semasa mereka dalam perjalanan balik atau pergi untuk misi yang sama bersama Australia. Sudah pasti Malaysia akan mendapat manfaat daripada latihan ini terutama sekali dari segi penugasan taktikal dan penyelenggaraan pesawat Sukhoi.

India juga telah menyatakan hasrat mereka untuk mengadakan kerjasama antara kedua-dua angkatan laut termasuk latihan taktikal untuk kapal selam Scorpene. Jelas bahawa pembangkang sekali lagi terperangkap dalam penipuan mereka apabila sebelum ini, mereka mendakwa bahawa kapal selam kita tidak boleh beroperasi.

Saya berasa gembira apabila Perdana Menteri Modi menyatakan hasrat beliau untuk meningkatkan kerjasama bidang ‘de-radicalization’, yang mana beliau telah mencadangkan agar satu persidangan diadakan dengan Malaysia sebagai tuan rumah bersama.

Semasa lawatan saya ke India pada April 2017, kedua-dua Kerajaan telah bersepakat untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak USD15 bilion menjelang tahun 2020. Saya gembira untuk mengumumkan bahawa, dari Januari hingga November 2017, jumlah perdagangan dua hala Malaysia dengan India meningkat sebanyak 22.3% kepada USD13.12 bilion berbanding USD10.73 bilion dalam tempoh yang sama pada 2016. Ternyata kerjasama dan hubungan baik Malaysia-India telah membuahkan hasil yang secara langsungnya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Dari segi pelaburan pula, 4 Memorandum Persefahaman (MoU) telah berjaya ditandatangani ketika lawatan ini, iaitu:

i) MoU antara SME Corp Malaysia dan National Small Industries Corporation India bagi meningkatkan kerjasama dalam usaha pembangunan PKS di kedua-dua buah negara di samping meningkatkan daya saing di pasaran antarabangsa;

ii) MoU antara Malamega Ltd dan Puspathy Enclave Pvt Ltd bernilai USD20 juta untuk sektor tenaga dan bahan api;

iii) MoU antara JS Rezeki Bumi Maju Sdn Bhd dan GA Software Technologies Pvt Ltd bernilai USD5 juta untuk menyediakan sistem perkhidmatan automasi yang berasaskan ‘artificial intelligence’ untuk Jabatan Imigresen Malaysia; dan

iv) MoU antara Orchid Life Sdn Bhd dan Vimta Labs Ltd bernilai USD 960,000 untuk kajian pra klinikal dan klinikal ke atas ekstrak kacip fatimah bagi kegunaan anti-obesiti.

Saya juga ambil maklum bahawa kerajaan India telah meluluskan penambahan 1,861 orang penumpang kapal terbang dari Malaysia setiap minggu sejak lawatan saya ke India pada tahun lepas, dan penambahan ini telah digunakan pada kadar hampir 99%. Oleh itu, saya telah meminta pertimbangan Perdana Menteri Modi untuk meningkatkan lagi peruntukan bilangan penumpang kapal terbang daripada Malaysia.

Akhir sekali, saya ingin menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri Modi atas jemputan untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India dan layanan yang baik sepanjang lawatan kerja saya. Tahniah juga kepada beliau dan Kerajaan India atas segala persiapan teratur untuk jayakan satu program yang cukup bermakna ini. Saya percaya ini menandakan betapa pentingnya hubungan baik antara India dan ASEAN, lebih-lebih lagi apabila buat pertama kalinya semua pemimpin ASEAN diberi pengiktirafan dan dijemput untuk menyaksikan sambutan Hari Republik yang ke-69 di New Delhi.

Shares Share Kategori : Blog, Press Statement