11 November, 2015

Skim Latihan 1Malaysia


shafie2

Petang tadi, saya dapat bersama para graduan dan pelatih di bawah Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), satu program di bawah Unit Perancang Ekonomi dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat-syarikat swasta yang berperanan membangunkan modal insan untuk memacu pembangunan negara.

Ada graduan-graduan yang walaupun lulus pengajian di Universiti dengan cemerlang tetapi tidak dapat tawaran pekerjaan atas sebab-sebab tertentu seperti kekurangan dari segi keyakinan, sifat kepimpinan, kemahiran persembahan idea, perubahan dari segi minat dalam sektor tertentu dan sebagainya.

Oleh sebab itu, Kerajaan telah merangka pelbagai program dan inisiatif bagi membantu graduan-graduan meningkatkan kebolehpasaran mereka seperti SL1M yang setakat ini telah melatih semula seramai 10,000 graduan.

shafie1

Antaranya ialah Muhd Shafie yang telah menjalani latihan dalam sektor Komunikasi Korporat walaupun ijazahnya adalah dalam jurusan perakaunan dari Universiti Islam Antarabangsa. Beliau mendapati minatnya lebih kepada sektor komunikasi ketika di universiti.

Saya berasa bangga apabila diberitahu bahawa SL1M telah banyak membantu beliau untuk mendapatkan kemahiran yang relevan dan membolehkannya mendapat pekerjaan dalam bidang yang diminati. Saya difahamkan beliau kini telah pun mendapat pekerjaan di unit komunikasi korporat di bawah satu syarikat telekomunikasi yang besar di Malaysia.

Kejayaan SL1M yang dapat kita lihat pada hari ini telah mendorong saya untuk mengarahkan agar jumlah bilangan graduan ditambah kepada 15,000 orang pada tahun depan.

Saya berharap lebih ramai lagi yang dapat mengambil peluang dan bantuan kerajaan ini untuk membina kerjaya mengikut minat dan keperluan semasa industri.