23 August, 2016

Syabas dan Terima Kasih, Atlet Malaysia!


Ketika saya berada di Dataran Putrajaya pada hari Sabtu yang lalu bagi menyaksikan perlawanan akhir badminton antara Dato’ Lee Chong Wei dan Chen Long, saya dapat rasakan satu semangat luar biasa daripada rakyat Malaysia. Mungkin belum sampai masanya lagi untuk kita melihat kilauan emas, tetapi apa yang saya saksikan menyentuh hati saya. Seluruh negara bersatu memberi sokongan dan harapan untuk melihat pingat emas pertama Olimpik dibawa pulang ke tanah air. Walaupun lagu Negaraku tidak berkumandang di podium, namun sorakan seluruh negara bergema ke bumi Rio.

Saya masih ingat wajah kecewa Dato’ Lee Chong Wei selepas perlawanan akhir, namun tiada apa yang perlu disesalkan. Sesungguhnya Chong Wei telah melakukan yang terbaik, menggalas harapan Malaysia. Bukan sekali, tetapi tiga kali melangkah ke pertandingan akhir Olimpik berturut-turut bagi merealisasikan impian rakyat Malaysia. Ketahuilah semangat juang anda jauh lebih bermakna daripada segala pingat yang ada.

Olimpik Rio mencatatkan pencapaian terbaik Malaysia setakat ini. Lima pingat yang dibawa pulang Dato’ Lee Chong Wei, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong dan Azizulhasni Awang daripada edisi Olimpik kali ini hasil keazaman dan kedahagaan untuk mengecapi kejayaan sepanjang karier mereka.

Perjalanan mereka bukan mudah. Azizulhasni dan Goh Liu Ying bangkit daripada kecederaan fizikal yang serius tidak lama dahulu. Gabungan Tan Wee Kiong dan Goh V Shem memeranjatkan kita semua, bangkit melawan nama-nama besar sukan badminton di peringkat dunia.

Tidak ada apa yang dapat mematahkan semangat mereka. Ini adalah sebahagian daripada kisah kecekalan yang perlu kita teladani. Semua ini berbekalkan iltizam demi menjulang nama Malaysia di pentas dunia. Walaupun Malaysia memiliki kontinjen yang kecil, namun semangat juang atlet Malaysia tiada tolok bandingnya.

Kini masanya untuk kita semua gandakan usaha. Atlet-atlet muda Malaysia harus fokus pada membina potensi yang ada. Barisan atlet pelapis ini perlu bersedia dengan latihan dan disiplin diri yang cemerlang. Jadikan kisah atlet kita di Olimpik Rio sebagai pengajaran dan galakan untuk membakar semangat anda bagi melakukan yang lebih baik lagi.

Kepada semua 32 atlet yang mewakili Malaysia di Rio 2016, syabas atas pencapaian anda yang bukan sahaja mengharumkan nama negara kita di persada antarabangsa malah berjaya menyatupadukan lebih 30 juta rakyat Malaysia. Jangan ada yang kecewa, jangan ada yang sedih dengan apa jua pencapaian di Rio. Pulanglah ke tanah air dengan perasaan yang bangga, anda semua wira di hati kami!

Saya yakin sukan negara kita akan lebih maju dan boleh mara ke hadapan lagi. Perjalanan ke Tokyo harus kita mulakan, usaha memburu emas kita teruskan. Ayuh, Malaysiaku!

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles