4 August, 2016

Syawal Yang Berlalu Pergi


Sedar tak sedar, sebulan kita beraya berlalu dalam sekelip mata sahaja, kita telah meninggalkan bulan Syawal tahun ini dan mula melangkah masuk ke bulan Zulkaedah pula.

Kalau Ramadan dikenali sebagai bulan penuh keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT, Syawal pula adalah bulan merapatkan silaturahim sesama kita.

Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada kita, di mana Syawal dan sambutan Aidilfitri di Malaysia amat meriah saban tahun, dan tahun ini pun tidak ada bezanya.

Sepanjang bulan Syawal ini, dapat kita lihat di mana-mana, kemeriahan rumah terbuka yang disulami amalan kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi antara ahli keluarga mahupun sahabat-handai, jauh dan dekat.

Bagi umat Islam, usaha merapatkan silaturahim adalah amat dituntut sepertimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Hujurat ayat 10, “Sebenarnya orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”

Tambah kepada itu, baginda Rasulullah SAW juga ada bersabda, dalam hadis Riwayat Bukhari, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat janganlah ia menyakiti jirannya, dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” Wallahu’alam.

Jelas di situ betapa Islam menitikberatkan hubungan silaturahim, bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga, bahkan juga jiran tetangga dan secara tidak langsung sahabat handai dan kenalan.

Alhamdulillah, sepanjang Syawal yang berlalu, saya berkesempatan untuk mengadakan dan juga menghadiri banyak sambutan rumah terbuka, berbual mesra dan bergaul bersama rakyat berbilang bangsa, rakan-rakan dan ahli keluarga.

Di dalam setiap majlis rumah terbuka atau sambutan Aidilfitri yang saya hadiri juga, jelas terpampang kepelbagaian di dalam segenap lapisan masyarakat yang unik kepada kita rakyat Malaysia.

Syawal2Syawal1syawal6

Selain busana Baju Melayu tradisional, sambutan Hari Raya Aidilfitri turut diserikan dengan keunikan pakaian tradisonal masyarakat India seperti sari dan dhoti, diwarnai dengan kecantikan busana ceongsam dan samfu masyarakat Cina, serta banyak lagi.

Dari segi makanan, bukan sekadar juadah tradisional raya seperti rendang, ketupat dan lemang dihidang, ada juga juadah seperti tosai, murtabak, dim sum, cendol dan banyak lagi yang mungkin bukanlah sinonim dengan masyarakat Melayu Islam.

syawal4syawal3syawal5

Di mana lagi kalau bukan di Malaysia dapat kita lihat begitu banyak kepelbagaian dan perbezaan diraikan bersama dalam perayaan dengan begitu meriah, tanpa mengira bangsa dan agama?

Bahkan lebih daripada itu, ia tidak terhad semata-mata kepada sambutan Aidilfitri, kita bertuah di Malaysia dapat menyambut 6 perayaan utama pelbagai agama dan bangsa di dalam takwim persekutuan, yang mana keenam-enam diraikan oleh seluruh masyarakat tidak kira warna kulit.

Inilah kelebihan dan keunikan Malaysia, ‘unity in diversity’, bersatu dalam kepelbagaian.

Setelah berlalunya Syawal tahun ini, sama-samalah kita mengungkap pengertian Syawal, yakni pentingnya usaha merapatkan silaturahim yang harus dilakukan secara berterusan, bukan terhad kepada mana-mana satu bulan, dan berdoalah semoga kita diberi peluang meraikan Syawal di tahun hadapan pula, Insya-Allah.

Salam Akhir Aidilfitri saya ucapkan.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles