18 March, 2016

Tinjauan ke MyFarm Outlet, Putrajaya


Petang tadi saya tergerak hati untuk melawat premis MyFarm Outlet yang terletak di Presint 7, Putrajaya. Turut bersama ialah Ketua Setiausaha Sulit saya, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin.

myfarm1

Alhamdulillah, projek ini telah bermula mengikut perancangan dan berjalan lancar seperti mana yang telah saya umumkan dalam pengubahsuaian Bajet2016 lalu.

Saya lihat bahawa premis yang disediakan oleh kerajaan ini telah membolehkan barangan dan hasil pertanian tempatan dijual dengan lebih murah tanpa melibatkan orang tengah. Antara barangan di sini adalah seperti sayuran, buah-buahan yang dijual 5 hingga 20 peratus lebih murah dari harga pasaran, dan kesemuanya berkualiti tinggi dan segar.

Saya sempat membeli produk tempatan yang dijual seperti ayam kampung, keropok lekor dan madu kelulut dan meluangkan masa berbual dengan para peniaga di sini. Ada seorang peniaga sayur yang beritahu bahawa produknya datang terus daripada ladangnya di Kuala Langat. Saya dimaklumkan juga jumlah jualan di sini mencecah RM120,000 sehari.

myfarm3

Inilah yang kerajaan mahukan – tempat untuk petani dan pengusaha tempatan memasarkan hasil mereka pada harga berpatutan, yang kemudiannya membawa manfaat kepada pengguna.

Kerajaan menerusi FAMA akan terus membuka lagi MyFarm Outlet di 10 lokasi di pusat bandar seluruh negara dalam masa terdekat dan jika mengikut jadualnya, Insya-Allah siap menjelang November ini.

myfarm2

Saya berharap inisiatif kerajaan ini telah dan akan terus membantu sedikit sebanyak menangani kos sara hidup bagi pengguna dan juga meningkatkan pendapatan bagi para petani dan pengusaha tempatan.

Syabas kepada warga Kementerian Pertanian. Teruskan usaha dalam menjayakan inisiatif ini.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles