5 November, 2015

Tinjauan Pelaksanaan Bajet – Hospital Shah Alam


Petang semalam, saya telah berkunjung ke Hospital Shah Alam sebagai salah satu tinjauan pelaksanaan Bajet negara yang dibentangkan oleh Kerajaan.

Selepas menerima taklimat daripada Pengarah Hospital, Dr Hasni Hanapi, dan dibawa melihat sendiri fasiliti dan perkhidmatan yang akan disediakan oleh Hospital Shah Alam termasuk wad, unit hemodialisis, farmasi, dan unit lain, saya yakin ia akan memberi manfaat kepada orang awam di Lembah Klang, khususnya kepada penduduk Shah Alam dan kawasan berhampiran apabila mula beroperasi sepenuhnya kelak.

Untuk makluman, Hospital Shah Alam ini akan menyediakan 14 jenis perkhidmatan klinikal termasuk Kecemasan, Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik Am, Obstetrik dan Ginekologi, Ortopedik, Oftalmologi, Otorinolaringologi (ENT), Perubatan Pemulihan, Anestesiologi (Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi, dan Wad Kebergantungan Tinggi), Pembedahan Oral, Pediatrik Pergigian, Diagnostik dan Perkhidmatan Pengimejan, serta Jabatan Patologi dan Bank Darah.

Ketika ini, hanya klinik pakar, farmasi pakar dan sebahagian daripada Unit Hemodialisis telah mula beroperasi manakala perkhidmatan Pesakit Dalam hanya akan bermula pada bulan Januari tahun depan.

Setakat beroperasi selama sebulan sahaja, Hospital Shah Alam telah mampu memberi khidmat kepakaran kepada 623 pesakit luar dan ini adalah angka yang amat memberangsangkan.

Dengan persediaan rapi oleh pihak Kementerian Kesihatan dan Hospital Shah Alam, saya yakin mereka dapat menampung kadar kehadiran pesakit yang ramai dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti pada kadar yang rendah sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan kepada orang awam berbanding dengan caj yang dikenakan oleh klinik dan hospital swasta.

Sebagai contohnya, Hospital kerajaan tidak mengenakan caj konsultasi kepakaran dan menetapkan kadar yang rendah untuk perubatan dan perkhidmatan lain.

slaid1

Bagi sesiapa yang memerlukan perkhidmatan wad seperti wanita bersalin, caj katil hanya antara RM3-RM80 satu malam di hospital-hospital Kerajaan seperti Hospital Shah Alam. Bandingkan pula dengan caj oleh hospital swasta yang jauh lebih tinggi.

slaid2

Pesakit hemodialisis pula kini hanya perlu membayar RM13 untuk setiap sesi di mana-mana Hospital Kerajaan. Caj perkhidmatan swasta adalah antara RM200-RM250.

Janganlah kita lupa bahawa Kerajaan Barisan Nasional telah lama menyediakan perkhidmatan perubatan dan rawatan berkualiti antara yang terbaik di dunia dan tidak harus dilupakan juga kesemua ini adalah pada kadar yang rendah malah antara yang termurah di dunia.

Kerajaan Barisan Nasional akan meneruskan dasar ini mengikut kemampuan Kerajaan sebagai usaha kita untuk membantu rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan.

Ketika di Hospital Shah Alam, saya juga telah meluangkan masa untuk berbual mesra bersama 24 orang doktor-doktor pakar.

Ada yang menyuarakan cadangan mengenai pengkajian dan penstrukturan semula gred jawatan bagi doktor-doktor pakar dan sistem kenaikan pangkat.

Saya juga diberitahu bahawa hospital ini masih memerlukan ruang bagi penambahbaikan seperti peralatan khusus bagi Pengimejan Resonans Magnet (MRI) yang mampu membantu meningkatkan kapasiti dan rangkaian perkhidmatan di sini.

Saya mengambil maklum akan cadangan dan pandangan yang dikemukakan. Ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk pertimbangan oleh Kabinet dan Kerajaan pada masa akan datang.

Kepada pengurusan dan anggota perubatan Hospital Shah Alam, Kerajaan menghargai persediaan rapi untuk hospital baru ini dan teruskanlah usaha murni anda dalam memberi rawatan kepada mereka yang memerlukan.

IMG_7005

IMG_6940

IMG_6974