24 January, 2017

TPPA dan Ekonomi Malaysia


Baru-baru ini, terdapat gembar-gembur dan desas-desus mengenai kesan daripada pelantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 kepada negara-negara rakan dagangan Amerika Syarikat termasuk Malaysia.

Sepertimana seandainya berlaku sebarang perubahan kuasa di tampuk pemerintahan mana-mana negara, Kerajaan Malaysia memantau dengan teliti polisi dan dasar hubungan antarabangsa negara tersebut dan mengambil langkah proaktif dalam menyesuaikan negara kita berdasarkan sebarang perubahan yang berlaku, selain meningkatkan usaha kita untuk memastikan hubungan dua hala kekal kukuh.

Saya sedar bahawa salah satu perkara yang menjadi buah mulut ramai beberapa hari ini terutamanya dalam sektor pelaburan, perniagaan dan perdagangan adalah mengenai penarikan diri Amerika Syarikat daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPPA.

TPPA adalah sebuah perjanjian perdagangan yang kita yakini akan memberi manfaat kepada bukan sahaja ekonomi kita tetapi juga ekonomi semua negara yang terlibat dan juga rakyatnya. Malaysia bersama 10 negara anggota lain TPPA akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan hala tuju dan langkah selanjutnya selepas penarikan diri Amerika Syarikat ini.

Walau apa pun kesudahan mesyuarat tersebut, ingin saya jelaskan di sini bahawa kita tidak perlu khuatir mengenai keadaan ekonomi Malaysia sekiranya TPPA tidak menjadi kenyataan. Meskipun tanpa TPPA, ekonomi kita mampu kekal teguh, dinamik dan penuh dengan potensi serta peluang bersama rakan dagang sedia ada.

Setakat ini, Malaysia mempunyai hubungan dua hala yang kukuh bersama negara seperti China dan Jepun, malah kita menjangkakan nilai dagangan tahun ini antara Malaysia dan China akan mencecah USD 100 bilion.

Kita juga adalah ahli kepada Perjanjian Perdagangan Bebas Serantau ASEAN serta mempunyai FTA dua hala bersama negara-negara seperti India, New Zealand dan Australia.

Pada masa sama, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga sedang mengkaji usaha mewujudkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala bersama beberapa ahli TPP.

Tambahan kepada itu, kita juga akan meneruskan usaha memuktamadkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau atau RCEP yang melibatkan negara China dan India dengan pasaran pengguna yang jauh lebih besar berbanding TPPA.

Insya-Allah, saya yakin melalui langkah-langkah ini dan juga usaha-usaha lain yang dijalankan, ekonomi kita terutamanya yang berkaitan perdagangan dan pelaburan asing akan terus mampan dan berdaya saing. Malaysia kekal terbuka untuk perniagaan.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles