18 October, 2016

Transformasi Industri Teksi


Industri teksi telah memainkan peranan penting sebagai mod pengangkutan batuan pertama dan terakhir, “first and last mile connectivity” di Malaysia. Teksi merupakan pilihan utama penumpang yang mengutamakan masa perjalanan pantas dan perkhidmatan pintu-ke-pintu.

Namun begitu, perkhidmatan teksi perlu kita pertingkatkan lagi dengan menggunakan amalan perniagaan terkini serta sejajar dengan kemajuan teknologi.

Selain itu, persepsi orang ramai terhadap perkhidmatan teksi juga terjejas berikutan pelbagai isu yang timbul akibat kelemahan yang ada dalam struktur perkhidmatan teksi. Ini membawa kepada ketidakpuasan pengguna terhadap perkhidmatan yang sedia ada.

Kebelakangan ini terdapat banyak protes dan bantahan, malah saya baca ada yang menyuarakan pandangan bahawa seolah-olah Kerajaan menganaktirikan industri teksi dan bertindak zalim terhadap mereka.

Sebenarnya, semua tindakan dan keputusan yang diambil oleh kerajaan adalah untuk memastikan perkhidmatan teksi negara terus berdaya maju.

Transformasi perkhidmatan teksi adalah salah satu keutamaan penting Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak penubuhannya, dan melalui sesi perbincangan, kita telah mengenal pasti beberapa masalah yang membantutkan serta menyumbang kepada kekangan perkembangan perkhidmatan teksi, antaranya:

– model perniagaan yang lapuk
– kos pengendalian tinggi melebihi pendapatan
– kualiti pemandu dan piawaian kenderaan
– ketiadaan pengawasan berpusat
– persepsi umum tidak memuaskan
– cabaran daripada inovasi baru seperti ‘e-hailing’

Banyak inisiatif yang telah kita jalankan untuk membantu industri teksi mengatasi masalah-masalah ini serta meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi seiring dengan Rancangan Transformasi Teksi. Di antaranya Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma), Teksi 1Malaysia (TEKS1M), Semakan Kadar Tambang 2015 dan Makmal Industri Teksi 2015.

Program TR1Ma yang dilancarkan oleh saya pada tahun 2012 bertujuan memberi bantuan jangka pendek kepada pemandu teksi yang mengalami masalah dari segi kewangan. Melalui TR1Ma, pemandu teksi yang layak menerima bantuan RM520 bagi membeli tayar baru selain diberi perlindungan insurans kemalangan peribadi.

Bagi tujuan penjenamaan semula selain menetapkan piawaian tinggi terhadap kenderaan dan pengendalian teksi, kerajaan melancarkan Teksi 1Malaysia pada 2014. Sewaktu pelancaran, seribu lesen telah diberikan kepada mereka yang layak termasuk geran sebanyak RM5,000 dan kadar istimewa 2% setahun untuk membeli kenderaan yang tersenarai. Asalnya, kenderaan untuk TEKS1M hanyalah Proton Exora dan kemudian Toyota Innova. Kini, kenderaan untuk tujuan ini akan diliberalisasikan.

Bagi menjaga kebajikan pemandu dan industri selain mengatasi kadar kenaikan kos pengendalian teksi, SPAD telah mengadakan perbincangan bersama pengendali teksi dan pengguna dan menyemak kadar tambang pada Disember 2015. Tambang baru ini dijangka dapat meningkatkan tahap perkhidmatan teksi.

tambang

Makmal Industri Teksi 2015 pula dianjurkan SPAD dan melibatkan penyertaan banyak pihak, daripada kerajaan, pemandu, syarikat dan persatuan teksi sehinggalah pengguna. Hasil daripada perbincangan ini dijadikan panduan untuk membentuk Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang dibentangkan dan telahpun diluluskan Kabinet pada Ogos yang lalu.

Muat Turun Sisipan Laporan 5 Tahun SPAD berkaitan Industri Teksi:

Versi Bahasa Malaysia
English Version

Inisiatif di dalam TITP ini kesemuanya dirangka untuk membawa perubahan menyeluruh, bukan sahaja dari segi kawal selia, tetapi juga rombakan model perniagaan seiring kemajuan inovasi dan teknologi, yang seterusnya membolehkan persaingan lebih adil di antara semua pemberi perkhidmatan teksi negara.

Inisiatif utama dan keputusan yang menjadi buah mulut ramai setelah Kabinet meluluskan TITP adalah berkaitan status perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grabcar. Kelulusan yang kita berikan ini meletakkan perkhidmatan e-hailing di bawah kawal selia SPAD dan disertakan bersama beberapa syarat tertentu.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa keputusan ini diambil bukanlah untuk kepentingan mana-mana satu pihak. Sebaliknya ia diambil untuk menggalakkan keusahawanan dan inovasi, memungkinkan perubahan lebih besar berlaku dalam usaha kita mentransformasi perkhidmatan teksi secara keseluruhannya.

TITP juga mengambil inisiatif untuk memelihara kebajikan pemandu teksi melalui penyeragaman kontrak pajak, pembukaan permohonan lesen teksi individu, memperluas senarai kereta layak sebagai teksi dengan mementingkan ciri keselamatan, serta meletakkan KPI ke atas syarikat-syarikat teksi.

SPAD turut akan merasionalisasi tambang teksi dengan menyeragamkan tambang teksi bermeter, menyemak semula sistem kupon supaya berasaskan jarak dan bukan lagi zon, dan juga membenarkan tambang dinamik, yakni memberi kebebasan buat pemandu teksi mengguna dan memilih tambang yang ditetapkan perkhidmatan e-hailing.

Meskipun SPAD ditugaskan untuk mengetuai perubahan dalam industri teksi, tetapi transformasi menyeluruh hanya boleh dilakukan dengan kerjasama semua pihak yang terlibat.

Hakikatnya, setiap perubahan itu tentu melalui pelbagai cabaran. Apatah lagi bila kita ingin mentransformasikan sebuah perkhidmatan yang telah bertapak bertahun lamanya dan begitu selesa dengan cara tradisional.

Untuk maju, kita harus bergerak seiring dengan teknologi dan inovasi semasa, dan perlu sentiasa fokus untuk menjadikan perkhidmatan kita mesra-pengguna dan maju setaraf dengan negara lain di dunia.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles