3 November, 2017

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Merangka Hala Tuju Negara Dengan Seimbang


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Kerajaan hari ini sentiasa mengimbangi setiap langkah yang diambil dalam merangka hala tuju Malaysia demi masa depan yang lebih cerah untuk anak cucu kita.

Dalam mengimbau kembali pencapaian negara sepanjang tahun ini, kita seharusnya berbangga melihat kejayaan Malaysia baik di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

Dalam kita mempersiapkan modal insan negara, menjadi lebih berdaya saing, menghadapi Revolusi Perindustrian Ke-Empat, dasar negara juga disusun berpandukan agama seperti yang dilihat melalui peningkatan skor Indeks Syariah Malaysia tahun ini dari kategori kesihatan, prasarana, dan persekitaran ekonomi dan juga sosial.

Dari segi infrastruktur pula, sementara penduduk bandar kini dapat menikmati jaringan pengangkutan awam yang bersepadu melalui pembinaan MRT, penduduk luar bandar di sebelah Pantai Timur pula bakal menikmati limpahan ekonomi dari projek ECRL yang telah dilancarkan pada tahun ini.

Untuk dasar luar negara pula, Malaysia telah membina hubungan baik dengan kuasa-kuasa besar dan kecil dunia agar kedaulatan negara kita terus terpelihara.

Malah, kejayaan atlet-atlet kita mengharumkan negara dalam kedua-dua acara Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN wajar dipuji kerana ini bukti usaha pembangunan sukan yang seimbang untuk sesiapa sahaja yang mewakili Malaysia.

Biarpun usaha mengimbang dan menimbal setiap pilihan sebelum membuat keputusan ini pastinya tidak akan menggembirakan semua pihak, tetapi Kerajaan hari ini akan sentiasa berusaha memastikan ia suatu keputusan yang saksama seperti yang dilambangkan logo neraca Barisan Nasional.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Shares Share Kategori : Audio, Blog, Featured Articles