26 November, 2015

UTC Pudu Sentral


utc1

Saya melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral hari ini untuk meninjau keadaan setelah 3 tahun merasmikannya.

Dari segi mutu perkhidmatan, rata-rata yang datang maklumkan saya mereka amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan, sama ada urusan memperbaharui lesen memandu, pasport antarabangsa ataupun menggantikan MyKad dan sijil kelahiran.

Perkhidmatan adalah amat baik serta memenuhi piawaian kerajaan. Pasport antarabangsa siap dalam masa kurang daripada 1 jam. Malah, saya sendiri menggantikan sijil kelahiran saya dan menerimanya dalam masa kurang daripada 30 minit.

Waktu perkhidmatan di UTC dipanjangkan sehingga 10 malam pada hari kerja dan juga pada hari Sabtu dan Ahad. Waktu operasi ini membolehkan orang ramai mendapat khidmat awam di bawah satu bumbung luar dari waktu kerja mereka. Sesungguhnya, bilangan pengunjung lebih ramai pada hujung minggu berbanding pada hari-hari biasa.

Saya juga sempat berbual dengan peniaga di medan selera di UTC ini. Menurut mereka, pelanggan kurang sekarang kerana pemindahan terminal bas Pudu dan juga kerana perkhidmatan Kerajaan yang disediakan di UTC amat pantas dan cekap sehinggakan orang ramai tidak perlu menunggu lama untuk giliran mereka.

Saya ambil maklum akan keluhan para peniaga dan saya dapati bahawa terdapat kekurangan papan tanda untuk memaklumkan pengunjung mengenai kewujudan medan selera dan juga perkhidmatan-perkhidmatan lain.

Penambahbaikan perlu dilakukan dari segi ini, dan sekiranya ia dilakukan Insya-Allah, keadaan akan bertambah baik.

Terima kasih dan tahniah kepada kakitangan yang berkhidmat di sini atas kecemerlangan perkhidmatan yang diberikan kepada semua.

Saya harap kualiti perkhidmatan ini dikekalkan bukan sahaja di UTC Pudu Sentral, malah juga di UTC-UTC lain di seluruh Malaysia.

utc3

utc2

utc4