23 May, 2016

Walkabout Ke Pasar Payang


Saya memulakan lawatan kerja sehari saya di Terengganu hari ini dengan berkunjung dan bertemu dengan para peniaga di Pasar Kedai Besar Payang, atau lebih dikenali sebagai Pasar Payang.

payang-2

Kalau berkunjung ke Terengganu, tentu tak sah kalau tak singgah di sini. Selain keperluan dapur, ada juga yang berkunjung ke sini untuk mencari kain batik Terengganu, baju kaftan, dan sebagainya. Malah, kalau ingin beli kudapan atau manisan tempatan pun di sini jugalah tempatnya.

payang-3

Bagi memastikan Pasar Payang ini terus kekal sebagai tarikan pelancong dan juga tempat para peniaga mencari rezeki, selain memastikan ia selamat dan selesa untuk pengunjungnya, bangunan Pasar Payang yang telah usang akan kita naik tarafkan, roboh dan bina semula dengan kemudahan lebih lengkap dan moden seperti eskalator, surau, tempat letak kereta, skybridge dan pelbagai lagi.

Peruntukan dianggarkan sebanyak RM 78 juta untuk kerja-kerja pembinaan dan naik taraf kompleks ini telah pun diluluskan dan dijangka siap pada tahun 2018.

payang-1

Saya juga dimaklumkan bahawa segala keresahan dan rasa tidak puas hati segelintir peniaga berkaitan penempatan sementara mereka semasa kerja-kerja naik taraf Pasar Payang dilakukan, telah selesai hasil usaha dan perbincangan bersama Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Terengganu, Alhamdulillah.

Insya-Allah, saya percaya bila siap kerja-kerja naik taraf dan pembinaan semula ini kelak, akan memberi nafas baru kepada Pasar Payang dan terus kekal sebagai tarikan pelancong dan serta simbol kepada negeri Terengganu.

payang-4