13 April, 2012

Perutusan Sambutan Hari Songkran 2012 YAB Perdana Menteri


Saya dan isteri ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Songkran atau Sawaddee Pi Mai (Selamat Tahun Baru) kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Siam. Hari Songkran atau Tahun Baru bagi masyarakat Siam disambut pada 13 April pada setiap tahun. Mudah-mudahan tahun baru ini akan memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada seluruh masyarakat Siam di negara ini.

Masyarakat Siam sebenarnya telah wujud di negara ini, lama sebelum termeterainya Perjanjian Inggeris-Siam pada 1909, yang membawa kepada penyerahan Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan oleh Kerajaan Siam kepada Inggeris. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, empat negara itu menjadi sebahagian daripada negara Malaysia. Masyarakat Siam di empat negeri itu terus kekal tinggal di negeri berkenaan kerana di situlah tanah tumpah darah mereka serta memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negara.

Kita patut berasa bersyukur dan bangga hidup di Malaysia. Sungguhpun negara ini mempunyai rakyat pelbagai kaum, berbilang agama dan budaya, kita masih berupaya mengekalkan perpaduan serta hidup dalam keadaan aman. Dengan itu, kita berpeluang menikmati kemakmuran di negara yang bertuah ini. Semua ini adalah hasil sumbangan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

Keamanan, kestabilan serta pembanguan yang dinikmati membolehkan kerajaan melindungi setiap kaum di negara ini, baik kaum yang majoriti mahupun kaum minoriti. Semua kaum adalah dilayani secara adil dan saksama di negara ini.

Oleh itu sempena Hari Songkran ini, saya dan keluarga berharap semua anggota masyarakat Siam akan terus menguatkan azam dan tekad mereka untuk terus mempertahankan perpaduan dan keamanan yang kita nikmati sekarang. Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk bekerja bagi masa depan negara yang lebih gemilang untuk kita warisi kepada generasi akan datang.

Sekali lagi saya mengucapkan Sawaddee Pi Mai dan Khob Khun Khrab.

Sekian Terima Kasih

Shares Share Kategori : Official Addresses