25 February, 2010

Perutusan Maulidur Rasul 1431H/2010M YAB Perdana Menteri


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia 1 Ummah, Saudara dan saudari sekalian,

1. Pertamanya, kita memanjat kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana di atas taufik dan inayahNya dapat kita meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini dalam keadaan aman, kesederhanaan dan penuh kerahmatan. Sesungguhnya, Nabi Muhammad SAW telah diputerakan pada tahun 570 Masihi di Kota Makkah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal iaitu bulan ketiga dalam taqwim Islam.

2. Di Malaysia, setiap tahun pada tarikh 12 Rabiulawal adalah merupakan cuti awam di seluruh Negara bagi umat Islam melahirkan rasa kasih sayangnya terhadap Pemimpin Agung itu. Kita patut bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana tarikh itu dapat disambut dan dikenang di negara kita.

3. Sememangnya kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. di tengah-tengah kejahilan masyarakat Arab pada ketika itu telah membawa satu transformasi yang terunggul di dalam lembaran sejarah dunia peradaban Islam. Risalah baginda berpaksikan wahyu Ilahi bertujuan untuk melahirkan umat Islam yang mengesakan Allah SWT tidak ternoktah di Semenanjung Tanah Arab sahaja, tetapi meliputi seluruh benua, bangsa dan keturunan. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Anbiya’, ayat 107 : yang bermaksud :-

“Dan tidak kami utuskan Engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk sekalian alam semesta.”

4. Dalam sirah perjuangan Rasulullah S.A.W., tiada kejayaan yang mudah diperolehi oleh Baginda dan para sahabat melainkan melalui perancangan, perundingan dan pelaksanaan yang penuh berstrategi dan konsisten. Peristiwa Peperangan Khandak misalnya telah membuktikan bahawa Rasulullah dan para sahabat Baginda menggunakan minda yang efektif melalui mesyuarat untuk merancang dan bertindak secara kolektif dan kreatif melalui kepelbagaian strategi. Maka dalam peperangan itu, tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah telah berjaya mengalahkan pihak musuh.

5. Sebaliknya dalam peperangan Uhud, oleh kerana pasukan Baginda tidak berdisiplin dan tiada perancangan yang sistematik, maka mereka telah menerima kekalahan. Sesungguhnya Allah SWT telah memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya perancangan yang strategik dalam menentukan kejayaan.

6. Iktibarnya, kita juga telah memfokuskan beberapa perancangan dan misi besar untuk memaju dan memakmurkan Negara. Bagi mentransformasi dan membina Negara bangsa, selain Gagasan 1 Malaysia dengan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, tonggak-tonggak lain ialah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru (MEB), Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK-10) dan Wawasan 2020. Gagasan 1 Malaysia akan memacu bangsa Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020. Manakala MEB dan RMK-10 adalah merupakan komitmen dan landasan terakhir kita untuk dinakhodai 10 tahun akan datang sebelum menjelangnya tahun 2020.

7. Justeru, kehidupan rakyat mestilah beriltizamkan konsep Wasatiyah iaitu sederhana dan seimbang, pembahagian kekayaan secara adil dilakukan antara semua kaum agar Sawasiyah iaitu kesaksamaan dapat direncanakan secara holistik tanpa ada golongan yang ketinggalan dan terpinggir dalam arus kemajuan negara. Sesungguhnya, Nabi Muhammad S.A.W. adalah contoh yang unggul dan terbaik untuk kita teladani. Akhlak, kewibawaan dan transformasi kepimpinan baginda tidak ada tolok bandingnya. Suri teladan Baginda seharusnya menjadi sumber inspirasi kepada kita untuk mencapai kecemerlangan dan kekuatan ummah.

8. Sebenarnya, sifat-sifat kenabian baginda iaitu sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) merupakan ciri-ciri penting untuk mencapai kecemerlangan dan hendaklah dijadikan inspirasi dan diadaptasi bagi memacu meningkatkan ummah yang progresif. Maka sudah tentulah pemimpin-pemimpin masyarakat, pentadbir, golongan profesional dan seluruh umat umumnya perlulah berusaha memiliki sifat-sifat ini dan mencontohi tingkah laku Rasulullah dalam setiap tindakan dan pekerjaan yang kita lakukan.

9. Agenda Rasulullah S.A.W., yang memperkukuh institusi perpaduan sesama manusia bagi memperkasa ummah secara progresif sewajarnya disuntik ke dalam setiap denyut nadi umat Islam agar terus terpahat kukuh sepanjang zaman. Begitulah hebatnya kegigihan Rasulullah S.A.W. dalam mendidik umat yang pada peringkat awalnya merupakan masyarakat yang jahil, bersengketa dan berpecah belah akhirnya bersatu padu dan bersatu hati. Oleh itu, sempena kita memperingati Maulidur Rasul ini, bersamalah kita merintis perpaduan melalui kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan bagi melahirkan 1bangsa Malaysia yang utuh lagi kukuh.

10. Mengakhiri perutusan ini, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul kepada semua umat Islam Malaysia di mana jua berada. Marilah kita bersama-sama meraikan sambutan Maulidur Rasul ini bersama rakan kita dari pelbagai bangsa melalui kerukunan muhibbah dan penuh mawaddah. Inilah resipi perpaduan 1 Malaysia 1 Ummah yang kita doakan dan impikan. Insya-Allah.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Official Addresses