14 July, 2014

Perutusan Nuzul Quran 1435H/2014M YAB Perdana Menteri


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia, Saudara Saudara Sekalian,

  1. Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT, yang mana hanya dengan izinNya, kita masih lagi dapat bersama dengan rahmat Ramadhan al-Mubarak. Seterusnya pada tarikh 17 Ramadhan ini, kita dapat meraikan peristiwa agung Nuzul al-Quran.
  2. Sudah tentu, Nuzul al-Quran ini bukan sekadar satu nostalgia sirah buat kita semua, bahkan penurunan al-Quran ini merupakan satu titik mula transformasi insani daripada kegelapan jahiliah kepada indahnya sinar cahaya Islam. Al-Quran itu sendiri sememangnya adalah panduan abadi lagi hakiki buat insan sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah melalui ayat 2 surah al-Baqarah:

    “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.”

  3. Peristiwa Nuzul al-Quran telah mengubah dan membina peradaban ummah. Al-Quran bukan sahaja untuk dipaparkan dengan indah kaligrafinya, dialunkan dengan merdu lenggok bacaannya, malah satu mukjizat yang terus kekal mendampingi kita semua untuk diambil petunjuk dan hidayahnya yang terus relevan sepanjang zaman.
  4. Malaysia sebagai sebuah negara Islam moden dan progresif, sentiasa berusaha untuk membawa kemajuan dan kemakmuran pada tahap yang terbaik, tanpa mengabaikan didikan kerohanian sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran. Kita amat percaya, bahawa hanya dengan mempunyai warga yang mampu berdaya saing dan berkualiti, barulah impian kita untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan menjadi kenyataan.
  5. Saya menyeru diri saya serta seluruh umat Islam, agar sama-sama kita menghayati semangat Nuzul al-Quran ini serta bersatu dalam menegakkan agenda ummah. Marilah kita berstrategi dengan matang dan berhikmah, agar tanggungjawab kita menjaga agama Islam di bumi bertuah ini terlaksana dengan sempurna. Syiar dan syariat kita perjuangkan, keharmonian dan kemakmuran kita pertahankan! InsyaAllah.
  6. Akhir kalam perutusan ini, saya mendoakan agar dengan keberkatan Nuzul al-Quran pada bulan Ramadan yang mulia ini, Allah SWT menyatukan hati kita semua. Mudah-mudahan segala amalan kita diterima oleh Allah SWT jua.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Official Addresses