2 February, 2011

Perutusan Tahun Baru Cina 2011 YAB Perdana Menteri


Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru  kepada semua rakyat Malaysia yang berketurunan Cina.  Semoga tahun Arnab ini  akan mendatangkan keamanan, kesihatan dan kemakmuran kepada semua.

Saya ingin mengajak masyarakat Cina untuk terus bersama-sama  berganding bahu berusaha bagi membina  masa depan yang lebih baik untuk keluarga dan anak-anak kita. Di bumi Malaysia yang bertuah ini  semua kaum mempunyai peluang untuk  mencipta kejayaan yang diimpikan, apa yang diperlukan adalah perancangan, kerja keras  dan disiplin.

Walaupun kerajaan tidak boleh memastikan kejayaan setiap individu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan ekosistem terbaik bagi membolehkan setiap potensi dioptimakan.

Syukur, pada tahun 2010 hasil usaha gigih semua pihak, kerajaan dan rakyat, penjawat awam serta  pihak swasta,  negara terus berada di landasan yang betul bagi  pencapaian  wawasan kebangsaan  untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Momentum ini perlu dirancakkan lagi, namun belum sampai masanya untuk kita mengisytiharkan kemenangan dan memasuki zon selesa. Kita perlu terus bekerja keras bagi  mencipta kejayaan baru.

Akhir kata saya berharap agar rakyat Malaysia dari pelbagai kaum akan meneruskan tradisi mengunjungi rumah terbuka rakan-rakan mereka dari kaum Cina. Semoga tradisi rumah terbuka dan kunjung mengunjungi ini akan terus menjadi tali yang mengikat hati semua dalam semangat kekeluargaan 1Malaysia.

Shares Share Kategori : Official Addresses