13 August, 2010

FELDA Beri Duit Raya Kepada Peneroka


1.         Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa kesemua 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara akan menerima pemberian wang Hari Raya.
2.         Kadar bayaran duit raya pada tahun ini, terbahagi kepada dua kategori iaitu peneroka bersama FELDA dan bukan bersama FELDA. Bagi peneroka bersama FELDA, mereka akan menerima RM350 seorang manakala peneroka yang tidak bersama FELDA, akan menerima duit raya RM150 seorang.
3.         Mengikut rekod, peneroka yang masih setia bersama FELDA adalah seramai 101,391 orang (90.02%) manakala seramai 11,244 atau 9.98% peneroka, dikategorikan sebagai tidak bersama FELDA iaitu mereka yang tidak menanam semula menerusi agensi tersebut.
4.      Pemberian duit raya ini melibatkan bayaran berjumlah RM37.14 juta terdiri RM35.47 juta bagi yang bersama FELDA dan RM1.67 juta bagi yang tidak bersama FELDA.
5.         Bayaran ini akan dibuat kepada semua peneroka sebelum Hari Raya Aidilfitri di  rancangan-rancangan FELDA seluruh negara.
6.         Saya berharap pemberian duit raya ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan bebanan kewangan keluarga peneroka dalam membuat persiapan menjelang ketibaan Syawal.
7.         Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada  para peneroka yang tidak bersama FELDA agar kembali bersama agensi ini untuk  memaju dan memakmurkan lagi tanah-tanah rancangan.
Shares Share Kategori : Press Statement