13 May, 2010

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Pertama Tahun 2010


Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tempoh suku pertama 2010adalah 10.1%. Kadar ini adalah lebih baik berbanding pertumbuhan 4.4% bagi tempoh suku keempat 2009. Kadar pertumbuhan ini merupakan yang tertinggi sejak suku pertama 2000 (11.7%). Pertumbuhan yang memberangsangkan ini adalah disokong oleh pengukuhan permintaan domestik serta sejajar dengan pemulihan ekonomi dunia. Pertumbuhan yang positif juga dapat dilihat di kalangan negara-negara serantau dan pesat membangun seperti China (11.9%), Korea Selatan (7.8%) dan Indonesia (5.7%).
Dari sudut penawaran, kesemua sektor utama ekonomi mencatat prestasi yang menggalakkan, terutamanya sektor pembuatan yang berkembang pesat sebanyak 16.9% (S4 2009: 5.0%). Pertumbuhan sektor ini disokong oleh subsektor elektrik dan elektronik (34.4%), kelengkapan pengangkutan (25.3%), serta barangan kayu dan perabot (18.7%).
Sektor perkhidmatan turut berkembang kukuh sebanyak 8.5% (S4 2009: 5.2%), disokong oleh subsektor utiliti (16.6%), hartanah dan perkhidmatan perniagaan (14.2%), perdagangan borong dan runcit (9.6%) serta pengangkutan dan penyimpanan (9.2%). Sektor pembinaan terus berkembang kukuh pada kadar 8.7%, manakala sektor perlombongan kembali pulih pada kadar 2.1%. Sektor pertanian pula berkembang 6.8%, disokong oleh peningkatan pengeluaran getah, ternakan dan kayu balak.
Dari sudut permintaan pula, pertumbuhan yang menggalakkan ini didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang kukuh khususnya melalui perkembangan penggunaan swasta (5.1%) dan awam (6.3%) yang terus mapan. Dalam tempoh ini, kegiatan pelaburan domestik juga cergas pada kadar 5.4%, menggambarkan pemulihan keyakinan pelabur.
Prestasi sektor luaran amat menggalakkan dengan jumlah eksport meningkat ketara sebanyak 19.3%, berikutan pemulihan ekonomi dan perdagangan global. Jumlah import juga berkembang kukuh pada kadar 27.5%, berikutan peningkatan import barangan perantaraan (37.9%), penggunaan (18.5%) dan modal (9.6%). Peningkatan ini mencerminkan aktiviti ekonomi dalam negeri yang semakin rancak.
Dengan pencapaian pertumbuhan yang menggalakkan ini berserta usaha transformasi Kerajaan dan ekonomi, sasaran pertumbuhan KDNK 6.0% bagi keseluruhan tahun 2010 boleh dicapai.
Shares Share Kategori : Press Statement