24 July, 2014

Kenyataan Akhbar Pembatalan Majlis Rumah Terbuka Anggota Jemaah Menteri 2014


Kabinet hari ini bersetuju membatalkan Majlis Rumah Terbuka Anggota Jemaah Menteri sempena Hari Raya Aidilfitri 2014 di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya bagi menghormati mereka yang terkorban dalam tragedi pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Selain itu, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Malaysia 2014 di Rembau, Negeri Sembilan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan turut dibatalkan memandangkan negara masih berduka di atas tragedi tersebut.

Pada pagi 1 Syawal, YAB Perdana Menteri bersama Jemaah Menteri akan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara.

Walaupun negara masih bersedih di atas tragedi ini, umat Islam masih disyariatkan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan mengerjakan ibadat berpuasa di bulan Ramadhan dengan sempurna dan kembali ke jalan fitrah Ilahi.

Wajarlah rakyat berbilang kaum meneruskan tradisi ziarah-menziarahi demi mengeratkan perhubungan dan perpaduan sesama kita.

Dalam hubungan ini, majlis-majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri 2014 masih boleh diadakan tetapi dengan kesederhanaan dan penuh ketertiban.

Ini termasuk majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh ahli-ahli Jemaah Menteri, ahli-ahli Parlimen serta ahli-ahli Dewan Undangan Negeri bersama rakyat di kawasan masing-masing.

Bagi kementerian-kementerian pula, sambutan Hari Raya Aidilfitri turut boleh diadakan untuk mengeratkan silaturahim warga kerja masing-masing tanpa melibatkan jemputan luar.

Pejabat Perdana Menteri

Putrajaya

24 Julai 2014

Shares Share Kategori : Press Statement