8 August, 2011

Kenyataan Media Bayaran Bonus Setengah Bulan Gaji Kepada Penjawat Awam dan Bayaran Khas RM500 Kepada Pesara Kerajaan


1.           Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. Ia bagi menghargai sumbangan serta dedikasi mereka dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.
2.           Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara Kerajaan. Bonus dan Bayaran Khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan Ogos 2011.
3.           Kerajaan berharap pemberian bonus dan Bayaran Khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan para pesara Kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan penjawat awam dan pesara Kerajaan.  Pemberian ini juga merupakan satu penghargaan Kerajaan kepada seluruh penjawat awam.
4.           Pemberian bonus dan Bayaran Khas ini akan melibatkan seramai 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590 ribu pesara Kerajaan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM 2 bilion.
Shares Share Kategori : Press Statement