Kenyataan Media Felda Beri Duit Raya Kepada Peneroka

By Tuesday August 2nd, 2011 Press Statement
Sukacita saya mengumumkan bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, kesemua peneroka FELDA akan menerima wang Hari Raya. Pemberian ini adalah untuk menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan FELDA di samping membantu perbelanjaan persiapan menjelang Hari Lebaran.
Bagi tahun ini, kaedah pemberian wang Hari Raya kepada semua 112,635 peneroka di seluruh negara adalah sama dengan tahun lalu. Kadar bayaran terbahagi kepada dua kategori iaitu peneroka bersama FELDA dan peneroka yang tidak bersama FELDA.
Seramai 100,357 peneroka atau 89.1 peratus yang bersama FELDA akan menerima RM400 seorang dan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM40.14 juta. Seramai 12,278 atau 10.9 peratus peneroka yang tidak bersama FELDA pula menerima RM200 tiap seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM2.46 juta. Ini menjadikan keseluruhan pemberian wang raya yang dibayar tahun ini berjumlah RM42.6 juta.
Pemberian wang Hari Raya kepada peneroka telah dilaksanakan sejak tahun 2003. Bayaran pada tahun ini meningkat RM5.41 juta atau 14.54 peratus berbanding bayaran tahun 2010 iaitu RM37.20 juta. Pada tahun lalu, peneroka yang bersama FELDA atau yang menjual hasil kepada FELDA menerima RM350 seorang, manakala yang tidak bersama FELDA RM150 seorang. Bayaran akan dibuat kepada semua peneroka dalam minggu ke-2 bulan Ramadhan dan dibayar di peringkat rancangan FELDA seluruh negara.
Saya berharap pemberian wang ini akan dapat meringankan beban kewangan para peneroka dalam membuat persiapan menyambut ketibaan Syawal. Di kesempatan ini juga, saya ingin menyeru kepada peneroka yang tidak bersama FELDA agar dapat kembali bersama FELDA bagi memaju dan memakmurkan lagi tanah rancangan.