27 June, 2011

Kenyataan Media Lakaran Sejarah : Wanita Dalam Lembaga Pengarah


KUALA LUMPUR, 27 JUN 2011 – Jemaah Menteri telah bersetuju dengan permohonan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya lebih ramai wanita yang berkelayakan diberi peluang menjadi ahli lembaga pengarah syarikat. Sehubungan itu, Jemaah Menteri telah meluluskan Dasar Sekurang-kurangnya 30 Peratus Wanita Di Peringkat Pembuat Keputusan Dalam Sektor Korporat. Pihak korporat diberi tempoh peralihan selama 5 tahun untuk meningkatkan bilangan wanita sebagai ahli lembaga pengarah dan memegang jawatan tertinggi di syarikat masing-masing.
Kelulusan Dasar ini adalah kesinambungan kepada Dasar Sekurang-kurangnya 30 Peratus Wanita Di Peringkat Pembuat Keputusan Dalam Sektor Awam yang diumumkan oleh Kerajaan pada tahun 2004, di mana pencapaiannya amat memberangsangkan. Peratusan wanita yang menyandang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) telah meningkat kepada 32.3 peratus pada tahun 2010 berbanding 18.8 peratus pada tahun 2004.
Dasar ini dapat menjadi pemangkin (catalyst) kepada tindakan affirmatif ke arah mencapai kesaksamaan gender dalam sektor korporat. Selain memastikan kepakaran, daya saing dan daya kepimpinan golongan wanita dapat dioptimumkan, langkah ini dapat menjurus kepada kepelbagaian dan keterangkuman (diversity and inclusion) lembaga pengarah.
Pada masa ini, hanya 91 orang atau 13.0 peratus wanita telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah pada tahun 2010 di syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan). Manakala, daripada 200 buah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia yang dikumpulkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sehingga bulan November 2010, hanya 7.6 peratus wanita dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di syarikat-syarikat tersebut. Selain itu, maklumat Bank Negara menunjukkan hanya 45 orang atau 6.0 peratus wanita dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di institusi kewangan sehingga April 2011.
Bagi memastikan Dasar ini dilaksanakan dengan berkesan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama badan-badan seperti Khazanah Nasional Berhad, Malaysian Alliance of Corporate Directors dan Malaysian Directors Academy akan merangka program latihan bagi menyediakan wanita yang berpotensi untuk menjadi ahli lembaga pengarah syarikat.
Shares Share Kategori : Press Statement