28 January, 2011

Kenyataan Media Penamatan Konsesi Tol untuk Lebuhraya Hubungan Timur-Barat


1.      Sebagaimana kita sedia maklum, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk mengkaji semula kos sara hidup termasuk soal belanja pengangkutan sebagai satu cara mengurangkan bebanan rakyat. Semakan semula kos pengangkutan ini perlu dilaksanakan dengan berhemah dan betul demi masa hadapan negara.
2.           Sejajar dengan itu dan atas semangat 1MALAYSIA, yang mana RAKYAT DIDAHULUKAN DAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN, saya telah meminta para pemegang konsesi tol  mengkaji semula struktur tol bagi konsesi masing-masing sebagai langkah membantu kerajaan memakmurkan negara dan mengurangkan bebanan rakyat. Menyahut seruan kerajaan ini, dua orang ahli korporat yang juga pemegang saham terbesar sebuah syarikat konsesi tol telah tampil mengemukakan satu cadangan penstrukturan tol melalui perolehan aset-aset konsesi yang akan memberi impak yang besar kepada rakyat.
3.      Berdasarkan cadangan ini, saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa TIDAK ADA KENAIKAN TOL untuk 5 TAHUN AKAN DATANG bagi Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 yang dicadangkan bakal dimiliki oleh dua orang ahli korporat tersebut. Di samping itu, saya telah meminta supaya TEMPOH KONSESI TIDAK DILANJUTKAN dan yang lebih penting lagi TIADA PAMPASAN AKAN DIBERI OLEH KERAJAAN untuk semakan tol yang tertunggak.
4.      Cadangan ini juga akan membawa kepada PENAMATAN KONSESI TOL untuk Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, yang menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught, Kuala Lumpur. Ini adalah PENUTUPAN LEBIH AWAL daripada tempoh yang sepatutnya iaitu tahun 2018, lanjutan dari cadangan pengambilalihan aset-aset konsesi tersebut. Ini bermakna, PENGGUNA LEBUHRAYA TERSEBUT TIDAK PERLU LAGI MEMBAYAR TOL. Tarikh implementasi penutupan tol walau bagaimanapun, akan berkuatkuasa setelah urusan dokumentasinya selesai, dijangka dalam bulan Mei 2011. Saya difahamkan INISIATIF PENUTUPAN AWAL TOL INI AKAN MEMBERI MANFAAT KEPADA KIRA-KIRA 39 JUTA PENGGUNA LEBUH RAYA tersebut.Inisiatif ini adalah manifestasi kesungguhan kerajaan untuk mencari penyelesaian berhemah dalam isu tol.
5.      Saya juga ingin menyeru agar inisiatif sebegini dapat dicontohi oleh syarikat pemegang konsesi yang lain demi kepentingan rakyat.
Shares Share Kategori : Press Statement