8 July, 2014

Kenyataan Media Penstrukturan Semula Eastern Sabah Security Command (ESSCOM)


  1. Berikutan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu pada 12 Februari 2013 di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Kerajaan telah mengambil tindakan mewujudkan ESSZONE (Eastern Sabah Security Zone) pada 24 Mac 2013. Penubuhan ESSZONE ini adalah bagi memastikan pencerobohan tidak berulang dan menjamin kedaulatan undang-undang serta mengekalkan ketenteraman awam. Walaupun ESSCOM (Eastern Sabah Security Command) telah berjaya menghalang berlakunya pencerobohan baru, namun begitu kegiatan jenayah lain seperti penculikan masih menjadi ancaman keselamatan.

2. Kerajaan telah membuat keputusan untuk memperkemas pengurusan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah dengan memantapkan lagi ESSCOM melalui penstrukturan semula organisasi tersebut. Langkah-langkah penstrukturan ini bertujuan:-

2.1) memantapkan “chain of command” organisasi ESSCOM;

2.2) meningkatkan dan memastikan penglibatan sepenuhnya setiap peringkat rakyat bersama dengan agensi-agensi keselamatan dalam memastikan kawasan pantai timur Sabah bebas dari pencerobohan dan jenayah; dan

2.3) mewujudkan hala tuju bersama dan tindakan bersepadu di kalangan anggota keselamatan untuk memastikan Sabah Timur dalam keadaan selamat dan harmoni.

3. Jawatankuasa ESSZONE kini dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah. Untuk memperkemaskan lagi tadbir urus, jawatankuasa ini akan dibantu oleh Komander ESSCOM dan Ketua Pegawai Eksekutif.

4. Sejajar dengan itu, ESSCOM distruktur semula dengan mewujudkan dua komponen utama iaitu:-

4.1) Komponen Pengurusan Keselamatan dan Pertahanan

Komponen ini diterajui oleh seorang Komander ESSCOM (Eastern Command Commander) yang akan mengetuai tiga bahagian khusus iaitu Bahagian Perisikan, Bahagian Keselamatan dan Pertahanan serta Bahagian Operasi. Komander dibantu oleh Timbalan Komander bagi membantu pentadbiran operasi. Komponen ini bertujuan untuk mengembleng sumber agensi-agensi keselamatan bagi tujuan mempertingkatkan keberkesanan operasi; dan

4.2) Komponen Penguatkuasaan dan Tindakan Awam

Komponen kedua dalam ESSCOM ialah Komponen Penguatkuasaan dan Tindakan Awam yang akan diketuai oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif atau CEO. Terdapat tiga bahagian yang diwujudkan iaitu Bahagian Khidmat Pengurusan, Bahagian Penguatkuasaan dan Tindakan Awam serta Bahagian Khidmat Keurusetiaan. Komponen ini akan melihat kepada pematuhan ke atas undang-undang negara yang berkaitan dengan peraturan imigresen, peraturan Jabatan Pendaftaran Negara, peraturan kawalan barang-barang kawalan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat.

5. Selaras dengan langkah mewujudkan perjawatan Komander Pasukan Keselamatan yang akan mengetuai semua perkara berkaitan Keselamatan, Operasi dan Pertahanan di ESSZONE, maka saya mengumumkan bahawa DCP Dato Abd Rashid Bin Harun, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam ESSCOM dilantik sebagai Komander ESSCOM berkuatkuasa 15 Julai 2014.

6. Selain daripada penstrukturan semula ESSCOM, langkah-langkah untuk meningkatkan lagi keselamatan di pantai timur Sabah termasuk:-

6.1) penyerahan 30 unit Rigid Hull Fender Bot ( RHFB ) kepada PDRM, ATM dan APMM pada 29 Mei 2014;

6.2) penggunaan Kapal Bunga Mas 5 sebagai Sea Basing atau Forward Operation Base ( FOB ) untuk meningkatkan kawalan dan pengawasan keselamatan di Timur Sabah. Bunga Mas 5 ini adalah merupakan langkah interim yang dilaksanakan segera oleh kerajaan sehingga menunggu struktur tetap Sea Basing siap dibina; dan

6.3) penguatkuasaan Designated Routes atau Laluan Ditetapkan untuk bot-bot memasuki perairan Negeri Sabah. Langkah ini menetapkan bahawa semua bot yang memasuki perairan negeri Sabah perlu berada di dalam kawasan atau laluan yang dibenarkan sahaja. Langkah ini akan membolehkan kawalan keselamatan dan pengawasan terhadap bot-bot di perairan pantai Timur Sabah dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bot-bot yang tidak mematuhi peraturan akan ditahan serta dikenakan tindakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan mengikut peraturan atau undang-undang sedia ada.

7. Pengstrukturan semula ESSCOM dan langkah lain yang telah dan sedang dilaksanakan diharap akan meningkatkan lagi tahap keselamatan di pantai timur Sabah.

8. Kerajaan juga berharap seluruh rakyat, khususnya penduduk di kawasan Timur Sabah supaya sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya untuk mengukuhkan keselamatan di sana. Dengan sokongan dan kerjasama rakyat Sabah, pasukan keselamatan dan agensi-agensi lain yang terlibat dapat menjaga serta mengukuhkan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah.

DATO’ SRI MOHD NAJIB

08 Julai 2014

Shares Share Kategori : Press Statement