30 July, 2010

Kerajaan Tubuh Koperasi Permodalan FELDA 2 (KPF 2) Untuk Generasi Baru FELDA


1.         Kerajaan sedar akan hasrat dan kehendak generasi baru untuk merebut peluang dalam aktiviti pembangunan dan perniagaan syarikat FELDA.  Malah, ramai di antara mereka ini berminat untuk bergiat aktif menerusi koperasi.
2.         Pada masa ini, generasi baru FELDA tidak dibenarkan menjadi ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF) sedangkan kumpulan ini semakin bertambah bilangannya serta berminat untuk terlibat dalam kegiatan ekonomi.
3.         Justeru, bagi mengekalkan semangat keluarga FELDA dan faedah generasi baru, Kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan Koperasi Permodalan FELDA 2 (KPF 2) sebagai model pembangunan ekonomi generasi baru.
4.         Sebagai permulaan, FELDA menyediakan dana awal kepada ahli KPF 2 berjumlah RM10 juta. Keahlian KPF 2 adalah terdiri daripada generasi baru FELDA, tidak kira di mana mereka berada.
5.         Kegiatan KPF 2 akan ditumpukan kepada pembangunan fizikal di tanah rancangan selain memegang ekuiti tertentu di dalam syarikat FELDA.
6.         Koperasi ini tidak akan menjadi pesaing kepada KPF tetapi ia menjadi pelengkap serta menambah rantaian ekonomi sedia ada.
7.         Oleh yang demikian juga, saya bagi pihak kerajaan ingin mempelawa semua generasi baru FELDA untuk terlibat dalam koperasi ini di samping merebut peluang dalam aktiviti pelaburan yang dijalankan oleh anak-anak syarikat FELDA.
8.         Kerajaan berharap usaha ini akan disambut baik oleh generasi muda FELDA demi memastikan untung nasib keluarga peneroka di seluruh negara terus terbela.
9.         Untuk makluman, pada masa ini warga peneroka membuat pelaburan dalam Koperasi Permodalan FELDA (KPF) yang menguasai 51% pemilikan dalam FELDA Holdings.
10.       Sehingga kini, KPF yang telah ditubuhkan sejak 30 tahun lalu, berjaya memenuhi hasrat ahli-ahli yang terdiri daripada warga FELDA dan mendapat pulangan yang memuaskan setiap tahun.
11.       Dividen yang dibayar oleh KPF setiap tahun secara puratanya 14% dan merupakan satu daripada yang tertinggi di negara ini. Ahli KPF adalah seramai 189,415 orang dan memiliki modal syer berjumlah RM1.2 billion.
12.       Bagi mengekalkan pulangan dividen sekurang-kurangnya 10% setahun, KPF menetapkan dasar, modal syer ini dihadkan tidak melebihi RM1.5 billion.
Shares Share Kategori : Press Statement