15 May, 2013

Pelantikan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara


Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan peruntukan Perkara 140(4) dan Perkara 140(5)  Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan dua (2) pelantikan jawatan khas berkuatkuasa mulai 17 Mei 2013 iaitu :-

  1. Pelantikan YBhg. Tan Sri Khalid bin Abu Bakar sebagai Ketua Polis Negara bagi menggantikan YBhg. Tan Sri Ismail bin Haji Omar yang akan tamat tempoh pelantikan secara kontrak selepas bersara pada 16 Mei 2013; dan
  2. Pelantikan YBhg. Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin sebagai Timbalan Ketua Polis Negara bagi menggantikan YBhg. Tan Sri Khalid bin Abu Bakar.

2.       YBhg. Tan Sri Khalid bin Abu Bakar, 56 tahun, dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau telah memulakan perkhidmatan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Polis pada 5 Disember 1976. Antara jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah seperti berikut:-

  • Pegawai Turus Operasi/Siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Kuala Lumpur;
  • Ketua Jabatan Narkotik, IPK Kedah;
  • Pegawai Turus Risikan Dalam Negeri, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik;
  • Ketua Jabatan Pengurusan, IPK Pahang;
  • Ketua Polis Daerah Kuantan;
  • Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi), Jabatan Siasatan Narkotik, Bukit Aman;
  • Ketua Polis Negeri, Negeri Sembilan;
  • Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman;
  • Ketua Polis Negeri Selangor;
  • Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman; dan
  • Timbalan Ketua Polis Negara.

3.       YBhg. Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin, 59 tahun, dilahirkan di Penampang, Sabah. Beliau berkelulusan Diploma Sains Kepolisan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan telah memulakan perkhidmatan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Polis pada 6 November 1975. Antara jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah seperti berikut:-

  • Ketua Polis Daerah Kudat, Sabah;
  • Ketua Polis Daerah Sandakan, Sabah;
  • Timbalan Ketua Polis Daerah, IPD Kota Kinabalu;
  • Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Negeri Sembilan;
  • Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Sabah;
  • Ketua Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur;
  • Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur;
  • Penolong Pengarah Unit Risikan Jenayah (D4), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman;
  • Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, IPK Sabah;
  • Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Sabah;
  • Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman;
  • Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman; dan
  • Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

4.       Pelantikan YBhg. Tan Sri Khalid bin Abu Bakar sebagai Ketua Polis Negara dan YBhg. Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin sebagai Timbalan Ketua Polis Negara adalah berdasarkan pengalaman mereka yang luas dalam bidang pengurusan dan kepolisan. Kedua-dua pegawai mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

5.       Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bagi pihak Kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Tan Sri Ismail bin Haji Omar di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Polis Negara sejak tahun 2010.

Shares Share Kategori : Press Statement