24 August, 2010

Hari Wanita Kebangsaan 2010


1. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama di majlis pelancaran Hari Wanita 2010 hari ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana sudi menjemput saya dan isteri ke majlis ini. Sesungguhnya, sambutan Hari Wanita yang diadakan tiap-tiap tahun mencerminkan komitmen dan keikhlasan kerajaan mengiktiraf sumbangan penting golongan wanita dalam pembangunan negara.

2. Wanita adalah separuh daripada penduduk dunia dan separuh daripada tenaga kerja. Mereka bukan sahaja sama layak, malah di beberapa bidang, mereka lebih mahir daripada kaum lelaki. Di Malaysia, pelajar wanita mendominasi enrolmen di pusat pengajian tinggi. Pada tahun 2009, peratusan pelajar wanita di peringkat diploma adalah sebanyak 59.1 peratus, peringkat ijazah pertama 62.5 peratus dan peringkat sarjana 54.2 peratus.

3. Wanita adalah aset penting dalam pembangunan ekonomi negara. Walaupun istilah “multi-tasking”, ataupun menjalankan beberapa tugas pada masa yang sama, telah diperkenalkan tidak lama dahulu, namun ia bukanlah sesuatu yang baru bagi kaum wanita. Sebagai pengurus rumah tangga, wanita telah lama “multi-task” sebagai isteri, ibu, mentor dan profesional. Kaum wanita juga lebih sabar, lebih prihatin, berdedikasi dan kadang-kala pengurus yang lebih baik. Sebagai pengurus dana kewangan rumah yang cermat, saya fikir jika Lehman Brothers adalah Lehman Sisters, kemungkinan dunia tidak akan mengalami krisis kewangan pada tahun 2008.

4. Tema perayaan Hari Wanita kali ini — 1 Azam Wanita 1Malaysia — adalah tepat memandangkan sumbangan kaum wanita dalam beberapa bidang termasuk ekonomi, politik dan sosial. Sesetengah institusi besar di negara ini diketuai oleh wanita – seperti Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz di Bank Negara, Tan Sri Zarinah Anwar di Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Hasmah Abdullah di Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Datuk Jalilah Baba di MIDA. Di sektor swasta juga, kaum wanita turut mengetuai beberapa bank serta syarikat-syarikat. Dalam beberapa bidang sosial dan profesional termasuk kejuruteraan, juruteknik, juruterbang, peguam dan peguam syariah wanita juga telah mencapai tahap kecemerlangan.

Para hadirin sekalian,

5. Sebagai pengiktirafan dan penghargaan peranan dan sumbangan wanita dalam bidang keusahawan dan sosial, kerajaan bersetuhu memperkenalkan dua anugerah yang berprestij – iaitu anugerah Anugerah Perdana Usahawan Wanita terbaik dan Anugerah Perdana Aktivis Sosial Wanita terbaik. Kedua-dua anugerah ini akan disampaikan pada majlis Hari Wanita tahun hadapan. Urusetia yang akan mengendalikan Anugerah perdana ini ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.

6. Seiring dengan Malaysia mengorak langkah untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 dan negara berpendapatan tinggi, permintaan untuk modal insan yang lebih berkelayakan dan lebih berkemampuan akan terus meningkat. Oleh yang demikian, usaha sedang dijalankan untuk menarik profesional warga Malaysia di luar negara yang berkemahiran tinggi supaya kembali berkhidmat di tanah air. Talent Corporation yang akan ditubuhkan tidak lama lagi akan menerajui inisiatif untuk menarik semula diaspora Malaysia, termasuk wanita yang berkelayakan, untuk kembali dan menyumbang kepada pembangunan negara.

7. Tidak boleh dinafikan bahawa golongan wanita merupakan aset penting dalam perkembangan ekonomi negara dan hakikat ini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam tahun 1970an. Secara langsung PBB telah menekankan peri pentingnya melibatkan golongan wanita dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik negara.

8. Di Malaysia, kerajaan mengiktiraf dan amat menghargai peranan wanita. Kerajaan menganggap “isu wanita” bukan sebagai isu gender semata-mata tetapi sebagai isu keadilan sosial. Di samping usaha sedang giat dijalankan untuk menarik balik bakat Malaysia dari luar negara, sumber manusia terlatih di kalangan kaum wanita tempatan tidak akan diabaikan.

9. Seiring dengan pembangunan yang dikecapi negara, tanggungjawab dan peranan wanita dalam meningkatkan sektor ekonomi negara makin berkembang. Jika dilihat dari aspek penyertaan wanita dalam tenaga buruh, ia telah meningkat daripada 44.7 peratus pada tahun 1995 kepada 45.7 peratus pada tahun 2008, dan ianya terus meningkat kepada 46.4 peratus pada tahun 2009. Dan kerajaan telah menetapkan untuk mencapai sasaran 55 peratus penyertaan wanita dalam guna tenaga pada akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Para hadirin sekalian,

10. Tahun ini beberapa rancangan penting seperti Rancangan Malaysia Kesepuluh, Model Baru Ekonomi dan Pelan Transformasi Kerajaan telah diperkenalkan bagi menggerakkan agenda pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan 2020. Ketiga-tiga landasan kerja ini telah diperkenalkan bagi memandu segala usaha kita ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

11. Semua rancangan kerajaan menekankan peri penting peranan wanita dan mengiktiraf sumbangan mereka dalam pelbagai bidang. Oleh itu, dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh beberapa usaha akan dijalankan bagi membolehkan wanita menyertai dan menyumbang pembangunan negara dengan:

i. meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja;

ii. menambah bilangan wanita di peringkat pembuat keputusan;

iii. menambah baik penyediaan sokongan kepada wanita yang menghadapi kesukaran seperti balu, ibu tunggal dan golongan berpendapatan rendah;

iv. menghapuskan semua jenis diskriminasi terhadap wanita.

12. Kekurangan penyertaan wanita dalam guna tenaga boleh menyebabkan kerugian kepada negara. “Asia Pacific Human Development Report 2010: A Turning Point for Gender Equality in Asia and the Pacific” menunjukkan bahawa negara-negara di Asia Pasifik mengalami kerugian sebanyak US$89 bilion setahun akibat kekurangan wanita dalam tenaga buruh.

13. Dengan peningkatan pemintaan tenaga wanita mahir, sudah pasti kemasukan wanita yang layak akan memperkayakan tenaga kerja dan mengisi jawatan. Terdapat pelbagai pilihan bagi majikan untuk menggalakkan kaum Wanita untuk menyumbang pengetahunan dan kepakaran mereka di bidang yang di perlukan. Untuk mencapai objektif ini, pendekatan yang diperlukan ialah untuk mengamalkan pendekatan yang fleksibel dan lebih kreatif. Umpamanya bagi membolehkan kaum wanita bekerja mengikut jadual waktu yang mampu dilakukan oleh setiap wanita. Kalau mereka boleh bekerja empat jam sehari, maka kita perlu mewujudkan sistem di mana wanita seperti ini dibolehkan menyertai bidang pasaran kerja. Dan ini boleh menguntungkan pihak majikan. Umpamanya, dalam waktu “peak hours” di mana kita memerlukan tenaga tambahan, kita boleh gunakan tenaga wanita. Pada waktu makan tengahari umpamanya, pekerja tetap boleh keluar makan dan wanita boleh ambil tempat mereka untuk tempoh masa dua atau tiga jam. Inilah “flexy hours” yang perlu kita amalkan untuk menggalakkan lebih wanita dalm bidang tenaga kerja.

14. Program Perintis Bekerja Dari Rumah yang diperkenalkan oleh Kementerian Kerja Raya untuk tiga bulan mulai Januari telah dilanjutkan tiga bulan lagi sehingga akhir bulan September. Seramai 38 orang, kebanyakan wanita, menyertai program perintis ini dan setiap peserta dapat menikmati penjimatan kos untuk perkara-perkara seperti bayaran tol, minyak petrol, tambang pengangkutan awam, bayaran letak kereta dan penyelenggaraan kenderaan. Dalam pada itu produktiviti, mereka juga telah meningkat.

15. Satu lagi opsyen ialah waktu kerja yang longgar ataupun “flexi hours” yang mana akan menggalakan wanita mencari kerja dan pada masa yang sama menunaikan tanggungjawab mereka sebagai ibu. Sehubungan dengan ini, kerajaan telah menetapkan bahawa setiap kilang, setiap pejabat awam dan swasta, perlu mengadakan pusat asuhan di tempat kerja. Ini adalah merupakan satu keperluan dan tuntutan kaum wanita yang perlu di ambil kira oleh kita semua.

16. Pekerjaan sambilan juga akan membuka peluang bagi beberapa golongan tenaga kerja termasuk wanita. Kerajaan akan menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober ini yang memberi jaminan faedah tertentu kepada orang ramai yang bekerja separa masa. Peraturan ini memastikan hak dan perlindungan pekerja separa masa daripada segi terma perburuhan lebih jelas dan menyeluruh. Langkah memperkenalkan peraturan baru ini dijangka memberi faedah kepada 6.5 juta orang seperti suri rumah, ibu tunggal, pesara, orang kurang upaya dan pelajar institusi pengajian tinggi yang ingin bekerja secara separa masa. Saya yakin usaha memperkenalkan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan wanita di negara ini, lantas meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja di negara ini.

17. Fokus juga diberi untuk meningkatkan bilangan wanita dalam bidang keusahawanan. Berdasarkan Global Entrepreneurship Monitor Special Report, keusahawanan diiktiraf sebagai satu penggerak signifikan untuk memajukan kebajikan masyarakat serta menggalakkan inovasi dan pertumbuhan ekonomi negara. Sehubungan itu, kerajaan mensasarkan untuk melahirkan seramai 4,000 orang usahawan wanita pada akhir tahun 2012. Saya dimaklumkan bahawa sehingga kini seramai 3,255 orang usahawan wanita telah berjaya dilahirkan. Ini adalah sesuatu yang membanggakan kerana pencapaian ini telah melebihi sasaran awal yang ditetapkan iaitu 2,000 orang usahawan wanita menjelang akhir tahun 2010.

18. Program-program seperti ini sudah tentu akan merangsangkan lagi usaha kita untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. Dan transformasi ini, terutama sekali dari segi meningkatkan pendapatan per kapita rakyat, daripada lebih kurang US$7,000 pasa masa kini kepada US$15,000 pada tahun 2020, tidak mungkin dicapai tanpa penyertaan wanita secara menyeluruh dalam negara. Sebab itulah kerajaan menetapkan agenda untuk memperjuangkan kepentingan wanita, pembangunan wanita, keadilan untuk wanita, ekualiti untuk wanita, segala-galanya untuk wanita, sebagai agenda penting negara yang akan terus diperjuangkan.

Para hadirin sekalian,

19. Inilah harapan saya, semoga kita semua mengambil perhatian yang serius dalam perkara ini dan sebagai satu lagi contoh sikap kita dalam sikap ini ialah dengan mewujudkan Gender Focal Point dimana seorang Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian telah diberi tanggungjawab untuk menggerakkan inisiatif mengintegrasikan gender di peringkat kementerian masing-masing. Saya percaya semua yang dilantik terdiri dari kaum wanita. Ada juga dari kaum lelaki, tetapi saya percaya mereka juga akan memperjuangkan kaum wanita juga.

20. Peranan wanita negara hari ini semakin menyerlah. Mereka semakin berani menampil dan menceburkan diri dalam bidang-bidang dan aktiviti hidup yang lebih mencabar dan lebih sofistikated. Dengan semangat dan azam wanita yang kental ini, disertai dengan kepelbagaian yang ada di kalangan wanita, wanita mampu memacu negara dalam merealisasikan transformasi dan mencapai Wawasan 2020 yang hanya tinggal 10 tahun sahaja lagi.

21. Dalam perjalanan mencapai matlamat ini, pelbagai cabaran pasti akan dihadapi sama ada dari segi pembangunan ekonomi mahupun pembangunan sosial. Oleh itu, wanita yang memainkan pelbagai peranan perlu mempunyai keyakinan diri yang tinggi, berdaya tahan dan gigih berusaha agar dapat menjadikan segala cabaran sebagai pembakar semangat untuk menyemarakkan potensi yang ada dalam mengekalkan kemampanan pertumbuhan ekonomi negara.

22. Dalam usaha mencapai status negara maju, aspek sosial masyarakat tidak boleh diabaikan atau diketepikan, kerana usaha yang perlu dilakukan untuk mengukuhkan lagi institusi keluarga perlu dilakukan. Saya percaya, memanglah ini merupakan salah satu dari “root causes” permasalahan sosial yang sedang kita hadapi. Jika kita hidup dalam keluarga yang penuh dengan kasih sayang, ianya merupakan satu kekuatan dalaman yang akan membolehkan kita menghadapi cabaran dan dugaan. Kalau jiwa kita merupakan jiwa yang kental kerana kita membesar dalam suasana kasih sayang, inilah sebenarnya sumbangan wanita yang amat besar untuk melakar masa depan negara yang lebih cemerlang. Saya percaya kita boleh menyediakan prasarana yang canggih, membelanjakan peruntukan yang besar, tetapi segala-galanya akan sia-sia saja jika asas kekuatan dalaman itu tidak dipeduli. Dan tidak ada pihak yang boleh memainkan peranan ini. Kerajaan juga tidak boleh memainkan peranan ini. Hanya kaum wanita sebagai isteri dan sebagai ibu sahaja boleh memainkan peranan ini. Bukan sahaja sebagai ibu, tetapi sebagai isteri kerana suami yang riang, negara juga akan maju.

23. Saya percaya selain daripada hidup dalam suasana kasih sayang, apa yang penting ialah proses tarbiah komuniti. Pendidikan yang bersifat menyeluruhi, mendidik mereka bagaimana menghadapi situasi-situasi tertentu, itulah dia ubat yang sebaik-baiknya untuk kita membentuk sebuah masyarakat yang lebih bersih daripada segala permasalahan sosial. Mudah-mudahan dalam kita menyambut Hari Wanita ini, kita menambahkan azam kita, satu azam, wanita berazam, wanita beriltizam. Dan inilah komitmen yang saya dapat berikan bagi pihak kerjaan Malaysia, bahawa agenda untuk wanita adalah agenda nasional yang akan terus diperjuangkan.

24. Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Sri Shahrizat yang baru balik daripada menunaikan Umrah. Saya difahamkan dia telah berdoa dengan penuh khusyuk supaya Hari Wanita berjaya dan kerajaan terus menyokong perjuangan wanita. Sama-samalah kita berdoa pada Ramadan penuh berkat ini, mudah-mudahan doa kita mendapat restu dari Allah s.w.t agar wanita terus maju dan dan negara terus maju.

25. Dengan kata-kata demikian, dengan lafaz Bismilahirahmanirahim, saya dengan sukacitanya merasmikan sambutan Hari Wanita 2010.

Terima kasih.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches