31 October, 2010

KARNIVAL DEEPAVALI 1MALAYSIA


1.            Alhamdullilah, saya bersyukur kerana kita dapat berkumpul bersama di majlis Karnival Deepavali 1Malaysia. Saya ingin mengucapkan Deepavali Valtekkal” kepada semua yang hadir, dan juga kepada seluruh masyarakat Hindu di Malaysia. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, iaitu Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia, ataupun MAICCI, kerana sudi memberi penghormatan kepada saya untuk bersama-sama anda semua pada petang ini.

2.            Dalam masa beberapa hari lagi, masyarakat Hindu di seluruh dunia akan menyambut Hari Deepavali. Masyarakat Hindu di Malaysia harus melihat peri pentingnya aspek cahaya perayaan ini yang melambangkan kejayaan cahaya mengatasi kegelapan. Kita harus memperingatkan diri sendiri untuk memerangi kegelapan kerana kita semua berupaya untuk menjanakan cahaya. Dalam erti kata yang lain; “Why worry about the darkness when we can make light.” Kita semua mempunyai kebolehan tersendiri untuk berjaya, bukan sahaja setakat kejayaan diri sendiri, malah juga untuk mencapai kejayaan demi keluarga serta komuniti masing-masing.

Saudara-saudari sekalian,

3.            Sumbangan peniaga-peniaga di Jalan Tengku Kelana dalam membawa pembangunan dan peningkatan kegiatan ekonomi di sini adalah begitu ketara sekali. Kedai-kedai di sekitar kawasan ini menjadikan Jalan Tengku Kelana sebagai “shopping heaven” untuk mendapatkan pelbagai jenis tekstil, pakaian dan barang-barang kemasan serta hiasan India. Saya difahamkan bahawa kawasan ini bukan sahaja menarik pelanggan-pelanggan dari Lembah Klang, tetapi juga dari Kedah sampai ke Johor, serta juga dari Singapura, untuk membeli-belah sempena sambutan Deepavali dan hari-hari kebesaran yang lain.

4.            Taraf keusahawanan yang jelas dicerminkan di Jalan Tengku Kelana ini serta di kawasan-kawasan lain menunjukkan bahawa sumbangan masyarakat kaum India kepada ekonomi dan pembangunan tempatan adalah penting. Ramai para usahawan India telah mengatasi cabaran dan berjaya dalam pelbagai bidang termasuk sektor perniagaan, profesional, pembangunan sosial, pertanian, pembinaan, industri makanan, sektor perkhidmatan dan sebagainya. Pada peringkat korporat kebangsaan, terdapat juga beberapa tokoh perniagaan India yang telah menempuh kejayaan di Malaysia serta di peringkat antarabangsa dalam bidang telekomunikasi, pengangkutan, pakar perunding dan sebagainya. Tambahan kepada kejayaan ekonomi adalah kejayaan sosial dan kebudayaan beribu-ribu NGO India di Malaysia yang mengerakkan peranan harian untuk memelihara warisan dan tradisi serta untuk meningkatkan kualiti hidup komuniti-komuniti India di seluruh negara.

5.            Kejayaan yang dicapai oleh individu dan kumpulan tersebut patut menjadi ilham kepada komuniti. Mesej utama yang patut diteladani adalah bahawa tidak kira apa jua cabaran yang di hadapi, ianya boleh di atasi. Di merata dunia juga terdapat cabaran-cabaran, tetapi di merata dunia juga terdapat contoh-contoh kejayaan. Kejayaan tersebut semuanya berunsurkan individu yang berusaha bersungguh-sungguh, tabah dan mempunyai kepercayaan yang teguh demi cita-cita mereka.

Saudara-saudari sekalian,

6.            Kepada mereka yang saling memberi gambaran bahawa masyarakat India adalah mundur, mereka adalah salah. Di setiap sudut pandangan, saya boleh melihat ramai keluarga dan individu India bertungkus-lumus untuk mencapai kejayaan. Mereka juga sanggup mengalami pelbagai pengorbanan bagi mengesyorkan pendidikan anak-anak mereka. Ini bukanlah sifat-sifat yang diperlihatkan oleh kaum yang mundur, sebaliknya ia mencerminkan ciri-ciri utama satu komuniti yang mempunyai aspirasi yang tinggi dan mulia.

7.            Saya faham bahawa masyarakat kaum India menghayati peningkatan kualiti hidup masing-masing. Saya juga faham bahawa masyarakat India mengharapkan kerajaan dapat memudahcarakan akses kepada peluang yang lebih efektif dalam bidang ekonomi, terutamanya dalam sektor SME, serta juga dalam sektor pendidikan. Langkah-langkah konkrit untuk menaik taraf kualiti pendidikan dan infrastruktur di sekolah-sekolah Tamil adalah penting kepada beribu-ribu ibu bapa dan anak-anak mereka. Tambahan pula, peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan juga menjadi satu permintaan utama masyarakat India yang sering dikemukakan.

8.            Saya tidak menafikan bahawa adanya masalah spesifik yang dihadapi masyarakat India, tetapi apa yang patut difahami adalah bahawa semua kumpulan, mahu pun dari segi kaum, agama, taraf sosio-ekonomi dan sebagainya, mempunyai masalah spesifik masing-masing. Kerajaan Barisan Nasional bertekad untuk bekerjasama dengan komuniti India agar dapat bersama-sama mengatasi cabaran-cabaran tersebut. Usaha-usaha terperinci sedemikian tidak dapat membawa penyelesaian dalam sehari dua tetapi kalau kita tetap bekerjasama dan bertolak-ansur, saya janji kepada anda semua bahawa penyelesaian yang menguntungkan kesemua pihak akan dapat dibangunkan.

Saudara-saudari sekalian,

9.            Kerajaan Barisan Nasional ingin mengerakkan peranan yang positif dan berterusan dalam mendorong usaha setiap rakyat Malaysia mencapai cita-cita masing-masing. Kami benar-benar hendak bersama-sama menjayakan perjalanan anda tersebut. Sepertimana malam ini, di mana saya berada di sini dengan anda semua untuk menyambut Deepavali, Kerajaan juga tetap akan berada di sisi anda apabila pertolongan serta perkhidmatan diperlukan. Anda pula perlu menolak sebarang tanggapan bahawa kerajaan hanya berminat untuk membantu satu kaum sahaja. Tuduhan tersebut, yang disebarkan oleh sesetengah pihak yang mempunyai agenda politik, merupakan fitnah dan adalah salah sama sekali.

10.          Kerajaan pimpinan saya adalah kerajaan untuk semua rakyat Malaysia. Kita telah turun padang dan melaksanakan pelbagai program khas yang membawa agensi-agensi kerajaan ke komuniti-komuniti India di seluruh negara. Kerajaan BN mengambil pendekatan untuk mendampingi rakyat dalam menyelesaikan masalah rakyat. Kami tidak lagi menunggu anda datang ke Putrajaya malah kami bertekad untuk membawa Putrajaya kepada anda. Melalui Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India dan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan, beberapa masalah serius yang dihadapi serta perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat India termasuk ketiadaan surat beranak dan kad pengenalan, sumbangan kebajikan, peluang pekerjaan, kekurangan pinjaman mikro-kredit dan masalah sekolah-sekolah Tamil, sedang diberikan perhatian yang terperinci. Jalan penyelesaian yang lebih cepat kepada masalah-masalah tersebut sedang dikenal pasti dan dilaksanakan melalui inisiatif-inisiatif agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO komuniti India. Ini jelas menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan Barisan Nasional dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi kesemua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

11.          Seperti sambutan dan sokongan terhadap konsep 1Malaysia, rakyat Malaysia berketurunan India juga telah menyambut baik rancangan-rancangan kerajaan seperti Model Ekonomi Baru (NEM), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Pendekatan yang mengutamakan dan sentiasa mendampingi rakyat menjadi faktor utama rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada saya dan Barisan Nasional. Pelbagai program mesra rakyat bersama komuniti India serta “Walkabout” ke Brickfields dan lokasi-lokasi lain akan tetap saya lakukan. Ini adalah kerana sebagai Perdana Menteri, saya ingin jelas menunjukkan kesungguhan Barisan Nasional dalam melaksanakan hasrat Gagasan 1Malaysia.

12.          Dalam pada ini, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Malaysia adalah negara kita semua, atau pun dalam erti kata lain; “Namathu Naadu”. Setiap individu yang lahir di bumi Malaysia merupakan warganegara Malaysia dan bukannya pendatang. Kita dapat melihat sendiri pada hari ini, di kawasan Jalan Tengku Kelana, bagaimana konsep perpaduan dan penyatuan rakyat telah dipraktikkan. Dalam kawasan Bandar Klang ini, kita dapat melihat sebuah masjid dan sebuah kuil, dan di seberang jambatan, terdapat pula komuniti Cina. Inilah cara hidup rakyat Malaysia yang telah diamalkan sejak turun-temurun, dan inilah juga amalan hidup yang berupaya untuk meneruskan Gagasan “Ore Malaysia”.

13.          Arus pembangunan negara yang memberangsangkan sedang turut membawa perubahan yang baik dan berterusan kepada masyarakat India. Walaupun pelbagai pihak cuba mempengaruhi pemikiran masyarakat India dengan kata-kata kosong, namun masyarakat India di Malaysia tetap mempunyai harapan yang tinggi terhadap kerajaan Barisan Nasional. Lihat sahajalah betapa ramainya rakyat Malaysia yang telah berkumpul di sini untuk menyambut Deepavali bersama saya dan pemimpin-pemimpin BN yang lain. Dalam pelbagai program bersama masyarakat India yang telah saya hadiri setakat ini, termasuk baru-baru ini ketika pelancaran Little India di Brickfields, saya melihat kehadiran beribu-ribu rakyat Malaysia keturunan India memberikan sokongan padu kepada saya dan Kerajaan Barisan Nasional. Masyarakat India jelas berada bersama Barisan Nasional dan saya berjanji Barisan Nasional tidak akan mengabaikan anda. Selagi saya menjadi Perdana Menteri, saya akan sentiasa tetap berdekat dengan rakyat. Setiap wakil rakyat Barisan Nasional akan mengambil pendekatan untuk mendampingi rakyat dan memahami aspirasi mereka secara mendalam agar dapat memberikan perkhidmatan dan pertolongan yang lebih berkesan.

Saudara-saudari sekalian,

14.          Seperti yang anda sedia maklum, Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh, telah menjalankan lawatan bilateral beliau yang pertama ke Malaysia baru-baru ini. Lawatan tersebut begitu bermakna kepada hubungan dua hala di antara Malaysia dan India di mana kedua-dua Kerajaan bersepakat untuk membawa hubungan ini kepada tahap yang lebih intensif dan kukuh lagi. Kerajaan Malaysia dan India juga telah bersetuju untuk menandatangani “Comprehensive Economic Cooperation Agreement” atau CECA yang berupaya untuk menjana dagangan dua hala yang diharap akan mencecah AS$15 bilion (RM52.5 bilion) setahun menjelang 2015. Padahal masyarakat India di Malaysia, anda perlu mengerakkan peranan masing-masing dalam membina lagi hubungan erat di antara Malaysia dan India demi kebaikan seluruh negara.

Saudara-saudari sekalian,

15.          Akhir kata, marilah kita semua menyambut perayaan Deepavali tahun ini dengan keazaman cahaya baru menitis kejayaan dan dengan penuh semangat perpaduan “Ore Malaysia”. Dengan itu, saya ingin mengakhiri ucapan dengan menyampaikan salam “Ore Malaysia” dan “Deepavali Valtekkel” kepada semua di sini. Semoga kita berjumpa lagi.

“Nandri, Vanakkam.” Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches