7 September, 2011

Lawatan Ke Istana Kehakiman


    1. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para hakim dan seluruh warga Istana Kehakiman di atas sambutan meriah yang diberikan kepada saya sempena lawatan kerja saya pada hari ini. Ini merupakan lawatan pertama saya ke Istana Kehakiman dan  ia juga merupakan pertemuan pertama saya dengan semua hakim mahkamah atasan. Saya difahamkan bahawa para hakim sedang menghadiri Majlis Persidangan Tahunan yang diadakan di Kuala Lumpur sehingga 9 September ini.
    2. Sebenarnya dalam menimbang untuk membuat lawatan kerja ini, saya mengambil sikap berhati-hati supaya tidak timbul sebarang tanggapan atau perspektif negatif mengenai hubungan antara Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman. The relationship must not only be proper it must  be seen to be proper . Saya amat memahami cabaran para Hakim, saya teringat kata-kata mendiang Thurgood Marshall mantan Hakim Mahkamah Agong Amerika Syarikat “We must never forget that the only real source of power that we as judges can tap is the respect of the people”.  Pentadbiran saya amat menghormati dan memahami keperluan bagi cabang kehakiman yang bebas. “My administration is committed to an independent judiciary which is an essential ingredient  in any successful nation building effort”
    3. Hasil  pembangunan  sosioekonomi yang pesat semenjak kemerdekaan 54 tahun yang lalu Malaysia telah mengalami perubahan yang amat menakjubkan, dari sebuah negara pertanian yang berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dalam masa hanya satu generasi.  Perubahan teknologi, taraf pendidikan dan taraf hidup telah membawa kepada perubahan keutamaan, keperluan, kehendak  dan sistem nilai masyarakat secara keseluruhannya.
    4. Malaysians today have greater access to competing ideas, they are empowered by information technology and the social media, they are much more aware and emboldened in the preservation of their rights and in the advocacy of their concerns, in short Malaysians are a society in transition. Not all conflicts of the future will or can be solved through policy initiatives or in the halls of the legislatures some if not most will end up being decided in the courts as society becomes more litigious and legally conscious. Each and every branch of the government must learn to adapt and be willing to change and transform in meeting new challenges.
    5. Tujuan lawatan saya ke sini ialah untuk meninjau dengan lebih dekat pembaharuan-pembaharuan yang telah dilaksanakan oleh Badan Kehakiman di bawah pimpinan Yang Amat Arif Tun Zaki Tun Azmi. Melalui pengamatan saya dan juga melalui penerangan yang diberikan oleh Tun Zaki sendiri, saya percaya Badan Kehakiman Negara telah melangkah ke satu tahap yang membanggakan terutamanya menerusi usaha-usaha yang dilakukan untuk mengurangkan kes-kes tertunggak.
    6. Proses transformasi yang telah dimulakan   oleh Badan Kehakiman semenjak 2009 adalah hasil  idea dan inisiatif Badan Kehakiman sendiri. Kerajaan hanya berperanan sebagai pemudah cara menyediakan kemudahan infrastruktur dan peruntukan kewangan bagi memastikan setiap agenda perubahan dan pembaharuan yang dilakukan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat. Transformasi yang telah dan sedang dilakukan oleh Badan Kehakiman adalah tepat pada masanya memandangkan Kerajaan juga menerusi‘Government Transformation Program’ atau GTP sedang giat menjalankan pembaharuan dalam pelbagai perkara terutamanya penambahbaikan penyampaian perkhidmatan di semua badan dan agensi Kerajaan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    1. Masalah kes tertunggak atau ‘backlogs’ bukanlah satu masalah luar biasa yang unik kepada mana-mana sistem Kehakiman di dunia ini. Masalah ‘backlogs’ merupakan masalah ketidakcekapan atau ‘inefficiency’ yang kesan akhirnya boleh menghakis kepercayaan rakyat bukan  sahaja kepada sistem Kehakiman tetapi juga kepada kerajaan secara keseluruhannya.
    2. Malaysia misalnya, tidak ketinggalan menghadapi masalah yang sama. Masalah ini dapat memberikan kesan buruk bukan sahaja kepada mangsa atau pihak di dalam sesuatu kes itu tetapi turut memberi impak negatif kepada perkembangan ekonomi negara. Pelabur-pelabur asing yang mengintai dari jauh untuk membuat pelaburan ke dalam negara kita mungkin terpaksa berfikir dua kali kerana sistem kehakiman yang lambat akan menjejaskan perkembangan perniagaan dan sebarang pertikaian perdagangan yang timbul tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.
    3. Badan Kehakiman telah mengambil langkah bijak dan cepat dalam mengatasi masalah ini sebelum menjadi semakin parah. Kes-kes tertunggak di semua mahkamah di negara telah berjaya dikurangkan kepada hampir 90 peratus di semua peringkat mahkamah dalam masa dua tahun. Hasilnya, hampir 3/4 daripada seluruh mahkamah di Malaysia hanya mempunyai kes-kes semasa iaitu kes yang didaftarkan pada tahun 2010 dan 2011 sahaja.
    4. Selain daripada pembaharuan dan perubahan yang ditunjukkan di dalam sikap dan budaya kerja saya juga difahamkan bahawa mahkamah telah memperkenalkan sistem teknologi berkomputer dan juga rakaman audio visual di dalam mahkamah di seluruh negara. Sistem rakaman dan transkripsi mahkamah (court recording and transcription) telah mengurangkan masa untuk sesuatu kes itu didengar di mahkamah dan saya percaya keadilan dapat diberikan sewajarnya kepada orang yang dituduh dan juga mangsa berbanding sebelum ini perbicaraan mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. Sistem e-filing yang diperkenalkan pula telah memudahkan peguam-peguam untuk membuat urusan dengan mahkamah melalui talian dengan mudah, cepat dan berkesan. Dari sudut ini, saya melihat Badan Kehakiman telah bergerak seiringan dengan badan dan jabatan Kerajaan yang lain dan tidak ditinggalkan dengan arus kemodenan dan kecanggihan teknologi.
    5. Selain daripada itu, Badan Kehakiman telah memperkenalkan mahkamah khas yang mendengar kes-kes yang dikhususkan untuk mahkamah tersebut sahaja. Misalnya penubuhan Mahkamah Dagang Baru (New Commercial Court) di Kuala Lumpur telah dapat menyelesaikan kes-kes dagang dalam masa sembilan bulan dari tarikh difailkan. Di mahkamah yang mengendalikan kes perbankan Islam pula, kebanyakan kes dapat diselesaikan dalam masa enam bulan sahaja. Malah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur dan beberapa bandar utama lain di Malaysia, kes-kes sivil dapat diselesaikan sebahagian besarnya dalam masa enam bulan dari tarikh difailkan. Pencapaian ini, saya percaya jika dibandingkan dengan negara-negara Komanwel ataupun negara-negara lain, adalah jauh lebih baik dan pencapaian ini perlu dikekalkan serta dipertingkatkan pada masa hadapan. Melalui inisiatif NKRA untuk memerangi rasuah pula , sebanyak 16 Mahkamah  Khas Rasuah telah ditubuhkan untuk mempercepatkan pendengaran kes-kes rasuah. Ini adalah usaha Kerajaan untuk memastikan kes rasuah dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

    1. Kerajaan berbangga dengan pembaharuan yang telah dilakukan oleh Badan Kehakiman Negara. Pencapaian Badan Kehakiman ini  telah diiktiraf oleh badan dunia seperti Bank Dunia (World Bank) yang telah menyediakan satu laporan bertajuk ‘Malaysia Court Backlog and Delay Reduction Program: A Progress Report’. Saya sempat membaca draf laporan tersebut dan amat tertarik dengan beberapa komen positif yang diberikan oleh pengarang, antaranya beliau menyebutkan;

“The present study reviews a reform designed and implemented by the Malaysian Judiciary during the period from late 2008 to early 2011. Although conducted over a very short period, this reform has been able to produce results rarely reached even in programs lasting two or three times as long. It thus provides a counter-example to contemporary pessimism about the possibility of the judiciary improving its own performance.”

    1. Saya yakin dan percaya bahawa apa yang dilakukan oleh Badan Kehakiman Negara dapat menjadi contoh kepada negara-negara lain. Perkara ini juga dijelaskan di dalam laporan Bank Dunia tersebut yang berbunyi:

“The Malaysian Judiciary’s recent program offers an interesting model for other countries attempting a backlog and delay reduction program, and in fact for those pursuing other goals in their reforms. The Malaysian model is not radical in its content so much as in its ability to follow best  practices, something which few countries in its position manage to do.”

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. Baru-baru ini Badan Kehakiman telah menghantar satu cadangan kepada Kerajaan untuk menaik taraf jawatan Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret berikutan pindaan kepada Akta Mahkamah Rendah 1948  yang menaikkan bidang kuasa Mahkamah Sesyen dan Majistret. Kerajaan sedang meneliti perkara ini dengan serius.
  2. Tidak dapat dinafikan Tun Zaki selaku Ketua Hakim Negara memainkan peranan yang bukan sahaja signifikan tetapi juga monumental dalam memastikan perubahan dan pembaharuan yang diprakarsakan berjaya. He brings credit and merit to the office to which he is entrusted. Pihak kerajaan mengucapkan terima kasih, tahniah for a job well done dan selamat bersara.
  3. Akhir kata saya ingin mengucapkan syabas  kepada Badan Kehakiman di atas pencapaian yang hebat ini dan saya berharap agar program transformasi ini dapat diteruskan dengan pelbagai idea dan inovasi baru bagi memantapkan dan mengukuhkan lagi Badan Kehakiman.
  4. Saya ucapkan terima kasih sekali lagi di atas sambutan yang diberikan oleh seluruh warga Istana Kehakiman ke atas lawatan saya buat  pertama kalinya ke sini. Di kesempatan ini belum terlewat kiranya bagi saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri  Maaf Zahir dan Batin kepada semua.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches