1 July, 2011

Majlis Pecah Tanah Projek River of Life


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Petang dan Salam Satu Malaysia.

1.            Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta rahmat-Nya, kita dapat bersama-sama pada hari ini untuk Majlis Pecah Tanah projek mega River of Life atau dikenali sebagai Sungai Nadi Kehidupan.

2.            Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan juga pihak penganjur kerana telah menganjurkan majlis yang bermakna ini. Tidak lupa ucapan terima kasih saya kepada semua yang hadir pada majlis ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

3.            Sebagaimana yang kita sedia maklum, banyak bandaraya terunggul di dunia seperti London, Paris, Melbourne dan Amsterdam mempunyai jalan air yang begitu ikonik dan terkenal. Kawasan sekitar jalan air ini merupakan destinasi meriah yang menjadi tarikan pelancong dan tumpuan warga kota untuk pelbagai aktiviti sosial dan ekonomi. Sebilangan besar bandaraya berdaya huni yang menduduki tempat teratas mempunyai tepian air atau sungai yang dimanfaatkan untuk tarikan ekonomi dan daya boleh huni. Contoh bandar-bandar yang dimaksudkan termasuklah Vancouver, Melbourne, Auckland, Geneva dan Seoul.

4.            Di negara kita pula, Sungai Klang barangkali merupakan aset semula jadi yang boleh dikira sebagai paling kurang dimanfaatkan. Sesungguhnya, Sungai Klang yang mengalir di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur mempunyai segala ciri untuk menjadi tepian air yang segar dan penuh dengan pelbagai aktiviti kehidupan. Kepentingan unsur sejarah, pusat budaya dan lokasinya dalam lingkungan pusat bandar mempunyai potensi ekonomi dan daya boleh huni yang begitu besar sekali untuk direalisasikan.

5.             Malah, pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak merupakan tempat bersejarah kerana di sinilah tempat lahirnya bandaraya Kuala Lumpur. Di samping itu, terdapat sebilangan besar bangunan dan lokasi bersejarah utama bandaraya seperti Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, Pasar Seni, Kawasan Chinatown-Jalan Petaling, dan juga Masjid Jamek Kuala Lumpur yang merupakan antara masjid yang tertua di Kuala Lumpur. Di sini juga kita boleh melihat pertemuan antara peninggalan warisan sejarah dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang moden.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

6.            Negara kita telah menggarap banyak pencapaian dan juga perlu terus mengharungi pelbagai cabaran besar di masa hadapan. Jika dilihat daripada waktu kita mencapai kemerdekaan sehingga sekarang, kita telah berjaya membina sebuah ekonomi yang kukuh dan mapan, dengan pertumbuhan ekonomi yang stabil. Kita juga telah berjaya membasmi golongan miskin tegar. Rakyat juga kini mempunyai akses kepada pelbagai kemudahan asas seperti rawatan kesihatan, pendidikan, dan telekomunikasi. Bahkan, rakyat Malaysia sekarang menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

7.             Namun, masih banyak lagi yang perlu kita buat. Malaysia perlu melaksanakan transformasi ekonomi agar setanding dengan negara-negara berpendapatan tinggi seperti Hong Kong, Korea Selatan dan Australia yang mencatatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM70,000 per kapita atau lebih dan ianya tidak mustahil bagi kita untuk mencapai tahap tersebut sekiranya kita menggandakan usaha untuk menarik pelaburan, memacu peningkatan produktiviti dan menjadikan inovasi dan kreativiti sebagai landasan pemikiran.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

8.            Sepertimana yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tadi, pada bulan Oktober tahun lalu, Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan sembilan Projek Permulaan atau “Entry Point Projects” (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi bagi Greater Kuala Lumpur – Klang Valley (Greater KL—KV) yang dijangka akan menghasilkan RM190 Bilion PNK tambahan menjelang tahun 2020. Seperti yang kita maklum, salah satu daripada EPP tersebut ialah Memulihara Sungai Klang untuk dijadikan pusat warisan dan komersial bagi Greater KL—KV.

9.            Sebelum ini, Kerajaan telah mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk membersihkan sungai kita. Namun, hakikatnya, sungai-sungai kita masih tercemar dengan tahap kualiti air yang semakin merosot berikutan daripada aktiviti-aktiviti ekonomi sepanjang sungai. Jika dilihat dari segi kualiti air di sungai-sungai kita, ianya adalah di antara Kelas 2 di bahagian hulu dan Kelas 4 dan Kelas 5 di bahagian sungai yang berada di pusat bandar.

10.         Adalah dianggarkan bahawa sekitar 170 ton sampah memasuki Sungai Klang setiap tahun, tetapi, hanya 25 ton sahaja yang berjaya dikutip semula. Di samping itu, bahan sisa kumbahan, sama ada yang belum atau sudah dirawat memasuki sungai kita setiap hari.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

11.         Sungai itu boleh menjadi nadi kehidupan bersesuaian dengan nama projek mega ini iaitu River of Life. Pemuliharaan dan pembangunan semula Sungai Klang mempunyai potensi ekonomi yang besar dan daya hidup yang tinggi. Ini boleh dicapai dengan peningkatan nilai hartanah sepanjang koridor sungai, peningkatan peluang pekerjaan, menggalakkan pelancongan dan menyediakan ruang sihat bagi pengunjung dan penduduk tempatan.

12.         Baru-baru ini, saya telah berpeluang melawat projek pemuliharaan sungai CheongGyeCheon di pusat bandaraya Seoul. Projek ini merupakan antara contoh terbaik transformasi sebuah sungai yang tercemar dan kotor di pusat bandar menjadi sebuah sungai contoh yang dilengkapi dengan laluan pejalan kaki yang indah, beberapa jambatan penghubung dan air pancut untuk dinikmati warga kota.

13.         Saya difahamkan, Seoul mencatatkan 18 juta ketibaan pelancong untuk mengunjungi sungai yang telah dipulihara ini pada tahun 2008 sahaja. Setakat ini, projek terkenal ini telah menelan belanja US$470 juta. Namun, nisbah faedah-kos projek adalah sebanyak 1.85 kali ganda, dan projek ini telah berjaya mewujudkan sebanyak 10,700 peluang pekerjaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

14.         Projek River of Life ini merangkumi tiga komponen:

  • Pertama, pembersihan sungai;
  • Kedua, pengindahan koridor sungai, seterusnya meningkatkan tarikan bandaraya Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancong bertaraf dunia, mewujudkan rangkaian laluan berbasikal serta pejalan kaki, dan pengangkutan air dan
  • Ketiga ialah pembangunan tanah Kerajaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan merealisasikan nilai untuk Kerajaan dan rakyat.

15.         Kerajaan memiliki tanah terbiar sepanjang sungai ini dan tanah ini akan meningkat nilainya berikutan kerja-kerja pembersihan dan pengindahan projek. Bagi merealisasikan nilai tambah tanah ini, tanah akan dibangunkan dengan kerjasama Kerajaan dan pihak swasta.

16.         Untuk makluman juga, ini merupakan model pembiayaan yang baru dan bukan berasaskan model pembayaran tertangguh yang digunakan sebelum ini, dan lebih mapan atau “sustainable”. Ini memberikan keyakinan bahawa projek ini boleh dilaksanakan dengan jayanya.

17.         Malah, sekiranya dinilai dari segi sumbangan kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) Malaysia, projek ini dijangka memberi sumbangan sebanyak RM11.3 Bilion sehingga tahun 2020, atau RM1.4 Bilion setahun. Ini merupakan 5% daripada pertumbuhan PNK sebanyak RM30 Bilion setahun yang perlu kita capai dari sekarang hingga tahun 2020 bagi membolehkan kita mencapai status negara maju.

18.         Satu lagi peristiwa penting akan tercatat dalam kalendar Program Transformasi Ekonomi (ETP) iaitu pada hari ini ,secara fizikalnya aktiviti membersih dan mengindahkan sungai ini akan bermula. Apabila projek ini siap kelak, warga kota akan mempunyai kawasan tepian air yang bersih dan rancak dengan pelbagai aktiviti, yang saya yakin, boleh kita banggakan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

19.         Akhir kata, ingin saya tekankan di sini bahawa kita perlu berganding bahu untuk merealisasikan aspirasi kita untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang lebih bersih, hijau dan lebih berdaya hidup. Saya menyeru warga kota supaya bersama-sama menjaga kebersihan sungai kita dan tanamkan kesedaran cintakan kebersihan dan persekitaran yang sihat.

20.         Ianya bukan sahaja boleh dinikmati oleh kita pada masa sekarang, malah, ianya juga akan dinikmati oleh generasi yang akan datang. Barulah hasrat dan aspirasi kita untuk menjadikan Kuala Lumpur antara bandaraya yang terunggul di dunia akan tercapai.

21.         Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan berbesar hati merasmikan upacara Pecah Tanah dan permulaan Projek River of Life ini.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatuallhi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches