24 March, 2011

Majlis Pelancaran Anugerah ICT NEF – Awani 2010


1. Saya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta rahmatNya, kita dapat bersama pada hari ini untuk Majlis Anugerah ICT NEF-AWANI 2010 yang pertama. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) dan Astro Awani atas usaha sama kedua-dua pihak dalam menganjur Majlis ini bagi memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat yang menceburi industri ICT.
Hadirin sekalian,
2. Saya yakin, tidak ada mana-mana pihak dapat menafikan transformasi yang telah merubah landskap ekonomi negara sepanjang 50 tahun yang lalu. Dari sebuah negara pertanian yang bergantung kepada eksport komoditi hari ini asas ekonomi Malaysia telah berjaya dipelbagaikan, sektor perkhidmatan moden dan pembuatan kini telah menjadi sektor dominan ekonomi negara.
3. Segala kejayaan yang dicapai 50 tahun yang lalu bersifat momumental apabila pertumbuhan ekonomi dan penciptaan kekayaan telah berjaya diselarikan dengan kewujudan keadilan sosial melalui prinsip “equitable distribution of wealth”. Hasilnya kemiskinan telah diturunkan dengan drastik dan negara telah berubah dari sebuah negara berstatus berpendapatan rendah menjadi kepada sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi.
4. Namun hari ini persekitaran ekonomi dunia telah berubah dan kita dihadapkan dengan set cabaran yang baru. Fenomena Globalisasi yang digerakkan kemajuan teknologi maklumat, komunikasi dan pengangkutan telah menjadikan formula kejayaan lampau seperti pergantungan kos buruh yang murah, pelaburan terus asing, infrastruktur fizikal serta pasaran eksport tidak lagi cukup untuk pertumbuhan yang mapan dan perubahan ke arah negara maju berpendapatan tinggi.
5. Hari ini negara berada di satu persimpangan kritikal iaitu melakukan perubahan yang bersifat lonjakan berganda melibatkan soal struktural, institusi, dasar dan cara kerja atau melaksanakan perubahan bersifat tempelan dan berdikit lantas berisiko menjadi sebuah negara gagal atau “failed state”. Cabaran mutakhir adalah lebih besar kerana kita perlu menghadapi semua ini dengan memastikan keadilan serta kestabilan sosial tanpa menakutkan mana-mana pihak sekalipun.
Hadirin sekalian,
6. Untuk itu Bumiputera abad ke-21 wajib dipersediakan untuk eranya. Penumpuan terhadap hak tanpa mengoptimakan sepenuhnya peluang yang terbit dari hak tersebut adalah sikap yang merugi dan membazirkan bukan sahaja kepada individu terbabit tetapi juga kepada kaum Bumiputera secara keseluruhannya. Inilah yang berlaku apabila kerajaan memperuntukkan sejumlah saham yang bernilai RM 54 Bilion kepada syarikat-syarikat Bumiputera akhirnya yang tinggal kekal menjadi pegangan Bumiputera hanya RM 2 bilion. Banyak pihak akan marah apabila dihadapkan dengan fakta ini tetapi untuk mula menyelesaikan sebarang masalah kita perlu mengenal pasti apakah masalah yang perlu ditangani.
7. Bumiputera abad ke-21 perlu menjadikan pembinaan keupayaan dan kemahiran sebagai mercu tanda baru bagi memanfaatkan peluang yang ada berbanding terperangkap dengan polemik hak yang tidak berkesudahan. Kita harus menjadi Bumiputera yang berdaya tahan resourcefull dan mampu mencipta serta mencipta semula diri bagi setiap situasi. Bumiputera harus berbangga dengan hasil kerja dan pencapaian mereka, tidak takut untuk belayar dalam perairan yang tidak atau belum lagi diterokai.
8. Kita tidak mahu kaum Bumiputera dilihat sebagai kaum yang meminta-minta, kita tidak rela dilihat sebagai kaum yang cepat berpuas hati dan suka berada dalam zon selesa. pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya.
Hadirin sekalian,
9. Pada hari ini, kreativiti serta inovasi ICT memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang. Ini termasuk, memudahkan urusan perdagangan, rawatan kesihatan, mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan penggunaan ilmu pengetahuan dan pada masa yang sama, memantapkan lagi ekonomi dunia. Semenjak tidak kurang dari empat dekad lalu, industri ini berkembang pesat sehingga menjadi asas kepada penjanaan pertumbuhan ekonomi dunia.
10. Seperti kita sedia maklum, organisasi ICT di Malaysia, kini telah memainkan peranan yang amat penting di dalam pembangunan industri ICT. Saya amat berbangga kerana negara kita mempunyai asas yang kukuh dalam pelbagai bidang ICT, termasuk pembangunan perisian, aplikasi serta pembekal perkhidmatan teknologi maklumat.
11. Dalam kita menuju ke arah Model Baru Ekonomi berpaksikan pengetahuan dan inovasi, kita perlu mempunyai perisian intelek dan berteknologi canggih serta terkini. Industri ICT memainkan peranan yang amat penting dalam memenuhi hasrat Kerajaan ini, untuk rakyat Malaysia.
12. Justeru itu syabas saya ucapkan kepada usaha sama NEF-Awani ini untuk mengiktiraf, buat pertama kali, usaha-usaha organisasi-organisasi Bumiputera, di dalam industri ICT.
Hadirin sekalian,
13. Saya difahamkan ramai yang mempertontonkan produk-produk syarikat ICT Bumiputera di pameran sempena Majlis ini. Sesungguhnya ianya mencerminkan kebolehan Bumiputera untuk menyediakan produk-produk yang berdaya saing bukan sahaja untuk pasaran Malaysia, malah untuk pasaran Antarabangsa.
14. Walaupun kita saksikan kemampuan Bumiputera menyediakan produk-produk berdaya saing di dalam industri ICT, namun perjalanan masih jauh bagi golongan Bumiputera untuk merapatkan jurang ekonomi yang wujud di antara Bumiputera dan golongan lain.
15. Memandangkan jurang ini, Kerajaan baru-baru ini, telah menubuhkan satu Unit di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU). Unit ini merupakan lanjutan dari penubuhan Majlis Tindakan Agenda Bumiputra yang saya umumkan pada bulan Oktober 2010 di persidangan tahunan UMNO.
16. Penubuhan TERAJU untuk memacu serta menyelaras Agenda Bumiputera adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi Negara ke arah Negara maju, berpendapatan tinggi, berdaya tahan serta berdaya saing. Objektif utamaTERAJU adalah untuk menyelaraskan transformasi serta memperkukuhkan penyertaan golongan Bumiputera agar jurang ekonomi yang wujud di antara Bumiputera dengan kaum lain, dapat di rapatkan.
17. Saya difahamkan NEF telah mengambil langkah proaktif untuk memberi sokongan kepada Agenda Transformasi Bumiputera dengan menjalinkan kerjasama dengan TERAJU. Kerjasama ini selaras dengan pendekatan TERAJU, iaitu penekanan terhadap konsep kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk agensi-agensi yang dikenal pasti, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak-pihak berkepentingan yang berkenaan (Stakeholders).
Hadirin sekalian,
18. Bagi NGO dan persatuan-persatuan Bumiputera, langkah-langkah transformasi hendaklah mengambil kira beberapa perkara, di antaranya adalah:
a) Memberi fokus kepada Pembangunan Kapasiti & Keupayaan – Persatuan & NGO perlu memberi penekanan dalam pembangunan modal insan yang strategik;
b) Persatuan & NGO Bumiputera perlulah lebih sensitif kepada pergerakan dan permintaan pasaran dan mempunyai keupayaan untuk memperolehi projek serta peluang bagi ahli-ahli mereka. Perkara ini akan menjadi kayu ukur kemampuan persatuan berkenaan;
c) Memastikan tiada duplikasi di antara peranan persatuan peringkat Nasional & persatuan Bumiputera. Saya amat berharap satu kerjasama yang bermanfaat dapat dijalinkan agar persatuan Bumiputera akan berjaya menyumbang dengan lebih signifikan untuk mempertingkatkan komuniti Bumiputera;
d) Sebagai persatuan Bumiputera, adalah menjadi tanggungjawab setiap persatuan untuk mengetahui dan merasai nadi keperluan ahli-ahli mereka. Persatuan harus menerajui inisiatif ke arah memenuhi keperluan-keperluan ini serta mencari jalan penyelesaian permasalahan yang dilalui oleh ahli-ahli. Perkara ini amat penting untuk memastikan isu-isu industri yang dihadapi oleh peniaga Bumiputera dapat diatasi; dan
Dan akhir sekali;
e) Persatuan harus memainkan peranan penting dari segi penciptaan pelantar bagi jaringan hubungan (Networking Platform). Keupayaan Persatuan untuk membina jaringan ahli serta hubungan dengan agensi-agensi kerajaan dan pelbagai organisasi boleh membawa manfaat kepada ahli-ahli yang mungkin tidak berupaya menjalin hubungan berkenaan. Malah, saya difahamkan Majalah rasmi NEF dinamakan “The Network” yang mencerminkan konteks Jaringan ICT serta Jaringan hubungan perniagaan.
Para hadirin sekalian,
19. Saya dimaklumkan bahawa TERAJU dan NEF telah pun mencapai kata sepakat untuk bekerjasama dalam beberapa aspek untuk lebih mempertingkatkan transformasi Bumiputera, terutamanya di dalam bidang ICT. Saya difahamkan kerjasama yang telah dipersetujui termasuk:
a) Usaha sama untuk menyediakan rangka kerja bagi membangunkan platform pemasaran bagi syarikat yang terlibat di dalam bidang Kreatif & Teknologi;
b) Usaha sama di dalam penyediaan rangka kerja untuk mempertingkatkan daya saing syarikat ICT & Kreatif;
c) Program Khusus Skim Jejak Jaya ICT; dan
d) emperkenalkan Direktori ICT Bumiputera Kebangsaan (National Bumi ICT Directory) sebagai sumber rujukan syarikat Bumi ICT bagi pelbagai inisiatif.
20. Memandangkan aspek-aspek yang telah dikenal pasti di antara NEF dan TERAJU, saya amat berharap kerjasama di antara kedua-dua pihak ini akan dapat menghasilkan satu model Transformasi Agenda Bumiputera yang akan memacu serta menyelaras Agenda ini, agar langkah-langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan dengan efektif, terutamanya di dalam sekor ICT.
Para hadirin sekalian,
21. Memandangkan pembangunan Industri ICT tempatan yang membanggakan tidak hairanlah sekiranya suatu masa nanti, syarikat-syarikat ICT Bumiputera mendapat pengiktirafan sebagai syarikat ICT bertaraf dunia. Ini sudah tentu dapat mempertingkatkan taraf Industri ICT justeru memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Asia yang mempunyai pasaran ICT yang membangun dengan pesat.
22. Transformasi yang efektif melibatkan tahap kemahiran yang tinggi, perancangan, kemahuan serta keikhlasan individu untuk mencapai kecemerlangan, bersama syarikat. Dengan usaha sama setiap individu serta penambahbaikan daya kreativiti serta inovasi, insyaalah, pasti jenama syarikat, malah jenama Malaysia akan menjadi jenama yang terkemuka di mata dunia.
23. Usaha sama NEF & Astro Awani ini mencerminkan kegigihan kedua-dua pihak di dalam mempertengahkan aspek kreativiti serta inovasi di dalam menganjur Majlis Anugerah ICT NEF AWANI ini. Pendekatan yang diambil oleh pihak penganjur berbeza dari anugerah lain.
24. Saya amat berharap, kesemua calon-calon Anugerah ini telah mendapat manfaat dalam melalui proses anugerah ini. Semoga segala pengalaman yang dilalui dapat diterjemahkan dan diguna pakai untuk menghasilkan peningkatan di dalam perniagaan masing-masing. Bagi mereka yang mendapat pengiktirafan, tahniah diucapkan dan bagi mereka yang belum lagi memperolehi pengiktirafan, dengan usaha dan kegigihan, masa anda juga akan tiba, Insya-Allah.
25. Akhir kata, dengan lafaz Bismillah Hirrahmanir Rahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Majlis Anugerah ICT NEF-Awani yang pertama.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches