12 July, 2012

Majlis Pelancaran Dokumen Pelan Induk PKS (2012-2020)


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.

Ahli-ahli Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

1.        Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua kita dapat bersama-sama hadir dalam majlis Pelancaran Pelan Induk PKS (2012-2020) ini.

PELAN INDUK PKS SEBAGAI ‘GAME CHANGER

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

2.        Pelan Induk PKS merupakan salah satu usaha yang sangat penting dalam lipatan sejarah pembangunan PKS di negara ini. PKS bukan sahaja akan memainkan peranan sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi, malah menjadi tunjang kepada proses transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

3.        Lantaran persekitaran luaran yang sentiasa berubah dan persaingan yang semakin sengit, Negara memerlukan satu formula baharu untuk menjana pertumbuhan dan pelaburan, iaitu melalui sumber pertumbuhan domestik yang terdiri daripada PKS.

4.         Justeru itu, Pelan Induk PKS akan bertindak sebagai ‘game changer’ bagi melonjakkan sumbangan PKS kepada ekonomi dan seterusnya membawa pembangunan PKS ke satu peringkat yang lebih tinggi, menerusi peningkatan produktiviti dan pertumbuhan  yang dipacu oleh inovasi.

LONJAKAN BERGANDA BAGI PERTUMBUHAN IKS

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

5.        Pelan Induk PKS akan melakar hala tuju PKS, dengan mensasarkan peningkatan sumbangan PKS kepada KDNK daripada 32% pada tahun 2010 kepada 41% pada tahun 2020. Ini memerlukan satu lonjakan berganda dalam pertumbuhan PKS yang akan tercapai menerusi enam Program Berimpak Tinggi (High Impact Programme) dan langkah pelengkap lain. Secara keseluruhannya, Pelan tersebut menyarankan sejumlah 32 inisiatif.

6.        Inisiatif ini dijangka dapat mencapai empat matlamat utama Pelan Induk iaitu, meningkatkan pertumbuhan perniagaan, menambah bilangan syarikat yang mempunyai pertumbuhan tinggi dan berinovasi, meningkatkan tahap  produktiviti dan mempergiat formalisasi perniagaan. Kesemua matlamat ini akan menyumbang kepada visi Pelan Induk untuk melahirkan PKS yang berdaya saing di peringkat global bagi meningkatkan kekayaan dan kesejahteraan rakyat.  Sehubungan dengan ini, berdasarkan mesyuarat pagi ini, kita telah menekankan kepada satu strategi baru yang diberi nama ‘break out’ strategi di mana kita ingin memberi galakan dan sokongan supaya mikro-enterprise yang pada masa kini berjumlah 77% daripada semua PKS dinaikkan dan dilonjakkan status mereka sebagai PKS. Kita ingin memastikan mikro-enterprise ini dapat dijadikan kepada bisnes enterprise yang lebih besar.

7.        Jika ditinjau dari perspektif yang lebih besar, Pelan Induk PKS ini sebenarnya sesuatu yang strategik dan pelengkap kepada dasar dan inisiatif sedia ada Kerajaan. Saya mengatakan strategik kerana kita mempunyai masa terhad, hanya kira-kira lapan tahun lagi bagi mencapai Wawasan 2020.

8.        Justeru, semua dasar ekonomi penting termasuk pembangunan PKS, harus bergerak seiring bagi mencapai sasaran yang ditetapkan. Sebagai pelengkap pula, Pelan Induk PKS turut berusaha memperkukuh dasar makro lain, yang mendokong inisiatif di bawah Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi.

PENDEKATAN BAHARU MENGGALAKKAN PERKONGSIAN AWAM-SWASTA

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

9.        Pelan Induk ini mengambil pendekatan baharu dalam pembangunan PKS. Pelan ini yang dibangunkan dengan kerjasama World Bank, adalah berdasarkan kepada bukti dan analisis yang terperinci, dengan menerapkan amalan yang terbukti berkesan.

10.     Pelan Induk ini mengutamakan penyampaian menerusi pembangunan mekanisme penilaian dan pemantauan bagi mencapai hasil yang disasarkan. Untuk tujuan ini, peranan serta fungsi Agensi Penyelaras Pusat PKS iaitu SME Corp. Malaysia, perlu diperkukuh dan diperkasa bagi membolehkannya bertindak sebagai peneraju kepada Pelan Induk PKS.

11.     Di samping itu, menerusi perkongsian awam-swasta, Kementerian dan Agensi pelaksana yang lain akan bekerjasama serta berkongsi tanggungjawab dan akauntabiliti dengan sektor swasta ke arah mencapai matlamat Pelan Induk PKS.

12.     Suka saya nyatakan di sini bahawa Pelan Induk turut melibatkan proses permuafakatan dengan semua pihak berkepentingan termasuk sektor swasta bagi memastikan inisiatif yang dicadangkan adalah pragmatik, relevan dan boleh dilaksanakan. Kerajaan pula akan memainkan peranan sebagai pemudah cara dan pemangkin dalam membangunkan satu ekosistem yang kondusif untuk PKS.

‘PELAN SEPANJANG HAYAT’ DAN UNTUK SEMUA GOLONGAN

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

13.     Pelan Induk PKS adalah ‘pelan sepanjang hayat’ yang akan terus kekal relevan dengan perubahan masa. Pelan ini bukanlah sesuatu yang begitu rigid tetapi satu pelan yang dinamik dan fleksibel, yang akan disesuaikan dengan perubahan persekitaran bagi mencapai hasil yang optimum untuk menggalakkan pertumbuhan dan pelaburan PKS dalam ekonomi negara.

14.     Pelan Induk ini juga adalah untuk semua sektor dan menjangkau segenap lapisan masyarakat, termasuk usahawan Bumiputera dan mikro. Umpamanya, program Keterangkuman Inovasi yang merupakan salah satu daripada Program Berimpak Tinggi di bawah Pelan Induk, disasarkan kepada golongan 40% terendah dalam piramid pendapatan. Program ini bertujuan memperkasa golongan ini dalam usaha meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan sosial masyarakat secara umum. Manakala PKS dengan kadar pertumbuhan pesat dan lebih canggih pula, akan diberikan sokongan padu oleh Kerajaan supaya dapat terus meningkat menjadi jaguh tempatan atau ‘homegrown champion’.

SATU PERMULAAN BAHARU

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

15.     Pelancaran Pelan Induk PKS hari ini merupakan satu titik permulaan dalam usaha untuk membawa pembangunan PKS ke tahap yang baharu. Perjalanan sebenar akan bermula dengan pelaksanaan Pelan Induk dan hanya akan bertitik noktah apabila mencapai matlamat yang disasarkan.

16.     Justeru itu, saya menyeru semua Kementerian dan Agensi serta pihak swasta yang terlibat dalam pembangunan PKS supaya bersama-sama menggembleng tenaga dalam menjadikan Pelan Induk PKS ini satu realiti.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Dokumen Pelan Induk PKS 2012-2020.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches