11 February, 2010

Majlis Pelancaran MY Corporate Identity (MYCOID)


Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob,
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan;

Yang Berhormat Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri;

Yang Berbahagia, Tan Sri Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara;
Ketua Setiausaha- Ketua Setiausaha,

Tuan-tuan dan Puan- Puan yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, selamat petang dan salam 1Malaysia.

Pertama-tama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Y.B. Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana telah menjemput saya bagi melancarkan MyCoID.

1. Saya ingin memulakan ucapan saya pada petang ini dengan membuat beberapa pemerhatian yang pada hemat saya amat relevan di dalam konteks negara pada hari kini:

· Pertama: Secara umumnya corak dan hala tuju ekonomi dunia sentiasa mengalami perubahan. Dalam era kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi ini, perubahan berlaku dengan kadar yang amat pantas. Kita tidak ada pilihan, untuk tidak statik dan terus maju ke hadapan kita perlu untuk sentiasa berada di hadapan keluk perubahan.

· Kedua: cara-cara atau kaedah yang mungkin berkesan empat puluh tahun, dua puluh tahun malahan sepuluh tahun yang lalu hari ini telah di pintas masa. Hari ini kita berhadapan dengan dua cabaran besar pertama bagaimana untuk memastikan ekonomi negara terus berada pada landasan pemulihan dan kita tidak kembali mengalami kemelesetan dan kedua bagaimana untuk memastikan Malaysia keluar dari perangkap negara berpendapatan sederhana kepada status sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

· Ketiga: hakikatnya jika kita tidak berani untuk melihat dan menilai semula secara komprehensif semua cara-cara dan kaedah yang sedia ada dengan matlamat untuk merubah ke arah yang lebih baik maka negara akan “regress”. “Extraordinary times requires extraordinary solutions, implementing these solutions requires an unprecedented level of boldness and audacity.”

2. Baru-baru ini saya telah menggariskan empat paksi pentadbiran saya ke arah tahun 2020 dan pascanya:

· Pertama gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian diutamakan sebagai paksi teras.

· Kedua Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diukur melalui kaedah yang jelas serta sistematik iaitu NKRA dan NKPI.

· Ketiga Model Ekonomi Baru yang merupakan “Road Map” komprehensif ke arah transformasi ekonomi Malaysia secara yang ‘total’ dan;

· Keempat Rancangan Malaysia ke-10 sebagai blok binaan pertama ke arah model ekonomi baru.

3. Namun kesemua empat paksi akan sia-sia jika ia tidak dipandu serta digerakkan semangat kreativiti dan inovasi bagi mencipta nilai tambah yang lebih tinggi serta budaya pelaksanaan yang pantas, cekap dan berkesan.

Tuan- Tuan dan Puan- Puan sekalian,

4. Pada hari ini, kita boleh berbangga dengan satu inisiatif yang telah membuktikan bahawa budaya kreativiti, inovasi dan pelaksanaan yang pantas masih subur di kalangan jabatan-jabatan kerajaan. KPDNKK melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama PEMUDAH, Kementerian Kewangan, MAMPU, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan SME Corp telah membangunkan konsep satu identiti korporat untuk kegunaan pelbagai urusan pendaftaran dan rujukan antara agensi yang dikenali sebagai MyCoID. Dengan ini, rakyat dan warga korporat kini tidak lagi akan dibebankan dengan beberapa nombor rujukan yang berlainan apabila berurusan dengan pelbagai agensi Kerajaan.

5. Kini urusan-urusan pendaftaran dan rujukan di agensi-agensi ini akan mengguna pakai hanya satu nombor sahaja iaitu nombor pendaftaran syarikat (company registration number) yang dikeluarkan oleh SSM sebagai nombor rujukan tunggal. Ini merupakan satu langkah strategik ke arah mempermudah kan amalan perniagaan di Malaysia.

Tuan- Tuan dan Puan- Puan,

6. Saya melihat MyCoID merupakan satu titik permulaan ke arah merevolusikan kaedah pendaftaran yang melibatkan antara agensi Kerajaan pada skala lebih baik namun tetap memudahkan rakyat ”It will increase government efficiency without adding to the complexity” .

7. Fasa pertama MyCoID akan memperkenalkan penggunaan satu nombor rujukan untuk kegunaan di pelbagai agensi. Inisiatif ini akan ditambah baik melalui fasa kedua iaitu dengan memperluas serta memaksimumkan potensi pemakaian MyCoID menerusi pembangunan sistem yang akan membolehkan pengkalan data dan maklumat berlaku secara automatik. Ini bermakna pemilik-pemilik syarikat baru tidak lagi perlu pergi ke pelbagai agensi untuk tujuan pendaftaran kerana proses tersebut boleh berlaku serentak dengan hanya satu proses pendaftaran di SSM.

8. Kini, KPDNKK melalui agensi peneraju SSM dengan kerjasama beberapa agensi seperti MAMPU dan LHDN sedang menjalankan beberapa inisiatif ke arah mengurangkan masa untuk memulakan perniagaan berdasarkan piawaian Bank Dunia daripada 11 hari kepada 3 hari. Projek MyCoID akan memainkan peranan utama di dalam menjayakan misi nasional ini. Pelaksanaan satu entiti korporat MyCoID merupakan inisiatif aplikasi sentuhan tunggal (single touch point) yang akan memendekkan masa untuk memulakan dan menjalankan perniagaan di Malaysia.

9. Saya difahamkan KPDNKK memerlukan peruntukan berjumlah RM4.5 juta untuk membangunkan sistem pintu laluan (gateway) di SSM bagi membolehkan pendaftaran secara serentak dilakukan di kesemua agensi di bawah MyCoID. Dengan ini kerana inisiatif amat besar dan mengangkat imej negara saya dengan sukacitanya meluluskan peruntukan khas bagi KPDNKK melaksanakan projek ini pada tahun ini.

Tuan- Tuan dan Puan- Puan,

10. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan SSM telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam menyokong inisiatif-inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Kerajaan melalui pemberian diskaun bayaran fi bagi tujuan pemerbadanan syarikat (incorporation of companies), pendaftaran milikan tunggal dan perkongsian. Inisiatif ini yang bermula pada 1 April 2009 akan berakhir pada 31 Mac 2010.

11. Hasil inisiatif sokongan tersebuttelah menghasilkan pertambahan ketara pendaftaran perniagaan (milikan tunggal dan perkongsian) dari 269,866 pada tahun 2008 kepada 312,581 pada tahun 2009 iaitu peningkatan sebanyak 16%.

12. Walau pemerbadanan syarikat tempatan menyaksikan pengurangan namun ia amat minimum iaitu hanya sebanyak 0.05% iaitu pengurangan daripada 41,599 syarikat yang diperbadankan pada tahun 2008 kepada 41,578 pada tahun 2009.

13. Kejayaan ini adalah memberangsangkan kerana walaupun persekitaran ekonomi global bersifat lembap pada tahun 2009 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menguncup namun pertumbuhan pendaftaran perniagaan masih mampu mencapai pertumbuhan yang memberangsangkan pada kadar 2 digit (iaitu 16%), manakala kadar pemerbadanan dan pendaftaran syarikat baru masih berada di tahap yang stabil.

Tuan- Tuan dan Puan- Puan,

14. Saya amat yakin idea inovatif MyCoID ini bukan sahaja memudahkan rakyat untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan, malahan juga akan dapat membantu mempertingkatkan aktiviti urus niaga domestik yang mampu menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara. Pencapaian ini merupakan satu bentuk tindakan menongkah arus yang wajar dicontohi oleh semua.

15. Ini membuktikan tanggapan bahawa jentera kerajaan perlahan di dalam pelaksanaan adalah tidak tepat. Bila ada kemahuan di situ ada jalan ”where there is a will there is a way”.

16. Akhir kata, saya harap penerapan budaya inovasi dan transformasi penyampaian perkhidmatan awam akan terus menjadi amalan dan menghasilkan idea-idea baru yang dapat meningkatkan produktiviti Negara.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan ini saya merasmikan Majlis Pelancaran MyCoID.

Sekian.

Shares Share Kategori : Speeches