30 April, 2012

Majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta


UCAPAN

YAB DATO’ SRI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK

MAJLIS PENGUMUMAN GAJI MINIMUM SEKTOR SWASTA

30 April 2012

 

Bismillahirahmanirahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

Para pekerja Malaysia,

    1. Alhamdulillah, marilah kita memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi, atas limpah kurniaNya dapat kita berhimpun dalam Majlis yang penuh bersejarah pada malam ini.
    2. Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Menyambut Hari Pekerja 2012 kepada seluruh warga pekerja Malaysia. Sesungguhnya kejayaan Malaysia semalam, hari ini dan hari muka tidak mungkin tercipta tanpa sumbangan dan jasa Tuan-Tuan dan Puan-Puan para pekerja Malaysia.
    3. Saya bagi pihak kerajaan dan rakyat ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas segala budi dan jasa lebih 12 juta warga pekerja Malaysia yang telah bersama-sama berusaha gigih untuk merealisasikan wawasan nasional ke arah Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Para pekerja Malaysia,

    1. Hari ini landskap ekonomi global semakin kompetitif dan mencabar. Persaingan bagi menarik pelaburan, pasaran, modal insan, sumber dan teknologi antara ekonomi-ekonomi dunia begitu sengit. Berlatarbelakangkan senario sebegini negara dan rakyat Malaysia tidak boleh sekali-kali alpa. Benar Malaysia telah mencapai kejayaan mentransformasikan negara dari sebuah ekonomi pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah ekonomi perindustrian berpendapatan sederhana tinggi namun kejayaan tersebut seperti yang dibuktikan tawarikh dunia bukan sesuatu yang kekal. Kejayaan sedia ada mampu menjadi landasan kepada pencapaian yang lebih baik iaitu sebuah negara maju berpendapatan tinggi atau jika kita tidak berhati-hati dan tidak melipatgandakan usaha ia berkemungkinan menjadi puncak penanda yang menyaksikan kemerosotan dan kejatuhan.
    2. Kejayaan kita sebelum ini menyaksikan ramuan-ramuan keharmonian perindustrian, keamanan, kestabilan politik, kedaulatan undang-undang, ketentuan dasar, perancangan yang rapi, pelaksanaan yang berkesan, daya saing yang tinggi, pengorbanan semua pihak, permuafakatan, semangat inovasi dan kreativiti. Sesungguhnya jalan untuk kita maju ke hadapan juga memerlukan elemen-elemen yang sama digabungjalinkan dengan kaedah yang terbaik.
    3. Negara kita, Malaysia, adalah antara negara yang berjaya mengekalkan keharmonian perindustrian dengan baik semenjak kita mencapai Kemerdekaan. Ini hasil kerjasama semua pihak, khususnya pihak pekerja, pihak majikan dan pihak Kerajaan dalam semangat kekeluargaan yang berteraskan prinsip tripartisme.
    4. Di negara-negara lain, termasuk negara maju, di Barat mahupun di Timur, mereka menyambut Hari Pekerja dengan rusuhan, mogok, piket dan perhimpunan di jalanan. Semua pihak perlu insaf bahawa pihak majikan yang mengutamakan keuntungan semata-mata sehingga sanggup mengeksploitasi pekerja mereka serta pihak pekerja yang bersifat ekstrem tanpa mengambil kira realiti semasa akan menjejaskan daya saing dan tarikan negara. Jika ini berlaku akhirnya semua pihak baik majikan, pekerja mahupun negara akan rugi.
    5. Justeru, saya menyeru agar para pekerja dan majikan di negara ini supaya terus memelihara keharmonian perhubungan perindustrian sehabis molek yang mungkin. Sekiranya terdapat ketidakpuasan hati,  bawalah ke meja perundingan, yang mana pintu perundingan dan keterlibatan untuk semua pihak sentiasa terbuka di negara kita. Kerajaan berjanji di mana yang sesuai akan menjadi “honest arbiter” demi kepentingan nasional. Marilah kita sama-sama mengekalkan keharmonian perindustrian yang kita warisi sebagai satu aset nasional.

Para pekerja Malaysia,

    1. Kita bercita-cita mahu mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Untuk siapakah sasaran ini dibuat? Ia tidak lain tidak bukan adalah untuk semua rakyat Malaysia. Kita mahu semua warganegara mendapat manfaat daripada kemakmuran pertiwi tercinta.
    2. Sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi kaum pekerja, mendengar keluh kesah serta mendakap aspirasi Tuan-Tuan dan Puan-Puan kerajaan amat prihatin bahawa masih terdapat golongan pekerja yang berpendapatan rendah dan sesetengah mereka masih tergolong dalam kategori miskin. Sekiranya kita ingin mencapai status negara berpendapatan tinggi, hakikatnya tidak wajar seorang pun di kalangan pekerja di negara ini yang masih tergolong dalam kategori miskin.
    3. Hakikatnya gaji pekerja sektor swasta masih di tahap yang sangat rendah. Contohnya Kajian Guna Tenaga Kebangsaan (NER) oleh Kementerian Sumber Manusia pada 2009 mendapati bahawa 33.8% pekerja bergaji di bawah RM700 sebulan yakni di bawah paras kemiskinan kebangsaan, RM800 sebulan pada masa ini.
    4. Kajian oleh Bank Dunia pula menunjukkan bahawa sejak 10 tahun yang lepas, kadar gaji di Malaysia hanya meningkat secara purata sebanyak 2.6% setahun, walaupun kadar produktiviti buruh (real labour productivity) meningkat sebanyak 6.7% setahun. Ini menunjukkan bahawa terdapat herotan (distortion) dalam pasaran buruh yang mengekang peningkatan kadar gaji sedangkan produktiviti dan kos sara hidup meningkat dengan cepat.
    5. Untuk sekian lama, semenjak kemerdekaan, gaji ditentukan oleh kuasa pasaran. Kuasa pasaran merupakan kaedah terbaik dalam menentukan gaji pekerja, dengan syarat bahawa kuasa rundingan antara majikan dan pekerja adalah setara dan seimbang. Malangnya ada kalanya kuasa pasaran tidak berfungsi secara saksama, sehinggakan gaji para pekerja masih berada di takuk yang sangat rendah. Di sinilah peranan kerajaan sebagai pengantara yang adil diperlukan bagi memastikan keadilan sosial.
    6. Untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, meningkat dalam rantaian pengeluaran global serta keluar dari perangkap negara berpendapatan sederhana, Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada kelebihan persaingan kos buruh yang rendah dalam industri yang berintensif buruh. Kita tidak mungkin dapat bersaing dengan negara-negara lain yang kos buruh yang jauh lebih rendah. Malaysia harus beralih kepada industri berintensif teknologi, pengetahuan dan modal, yang mementingkan tenaga mahir. Justeru, apakah langkah atau intervensi yang wajar diambil oleh Kerajaan?
    7. Suatu “game changer”  perlu berlaku. Transformasi dalam pasaran buruh ialah jawapannya. Justeru, dalam usaha menangani isu gaji rendah dan kos sara hidup yang meningkat bagi pekerja sektor swasta, Kerajaan pada prinsipnya bersetuju agar gaji minimum peringkat kebangsaan dilaksanakan. Langkah ini amat bertepatan sekali, memandangkan Kerajaan juga telah meningkatkan gaji sektor awam antara 7 hingga 13 peratus seperti yang telah saya umumkan baru-baru ini.

Para pekerja Malaysia,

    1. Semasa Pembentangan Bajet 2011, saya telah mengumumkan penubuhan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sebagai platform utama dalam penetapan upah, termasuk menentukan kadar dan mekanisme pelaksanaan gaji minimum di negara ini.
    2. Susulan daripada itu, gerak kerja telah dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia bersama rakan tripartite dalam merangka dan menggubal perundangan yang berkaitan. Hasilnya, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 telah digubal dan diluluskan oleh Parlimen pada sesi Jun/Julai 2011. Akta tersebut diwartakan pada 15 September 2011 dan seterusnya Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) telah ditubuhkan pada 28 September 2011.
    3. Majlis tersebut telah memulakan kerja sebaik sahaja ditubuhkan dan saya difahamkan bahawa perbincangan dalam Majlis melibatkan perdebatan yang mendalam dan hangat dalam suasana semangat tripartite. Alhamdulillah, Majlis Perundingan Gaji Negara setelah melalui siri perbincangan akhirnya berjaya mencapai kata sepakat, bersetuju secara consensus untuk membuat syor kadar dan liputan gaji minimum kepada Kerajaan. Penetapan kadar gaji minimum yang disyorkan itu adalah berdasarkan keperluan asas sesebuah keluarga pekerja, keupayaan majikan untuk membayar gaji, peningkatan produktiviti, peningkatan kos sara hidup dan kedudukan pasaran buruh negara.
    4. Syor oleh Majlis telah ditimbang oleh Kerajaan, dan Kerajaan bersetuju dengan syor itu dengan sedikit pengubahsuaian. Justeru, bersempena Sambutan Hari Pekerja 2012, yakni pada keesokan hari, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan kadar dan liputan gaji minimum sebagai hadiah istimewa daripada Kerajaan Persekutuan kepada seluruh warga pekerja di negara tercinta ini.

Pertama:

Gaji minimum akan meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali pekhidmat domestik, yakni pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya.


Kedua:

Kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM900 sebulan atau RM4.33 sejam, sementara bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam. Kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan supaya gaji minimum yang ditetapkan ini tidak membebankan majikan dan tidak merugikan para pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.

Ketiga:

Tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah 6 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan. Walau bagaimanapun, untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil atau “micro enterprises” membuat persediaan sepenuhnya agar peniagaan mereka tidak terjejas, tempoh kuat kuasa bagi kategori ini ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.

Pengecualian 12 bulan ini tidak meliputi kepada firma profesional seperti klinik-klinik pergigian dan perubatan, firma guaman, firma arkitek, firma juru perunding dan sebagainya, walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja 5 orang atau kurang. Mereka mesti mematuhi gaji minima ini dalam masa 6 bulan.

    1. Pemberian tempoh masa yang mencukupi ini adalah supaya majikan dapat membuat persediaan secukupnya bagi menstrukturkan semula gaji pekerja dan operasi perniagaan masing-masing. Kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon pelanjutan tempoh peralihan.

Para pekerja Malaysia,

    1. Kerajaan menyedari dan amat prihatin terhadap tuntutan para pekerja supaya gaji minimum ditetapkan pada paras antara RM1,200 hingga RM1,500. Namun untuk permulaan ini, sebagaimana syor Majlis dan kajian oleh Bank Dunia, gaji minimum tidak boleh ditetapkan terlalu tinggi. Sekiranya gaji minimum ditetapkan melebihi tahap RM900 (yakni gaji pokok) kesannya dijangka menjejaskan ekonomi, pasaran buruh dan kemasukan pelaburan asing. Sekiranya perkara ini berlaku, industri tidak boleh beroperasi sewajarnya dan dikhuatiri ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan. Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku, kerana ini akan menjejaskan kebajikan pekerja dan kepentingan nasional..
    2. Kerajaan juga sedar bahawa menetapkan kadar gaji minimum yang berbeza antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mendedahkan Kerajaan kepada tohmahan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan pekerja di negeri dan wilayah tersebut. Perbezaan gaji antara dua wilayah ini terpaksa dilakukan kerana perbezaan struktur upah dan kos sara hidup yang ketara.
    3. Walaupun begitu, untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang, Kerajaan berharap kadar gaji minimum bagi negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dapat diselaraskan dengan kadar gaji minimum bagi Semenanjung. Akhirnya hanya ada satu kadar gaji minimum untuk seluruh negara.
    4. Kadar ini akan sentiasa dikaji dari semasa ke semasa. Ia bergantung kepada tingkat kemakmuran negara, daya saing nasional dan produktiviti Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian. Jika kemakmuran negara semakin meningkat, daya saing nasional bertambah baik seperti yang dicerminkan laporan-laporan global serta produktiviti pekerja Malaysia terus bertambah baik maka tidak ada sebabnya gaji minimum kekal statik. Matlamat kita adalah bagi memastikan gaji minimum akan sentiasa berada di atas garis kemiskinan negara.

Rakyat Malaysia sekalian,

    1. Kenapakah Malaysia hari ini diiktiraf sebagai sebuah negara yang berjaya oleh dunia. Kita bukan sahaja sebuah negara yang semata-mata mempunyai pendapatan per-kapita yang sederhana tinggi tetapi juga mempunyai taraf dan kualiti kehidupan yang amat baik. Ini berjaya dicapai kerana perancangan rapi dan pelaksanaan berkesan oleh kerajaan yang ada.
    2. Kerajaan boleh melakukan ini semua kerana negara yang aman damai dan politik yang stabil. Semenjak merdeka sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan telah menjadi teras utama pemerintahan negara. Berpandukan falsafah persekutuan, prinsip ketertinggian perlembagaan dan kedaulatan undang-undang kehendak rakyat dicerminkan melalui peti undi. Pembaharuan dan perubahan telah berlaku secara tertib dan aman. Kita mahu keadaan ini berterusan walau parti atau gabungan parti mana pun yang diamanahkan oleh rakyat untuk membentuk kerajaan.
    3. Tindakan golongan tertentu menimbulkan keraguan kepada institusi ciptaan perlembagaan kepada keadilan institusi-institusi ini serta kepada sifat kekecualian mereka kebelakangan ini hanya mencerminkan hanya satu perkara. Ketakutan dan kebimbangan golongan ini untuk menyerahkan nasib mereka untuk ditentukan rakyat apabila tiba masanya. Menyedari bahawa mereka tidak mendapat sokongan rakyat maka mereka cuba untuk menimbulkan keraguan terhadap wibawa institusi-institusi yang dipersoalkan. Bahawa mereka juga telah mendapat kejayaan di bawah seliaan institusi-institusi ini tidak pula ditimbulkan.
    4. Bahayanya tindakan ini ialah apabila wibawa institusi-institusi ini dicemar maka jika mereka berjaya mencapai matlamat politik mereka kejayaan mereka juga bakal dipersoalkan dan diragui. Jangan hanya berani berselindung di sebalik anarki melalui keganasan gerombolan jalanan beranilah untuk bersaing di gelanggang demokrasi dan pasaran idea secara adil, bebas dan kompetitif secara adil.  Bersedialah untuk diteliti dan dihakimi rakyat Malaysia berdasarkan wawasan, idea, dasar, program dan “track record” yang ada. Janganlah kerana singkat fikiran kita mengikut hawa nafsu dan sanggup mengorbankan masa depan negara dan warganya. Jangan sekali-kali rosakkan masa depan anak-anak Malaysia.

Para pekerja Malaysia

  1. Marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga dan idea bagi mencipta Malaysia yang lebih baik, Malaysia di mana anak-anak kita dapat membina kehidupan yang lebih baik bagi mereka dan anak-anak mereka. marilah kita mencipta sebuah Malaysia di mana gaji serta upah yang adil akan diberi untuk sebarang pekerjaan, di mana eksploitasi dan ekstremisme perindustrian merupakan perkara yang lapuk.
  2. Kita telah memulakan perjalanan perubahan dan pembaharuan kita ini berpandukan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, dengan merangka dan melancarkan Dasar Transformasi Nasional yang merangkumi Program Transformasi Kerajaan dengan 7 NKEA, Program Transformasi Ekonomi dengan 12 NKEA dan 131 EPP, Model Baru Ekonomi dengan 8 SRI, program Transformasi Politik dan Program Transformasi Luar Bandar. Pengumuman gaji minimum pada malam ini ialah pelengkap kepada Dasar Transformasi Nasional ini ke arah mencapai wawasan sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
  3. Akhir kata marilah kita berdoa kepada Tuhan agar negara tercinta Malaysia sentiasa diberkatinya dan usaha mulia kita bagi mencipta masa depan yang berteraskan keamanan dan keadilan sosial akan dikurniakannya.

Selamat Menyambut Hari Pekerja 2012.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches