13 September, 2013

Majlis Perasmian Bangunan Baru Utusan Melayu


PENDAHULUAN

Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapat kita berhimpun pada petang ini untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat Utusan Melayu.

Jika di sorot rentetan sejarah penubuhannya, Utusan Melayu merupakan sebuah syarikat milik orang Melayu yang telah begitu lama berjasa kepada negara kita. Utusan Melayu ialah syarikat akhbar yang ditubuhkan atas semangat kebangsaan Melayu. Ia lahir dengan segala pahit maung dan susah payah, tetapi terpahat di atas namanya satu wawasan bangsa.

Syarikat ini telah melalui zaman-zaman sukar penubuhannya pada tahun 1938 di Singapura ketika tanah air kita masih dijajah. Ia kemudian melalui zaman ketika pemimpin-pemimpin Melayu UMNO sedang berjuang untuk menentang penubuhan Malayan Union pada Tahun 1946.

Sejak itu, Syarikat Utusan Melayu, melalui akhbar pertamanya, iaitu Utusan Melayu, terus bersama-sama pemimpin Tanah Melayu berjuang melalui penerbitan berita dan artikel-artikel berbentuk patriotik serta semangat cintakan negara bagi sama-sama menuntut kemerdekaan pada ketika itu.

Malah sehingga hari ini, ia terus memainkan peranan dalam menyampaikan wadah kepada rakyat Malaysia.

Kini, sudah 75 tahun Utusan Melayu melaksanakan visi pengasas-pengasasnya, memegang amanah dalam membela nasib dan bangsa Melayu dan Malaysia melalui pelbagai naskhah-naskhah terbitannya.

Peranannya diperakui dalam membuka minda rakyat kepada maklumat-maklumat mutakhir, baik mengenai politik, ekonomi, pentadbiran, kerajaan, jenayah, hiburan, sukan dan sebagainya.

UTUSAN MELAYU

Utusan Melayu mengasuh, mengasah dan mengasak fikiran pembaca, dan dalam proses itu tidak pernah berundur daripada tanggungjawab menyebarkan idea-idea yang bersifat penyatuan kebangsaan. Lebih penting lagi, Utusan Melayu sentiasa mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, sebagai Undang-undang tertinggi negara. Justeru, bagi pihak kerajaan, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan Utusan Melayu selama ini.

Umpama minyak setitik, di laut sekali pun timbul jua, Utusan Melayu terus kental dengan teras perjuangan dan pendirian tidak berbelah bahagi untuk membela untung nasib bangsanya yang telah digariskan dengan jelas dan berani sejak penubuhannya.

Tidak syak lagi, bangunan baru Ibu Pejabat Kumpulan Utusan ini menjadi satu simbol penting dalam sejarah penubuhan Utusan Melayu. Sudah pasti juga, bangunan baru ini memperlihatkan Utusan Melayu bakal melangkah lebih maju melalui penghasilan karya-karya yang berkualiti kepada masyarakat.

Walaubagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati dengan sejarah semata-mata. Kita harus mencapai sesuatu yang lebih hebat, lebih besar serta lebih mengagumkan. Walaupun telah banyak titik kejayaan dicapai oleh Kumpulan Utusan Melayu ini dalam tempoh 7 dekad lalu, diharapkan ia tidak menjadikan kita terlalu selesa, sebaliknya menjadi motivasi dan pembakar semangat untuk terus menempa kejayaan pada masa-masa akan datang.

Para pemegang saham, pihak pengurusan kanan, para pengarang dan wartawan serta semua petugasnya perlu berusaha lebih gigih memastikan syarikat ini terus diuruskan dengan cara yang dapat menyahut cabaran perniagaan pada era ini. Utusan Melayu perlu kompetitif dan sentiasa bergerak mengikut perubahan zaman.

Dalam dunia yang berubah pantas, dengan kemudahan kepada akses Internet dan media sosial, kita perlu menyediakan respons yang komprehensif kepada cabaran-cabaran baru ini. Utusan Melayu perlu menguasai media baharu serta berusaha menentukan ia sentiasa menerajui perubahan dalam setiap segmen perniagaan yang diceburinya.

Kalau ia telah pun dapat melalui 75 tahun yang begitu mencabar, tidak ada sebarang sebab untuk Kumpulan Utusan Melayu tidak boleh berada di hadapan dalam bidang perniagaan.

PERANAN MEDIA SEBAGAI EJEN PERPADUAN

Sesungguhnya, media massa mempunyai peranan yang begitu penting dalam pembangunan negara. Melalui maklumat yang disampaikan kepada masyarakat, media sebenarnya mempunyai peranan dalam mencorak pemikiran masyarakat. Melalui dialog, kritikan serta hujah yang diterbitkan, media adalah sumber penting masyarakat dalam mendapatkan maklumat yang mutakhir dan terkini. Oleh itu, jalankan tugas serta tanggungjawab kita dengan penuh rasa amanah dan telus, demi perpaduan dan kesatuan Malaysia.

Bagi pihak Kerajaan pula, peranan media sudah tentulah penting dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat tentang segala dasar, agenda, dan prakarsa yang dilaksanakan untuk masyarakat Malaysia. Sebagai Perdana Menteri, sudah tentu saya mahukan peranan yang dimainkan oleh media ini akhirnya membawa kepada perpaduan rakyat. Ini kerana jika kita melupakan kebersamaan ini, akan retaklah masa depan negara kita.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan sekalung tahniah dan syabas sekali lagi kepada Kumpulan Utusan Melayu yang merayakan ulang tahun penubuhannya yang ke-75 tahun. Pengasas-pengasas Utusan Melayu yang menubuhkan dan mengembangkan syarikat ini pasti amat berbangga dengan apa yang dicapai dan diperjuangkan oleh Utusan Melayu. Semoga Allah S.W.T memberikan rahmat kepada roh-roh mereka yang terlebih dahulu meninggalkan kita dan memberikan sebaik-baik balasan kepada segala jasa baik mereka.

Ayahanda saya, Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Razak, yang merasmikan bangunan tambahan Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur ini, pada 22 Jun 1972, kira-kira 41 tahun lalu, dalam ucapannya mengingatkan ahli-ahli lembaga pengarah, pihak pengurusan dan para petugas syarikat ini pada waktu itu supaya menjaga baik-baik Utusan Melayu yang merupakan khazanah orang Melayu.

Saya petik kata-kata Ayahanda saya: “Maka wajiblah dan menjadi tanggungjawab saudara-saudara yang mewarisi pusaka ini daripada penaja-penaja dan pengasas-pengasas syarikat ini yang sekarang menjadi pusaka orang Melayu, supaya perusahaan ini kekal menjadi satu institusi, satu lambang kebolehan dan kemampuan anak-anak Melayu untuk berdikari.” Itulah juga pesanan saya.
PENUTUP

Dalam kita menghargai zaman silam, kita juga perlu sentiasa mengenal pasti, menilai dan mengkaji setiap langkah dan melakukan penambahbaikan kepada apa yang sedang kita lakukan sekarang bagi menjamin kejayaan kepada apa yang telah direncanakan. Semoga Kumpulan Utusan Melayu akan terus maju pada tahun-tahun mendatang.

Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan bangunan baharu Ibu Pejabat Kumpulan Utusan Melayu.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches