22 April, 2014

Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia 2014


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Yang Amat Berhormat Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yaacob;

Menteri Besar Kelantan,

Yang Amat Berbahagia Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid;

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB),

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman;

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB,

Pengarah Urusan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-syarikat Kumpulan PNB,

Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri,

Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin

Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah izin dan kurnia-Nya, dapat kita sama-sama berkumpul pada hari ini di Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014.

2. Saya mengucapkan terima kasih kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) kerana telah sudi menjemput saya ke majlis ini. Tahniah saya ucapkan kepada PNB dan Rakan-Rakan Minggu Saham Amanah Malaysia, kerana telah berjaya menganjurkan agenda pendidikan pelaburan negara bagi tahun yang ke-15 berturut-turut.

3. Tahun ini, saya dimaklumkan MSAM tampil dengan tema baharu iaitu Pelaburan 360. Tema yang dipilih ini seperti yang dimaklumi kepada saya mempunyai beberapa pengertian dan maknanya tersendiri. Pertama, dari aspek penglibatan segenap kelompok masyarakat termasuklah kanak-kanak hinggalah orang dewasa; sektor awam, sektor swasta, golongan profesional dan sebagainya. Saya difahamkan setakat ini program telah menarik 2.6 juta pengunjung. Kedua, pendekatan penjelajahan MSAM juga tampak menyeluruh termasuklah merentasi seluruh negara dari Perlis hinggalah ke Sabah. Alhamdulillah, natijah daripada progam penjelajahan MSAM ini, masyarakat telah mula faham dan sedar akan peri penting pelaburan dan perancangan kewangan.

MEREALISASIKAN AGENDA MAQASID AL-SYARIAH

Hadirin dan hadirat sekalian,

4. Pelaburan dan perancangan kewangan merupakan satu dimensi penting dalam agenda transformasi dan pembangunan ekonomi negara. Malah untuk memacu negara ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi, negara tentunya memerlukan lebih ramai warganya yang benar-benar celik dan terlibat aktif dalam pelbagai inisiatif pelaburan dan pengurusan kewangan.

5. Ini juga merupakan sebahagian tuntutan Islam terutamanya dalam merealisasikan falsafah dan prinsip Maqasid al-Syariah atau “Matlamat Syarak” yang selama ini menjadi teras agenda pembangunan Negara. Salah satu matlamat Syariah selain daripada pemerkasaan dan pemeliharaan agama, nyawa, akal dan keturunan, aspek pemeliharaan dan pengurusan harta turut ditekankan kerana ia juga merupakan sumber terpenting kekuatan umat Islam.

6. Jika tidak, mana mungkin junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, secara simboliknya membina pasar selepas masjid tatkala berhijrah ke Madinah dalam rangka membina sebuah tamadun umat yang gemilang. Bahkan Baginda SAW sendiri yang mentarbiyah umat Islam perihal perniagaan dan pengurusan harta, yang dulunya terpaksa bergantung kepada puak Yahudi yang hanya merupakan kaum minoriti di Madinah. Atas sebab inilah dalam disiplin ilmu Islam, aspek Muamalah Maaliah atau pengurusan harta berkembang sebagai satu cabang ilmu penting yang diletakkan pada kedudukan yang sama tarafnya dengan aspek ibadah.

MEMPELOPORI AGENDA PEMERKASAAN MUAMALAH ISLAM

Hadirin dan Hadirat sekalian,

7. Memahami hakikat inilah, sebagai salah satu daripada agenda memartabatkan Syiar dan Syariat Islam di negara ini, kerajaan telah mempelopori inisiatif pemerkasaan muamalah Islam dengan membangunkan sistem perbankan dan kewangan berasaskan prinsip Syariah, yakni bebas daripada unsur-unsur yang diharamkan oleh Allah seperti riba, gharar dan maisir.

8. Perkembangan muamalah kewangan Islam di Malaysia hakikatnya bermula seawal tahun 1962 dengan penubuhan Tabung Haji yang diberi mandat untuk menguruskan dana-dana masyarakat Islam. Ini bertujuan untuk membolehkan mereka menunaikan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji. Namun kerajaan mengorak langkah dengan lebih jauh untuk menubuhkan institusi perbankan Islam yang pertama, apabila pada 30 Julai 1981, kerajaan telah membentuk Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bank Islam yang dipengerusikan oleh Tan Sri Raja Mohar bin Raja Badiozaman dan Tabung Haji sebagai pihak urus setia.

9. Akhirnya berpandukan kajian dan saranan jawatankuasa ini, Parlimen meluluskan Akta Bank Islam 1983 yang membuka jalan kepada penubuhan Bank Islam pertama di Malaysia. Sebagai rekod, Malaysialah antara negara terawal yang membangunkan institusi kewangan Islam di kala negara-negara Islam lain belum begitu yakin untuk mewujudkan institusi kewangan yang “Patuh-Syariah” (Shariah Compliance) dan bebas daripada riba.

10. Selepas daripada itu kerajaan tidak lagi menoleh ke belakang dengan menjadikan agenda pembangunan sistem kewangan Islam yang berteraskan falsafah dan prinsip Syariah sebagai salah satu hala tuju terpenting untuk memperkasakan umat Islam. Alhamdulillah, inisiatif kerajaan ini membuahkan hasil besar apabila Malaysia kini menjadi pusat rujukan antarabangsa bagi pembangunan Sistem Kewangan Islam yang “Patuh-Syariah”.

MEMBANGUNKAN SISTEM KEWANGAN ISLAM YANG HOLISTIK

Hadirin dan Hadirat sekalian,

11. Malaysia bukan sahaja dikenali sebagai negara pelopor bagi industri perbankan dan kewangan Islam, malah kita satu-satunya negara di dunia yang membangunkan sistem kewangan Islam secara holistik dan komprehensif. Dalam erti kata lain, sistem kewangan Islam kita ini bukan sahaja menawarkan kerencaman produk-produk kewangan Islam yang “Patuh-Syariah” dan memenuhi keperluan masyarakat, malah Malaysia turut membangunkan pelbagai prasarana dan infrastruktur kewangan termasuklah membangunkan Pasaran Perbankan Islam, Pasaran Takaful dan Re-Takaful, Pasaran Modal Islam, Pasaran Sukuk dan Pasaran Kewangan Islam.

12. Dalam konteks pendidikan, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia juga telah memperuntukkan sejumlah RM500 juta untuk menubuhkan sebuah universiti khusus untuk membangunkan sumber daya yang berkualiti demi mengembangkan lagi industri perbankan dan kewangan Islam. Universiti yang dikenali sebagai International Centre for Islamic Finance Education (INCEIF) ditubuhkan pada tahun 2006 menawarkan tiga kursus utama iaitu Certified Islamic Finance Profesional, Sarjana Kewangan Islam dan PhD Kewangan Islam.

13. Di samping itu juga, peruntukan sebanyak RM200 juta juga disalurkan untuk menubuhkan pusat penyelidikan Syariah bertaraf antarabangsa yang dikenali sebagai Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) yang berperanan menjalankan kerja-kerja penyelidikan bagi memastikan seluruh komponen kewangan Islam termasuk sektor perbankan dan permodalan benar-benar menepati prinsip Syariah dan Maqasid al-Syariah.

14. Keseriusan kerajaan dalam memperkasa dan memartabatkan sistem kewangan berteraskan Syariah ini turut dapat dilihat daripada pelbagai inisiatif urus tadbir (governance) dan perundangan yang meletakkan kedudukan hukum Syariah pada kedudukan tertinggi dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Sehinggakan jika didapati mana-mana institusi kewangan Islam yang disabitkan melanggar prinsip pematuhan Syariah dalam aktiviti dan pengendalian urusniaganya, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 8 tahun atau didenda tidak melebihi RM25 juta atau kedua-duanya.

PENERAJU DAN RUJUKAN KEWANGAN ISLAM GLOBAL

Hadirin dan Hadirat sekalian,

15. Inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan inilah antara faktor utama Malaysia sehingga hari ini mendapat perhatian dan menjadi rujukan dunia sama ada dari aspek pengoperasian kewangan Islam dan dari sudut Urus-Tadbir Syariah (Shariah Governance). Semua ini adalah manifestasi ilitizam kerajaan bagi memastikan falsafah dan prinsip Maqasid al-Syariah dalam pemerkasaan dan penjanaan sistem Muamalah Islam dapat direalisasikan. Akhirnya yang kita impikan adalah satu sistem kewangan Islam yang benar-benar gah bukan sahaja pada label dan logo Islamnya semata-mata tetapi memenuhi intipati dan roh Islam sejati.

16. Sehingga hari ini, Malaysia masih kekal sebagai peneraju global dalam pasaran sukuk antarabangsa dengan nilai penerbitan sukuk melebihi USD 82.4 billion pada 2013 iaitu 68.8% daripada jumlah penerbitan sukuk di peringkat antarabangsa. Malah aset-aset perbankan Islam juga menunjukkan pertumbuhan yang begitu hebat sehingga mencapai 16.5% dengan penguasaan pasaran berjumlah 25.7% daripada jumlah keseluruhan aset sistem perbankan pada 2013. Jumlah urusniaga berasaskan matawang asing yang diurusniagakan di Bank-Bank Islam Antarabangsa juga meningkat kepada RM18.1 billion pada 2013 berbanding RM14.6 billion pada 2012. Angka-angka ini memberikan indikasi penting bahawa urusniaga kewangan Islam berpandukan Syariah kini semakin mendapat tempat dalam masyarakat bukan sahaja dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa.

17. Terbaru, Bank Dunia juga menyatakan hasrat membuka cawangan pejabatnya di Malaysia dengan meletakkan salah satu objektif utama mereka untuk menimba pengalaman dan pengajaran daripada Malaysia dalam membangunkan sistem kewangan Islam. Ini juga merupakan satu lagi pengiktirafan betapa Malaysia kini menjadi model, peneraju dan pelopor utama dalam agenda memartabatkan Sistem Kewangan berasaskan Syariah di pentas antarabangsa.

MENYEMARAK KEWANGAN ISLAM DAN EKONOMI BUMIPUTERA

Hadirin dan Hadirat sekalian,

18. Saya mengalu-alukan iltizam dan inisiatif PNB untuk mengembangkan portfolio pelaburannya yang mematuhi Syariah. Umpamanya salah satu portfolio penting syarikat PNB iaitu Maybank telah menunjukkan pertumbuhan pesat aset perbankan Islam, menerusi Maybank Islamic yang berkembang dari segi jumlah aset daripada RM3.6 bilion kepada RM127 bilion, dan kini tersenarai sebagai bank Islam komersial ketiga terbesar di dunia dari segi jumlah aset dan paling besar di Asia Tenggara.

19. Komitmen dan inisiatif sebegini tentunya mempunyai makna besar kepada masyarakat yang kini begitu prihatin terhadap aspek pematuhan Syariah dalam urusniaga pelaburan mereka.

20. Apa yang pasti peranan PNB dalam memperkasakan ekonomi Bumiputera adalah suatu yang tidak boleh disangkal sama sekali. Kaum Bumiputera yang pada awal kemerdekaan hidup dalam suasana kedhaifan dengan 75% berada dibawah tahap kemiskinan, bahkan pada 1970 hanya mempunyai pegangang ekuiti sebanyak 2 peratus.

21. Namun penubuhan PNB oleh kerajaan sebagai satu instrumen penting Dasar Ekonomi Baru telah berjaya membantu dasar tersebut menstruktur semula masyarakat menerusi pemilikan saham Bumiputera dalam pelbagai sektor korporat, seterusnya memberi ruang kepada profesional Bumiputera untuk menyumbang secara langsung dalam penciptaan dan pengurusan kekayaan negara.

22. Ternyata selepas 36 tahun, lebih RM267 billion dana-dana pelabur dari kalangan rakyat diuruskan dengan cemerlang oleh PNB menerusi unit-unit amanah seperti ASN, ASB, ASM, AS 1Malaysia dan dana proprietari, sekaligus menguasai pelbagai sektor strategik yang dulunya tidak pernah dimimpi untuk kaum Bumiputera berpartisipasi. Inovasi yang membolehkan rakyat menjadi pemegang saham walaupun hanya serendah RM10 sahaja, menjadikan PNB sebagai Institusi Rakyat Marhain yang paling berjaya hingga menjadi model kepada dunia luar.

23. Ini sekali lagi membuktikan komitmen kerajaan merealisasikan semangat Maqasid al-Syariah dalam konteks pengurusan kekayaan, memenuhi prinsip yang digariskan Allah dalam Surah Al-Hasyr ayat 7:

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

“Harta kekayaan tidak harus berlegar hanya dikalangan orang kaya di kalangan kamu”

24. Akhir kata, sekali lagi tahniah saya ucapkan kepada PNB dan ASNB serta syarikat-syarikatnya yang bertindak sebagai Rakan MSAM 2014, atas kejayaan menganjurkan satu lagi siri MSAM buat kali Ke-15. Harapan saya, MSAM ini akan menjadi platform pendidikan terbaik yang mampu meningkatkan kefahaman rakyat tentang pelaburan dan unit amanah, sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat pada keseluruhannya. Bagi pihak kerajaan, kita akan sentiasa menyokong serta mengalu-alukan usaha yang memberi manfaat besar kepada rakyat.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Minggu Saham Amanah Saham Malaysia 2014.

Sekian, wassalam dan terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches