10 March, 2010

Majlis Perasmian Pelancaran Tanjung Agas Real-Time Broadband


Bismillahhirrahmannirahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustaim Billah, DK, SSAP;
Pengerusi Tanjung Agas Technology,

YAB Dato Sri Hj Adnan bin Hj Yaakub;
Menteri Besar Pahang,

Yang Amat Mulia Kerabat-Kerabat Bergelar

YB Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang

Tan Sri-Tan Sri, Datuk Sri- Datuk Sri, Datuk-Datuk,

Ketua-ketua jabatan,

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tanjung Agas Technology Sdn Bhd di atas jemputan khas untuk merasmikan acara yang bersejarah ini iaitu Pelancaran Tanjung Agas Real-Time Broadband.

2. Sebulan yang lalu saya telah melancarkan Majlis Program Digital di Pekan. Program tersebut yang dikelolakan oleh MCMC bersama-sama dengan rakan-rakan dari industri telah menunjukkan satu inisiatif yang baik iaitu perkongsian bersama diantara badan awam dengan sektor swasta atau public-private partnership untuk menjayakan satu program di mana masyarakat di Pekan dapat mempelajari kegunaan dan kebaikan broadband atau jalur lebar untuk menafaat bersama. Maklum balas yang diterima adalah sungguh memberangsangkan dan kini pula dengan Pelancaran Tanjung Agas Real-Time Broadband ini, sudah tentu akan memberi kemajuan yang lebih dari segi persediaan ICT di Pahang khususnya dan di negara pada amnya.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

3. Infrastrktur ICT dan High Speed Broadband (Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi) adalah sangat penting dan mustahak bagi membantu Pembangunan Ekonomi Negara yang berteraskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi. Oleh yang demikian, adalah perlu bagi kita untuk meningkatkan kadar “Internet Pernetration” dari yang sedia ada iaitu 33% kepada 50% sebelum akhir 2010. Mungkin ada yang menganggap bahawa kita di Pahang ini agak kebelakangan dari segi infrastruktur ICT dan penggunaan Internet. Menurut maklumat dari MCMC, sasaran jalurlebar di negeri Pahang pada penghujung tahun 2009 adalah 14.1%, walaubagaimanapun sukacita saya sebutkan di sini bahawa kita dapat mencapai 17.3% kadar penembusan jalurlebar pada akhir tahun lepas. Kita patut berbangga bahawa masyarakat di Pahang nampaknya gemar menggunakan jalur lebar. Tetapi, para hadirin sekalian, kita perlu berusaha dengan lebih gigih lagi.

4. Oleh itu, pelaburan yang dilaksanakan oleh Tanjung Agas Technology Sdn Bhd ini bukan sahaja untuk mendokong keperluan di Tanjung Agas dan Pekan secara am nya tetapi ianya juga berkitar dan saya yakin akan membantu meningkatkan kadar “Internet Pernetration” yakni sehaluan dengan sasaran dan objektif Kerajaan didalam pembangunan ICT di negara ini.

5. Saya juga telah dimaklumkan bahawa visi Tanjung Agas Technology Sdn Bhd adalah untuk mengadakan dan memberi perkhidmatannya secara “Carrier Neutral” kepada semua pihak di dalam industri ini. Ini saya alu-alukan kerana ianya akan memberikan peluang kepada masyarakat di sini untuk memilih perkhidmatan dari pelbagai pemberi perkhidmatan. Saya difahamkan, pendekatan carrier neutral ini sememangnya telah diramalkan apabila kita menggubalkan Akta Komunikasi dan Multimedia, 1998.

6. Saya juga amat berbangga terhadap Tanjung Agas Technology Sdn Bhd kerana telah bergerak pantas bagi menyahut cabaran ini. Ini menujukkan inisiatif dan kegigihan mereka dan saya percaya ianya akan ada memberi manafaat kepada rakyat di kawasan Pekan ini dan seterusnya negeri Pahang amnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

7. Komitmen yang ditunjukkan oleh Tanjung Agas Technology Sdn Bhd seperti yang disebutkan oleh YAM Tengku Muda Pahang tadi telah meyakinkan saya bahawa mereka berada didalam kedudukan yang paling strategik untuk mengadakan “High Speed Broadband” bukan saja di Pekan malahan ditempat-tempat lain lagi. Inisiatif ini yang saya dimaklumkan yang bermula dari tahap fizikalnya seperti “Landing Stations” dan prasarana jalur lebar yang lain adalah mustahak di dalam “Broadband Supply Chain”. Untuk mencapai ke tahap 10mbps (mega bits per second) ke kediaman, ianya memerlukan teknologi inovatif seperti “micro fibre trenching techniques”, “broadband over power line”, “wireless solution” dan sebagainya.
8. Tetapi, infrastruktur sahaja tidak memadai. Infrastruktur dan perkhidmatan moden ini perlu digunakan sebaik-baiknya oleh orang ramai dan janganlah disalahgunakan.

9. Saya berharap sangat bahawa rakyat dinegara ini, terutamanya rakyat di Pahang, akan memanfaatkan ICT dan jalurlebar yang akan diusahakan oleh Tanjung Agas Technology serta pembekal-pembekal perkhidmatan yang lain. Gambaran awal amat menggalakkan dimana, saya dimaklumkan bahawa rakyat Malaysia lazimnya berada di tahap pengguna Internet tertinggi di dunia terutamanya dalam menggunakan social networking. Sebagai contoh, saya dimaklumkan, antara laman sesawang yang paling popular di Malaysia adalah Facebook, MySpace dan Friendster. Saya juga dapati, cuma beberapa hari yang lepas, Facebook saya mencapai lebih dari 100,000 peminat. Mungkin agaknya orang kita ini sememangnya gemar berhubung.

10. Disini saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mempelawa masyarakat supaya tidak sahaja menggunakan Internet dan jalurlebar untuk kegunaan sosial dan bersuka-suka tetapi juga cuba menggunakan kemudahan ini untuk mempertingkatkan keadaan ekonomi masing-masing dengan menjalankan aktiviti perniagaan secara online. Sebagai contoh, banyak juga laman-laman sesawang tempatan yang boleh kita gunakan untuk membolehkan kita menjalankan perniagaan atau mencari maklumat atau berhubung dengan kerajaan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

11. Tahun ini adalah Tahun Innovasi. Saya amat berharap kita dapat berinnovasi bersama untuk membangunkan ekonomi dan taraf hidup masyarakat kita melalui ICT dan jalurlebar. Sebagai contoh, saya teringat lagi semasa video pelancaran Digital Pekan itu ditayangkan, saya tertarik dengan bab video itu dimana seorang anak nelayan menggunakan Internet untuk memajukan perniagaan ikan keringnya untuk dijual diluar negara. Walaupun video tersebut hanyalah satu cereka, saya amat berharap ada anak Pahang yang akan merealisasikan cereka itu dan menjadi usahawan ikan kering dan pelbagai produk lagi melalui Internet.

12. Dengan pelancaran pada hari ini, jelas menggambarkan mesej yang ingin Kerajaan sampaikan kepada rakyat di negara ini, yakni, bahawa dengan jalur lebar dan innovasi kita dapat mengubah hidup kita terutamanya masyarakat diluar bandar untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

13. Akhir kata, Kerajaan Malaysia memang komited terhadap pembangunan ICT dan saya dengan ini mengucapkan setinggi penghargaan kepada YAM Tengku Muda Pahang dan Tanjung Agas Technology Sdn Bhd diatas segala inisiatif yang telah diambil bagi perkara ini.

14. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Tanjung Agas real-time broadband di Bandar Pekan.

Sekian, Wabillahitaufik Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches