27 February, 2012

Majlis Perasmian Program Pegawai Integriti Bertauliah


1.            Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya maka saya dapat berada di Majlis Perasmian Program Pegawai Integriti Bertauliah pada petang yang amat bermakna ini.

2.            Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana sudi menjemput saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Program Pegawai Integriti Bertauliah ini.

3.            Sesungguhnya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan di majlis ini menggambarkan kesungguhan dan keazaman kita semua untuk bersama-sama Kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam memerangi gejala rasuah ini. Ada kalanya, kesungguhan dan keazaman ini tidak hanya berputik daripada kata-kata tetapi memerlukan suatu tindakan untuk memastikan ianya benar-benar berjaya dikekang dan diperangi secara serius. Syukur alhamdulillah, usaha-usaha kita sejak sekian lama jelas telah membuahkan hasil, walaupun kita akui masih ada ruang untuk peningkatan dan penambahbaikan.

4.            Walau apa pun, yang perlu ditegaskan ialah komitment bahawa memerangi jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan merupakan agenda utama kerajaan. Saya sedar bahawa memerangi rasuah ini merupakan cabaran yang besar dan ranjau yang berliku, yang memungkinkan tindak balas oleh pihak-pihak tertentu yang selama ini begitu selesa dalam aktiviti tidak beretika lagi bersifat jenayah yang mereka fikirkan tersembunyi dari mata penguatkuasa undang-undang. Tapi kata orang sepandai-pandai tupai melompat akhirnya pasti jatuh ke tanah. Kepada golongan-golongan ini, saya ingin berpesan bahawa saat penentuan semakin hampir, kerana pihak berkuasa tidak akan berhenti dari usaha-usaha mereka membenteras jenayah dan salah laku, dan akhirnya yang melakukan kesalahan pastinya akan dibawa ke muka pengadilan.

5.            Kerajaan terus memandang rasuah sebagai musuh nombor 1 Negara dan kita akan bersama-sama akan memeranginya habis-habisan. Rasuah memusnahkan niat murni kerajaan membantu rakyat dan menggagalkan perlaksanaan dasar yang telah dirancang rapi. Justeru, demi rakyat dan masa depan negara, kita tidak boleh kompromi dalam membasmi rasuah. Ini menjadi kewajiban setiap dari kita yang berada di dalam kerajaan dan perkhidmatan awam, dan inilah sebenarnya jua kehendak rakyat. Rakyat menginginkan sebuah Kerajaan yang amanah, bersih dan berintegriti. Jauh sekali sekadar ungkapan kosong, bersih, beramanah dan berintegriti perlu diterjemahkan dan terserlah dalam segenap ruang perlaksanaan tugas dan tanggungjawab. Kita sedar bahawa rakyat pada hari ini mempunyai tahap pemikiran yang kritis dan tajam untuk menilai prestasi kerajaan dan pihak berkuasa. Dan tututan utama mereka ialah perubahan yang ketara dalam urus tadbir negara, termasuklah proses yang lebih telus dalam perlaksanaan dasar-dasar yang jelas meletakkan kesenangan dan kebajikan rakyat sebagai prioriti. Bertolak dari kesedaran tentang kehendak rakyat itulah, Kerajaan telah pun melaksanakan proses perubahan atau”transformasi” dalam dua bidang utama iaitu ekonomi menerusi Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).

6.            Proses transformasi ini amat penting dan signifikan memandangkan perubahan-perubahan dari segi dasar dan program-program yang diperkenalkan akan membawa negara ini mencapai status negara maju mengikut acuan kita sendiri iaitu rakyatnya hidup dalam penuh kemakmuran, keharmonian, bersatu padu dan berpegang kepada ajaran agama serta moral yang tinggi.

7.            Bagi mencapai matlamat itu, di bawah Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) sebanyak 6 Bidang Keberhasilan Negara atau (NKRA) telah diperkenalkan meliputi bidang-bidang kritikal yang perlu dititikberatkan kerana membabitkan banyak pihak terutama rakyat selain mengukuhkan jentera kerajaan menuju status berpendapatan tinggi, maju dan dinamik.

INISIATIF DI BAWAH NKRA RASUAH

8.            NKRA Membanteras Rasuah telah dikenal pasti sebagai salah satu bidang kritikal dan penting untuk diperhalus dan ditambah baik. Sebanyak 27 inisiatif telah pun diperkenalkan oleh Kerajaan bagi memperkukuhkan aspek pencegahan jenayah rasuah

9.            Pelbagai pencapaian inisiatif dapat dilihat sejak tahun 2010, antaranya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dikuatkuasakan sejak 15 Disember 2010, 14 buah Mahkamah Sesyen Rasuah telah ditubuhkan dan mula beroperasi pada 16 Februari 2011, akses rakyat kepada perwujudan pangkalan Data Pesalah Rasuah di laman web SPRM dan setakat ini telah memaparkan lebih 793 nama pesalah rasuah dan inisiatif-inisiatif lain yang masih dalam pelaksanaan. Ini termasuk proses pusingan kerja bagi individu dan jawatan-jawatan yang dianggap sebagai “hot spot” dilaksanakan untuk mengurangkan perhubungan dan mengelakkan wujudnya ruang dan peluang untuk melakukan perlakuan rasuah.

10.          Seterusnya, bagi memastikan setiap undang-undang di Malaysia telus dan mengambil kira pandangan setiap pihak sebelum ia di kuatkuasakan, Kerajaan menerusi Kementerian-Kementerian bercadang memaparkan setiap draf rang undang-undang di laman web Kementerian masing-masing bagi mendapatkan pandangan umum dan pihak yang terlibat bagi suatu tempoh yang ditetapkan kelak sebelum ia dimuktamadkan. Ini akan menangkis persepsi umum dan antarabangsa bahawa kononnya terdapat undang-undang yang hanya mengambil kira kepentingan sesetengah pihak sahaja.

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,

11.          Asas kepada semua tindakan membenteras rasuah ini ialah kebebasan SPRM sebagai sebuah agensi penguat kuasa yang diberi kuasa penuh oleh undang-undang bagi membanteras rasuah di Malaysia.

12.          SPRM bergerak ‘without fear or favour’, tanpa gangguan dari mana-mana pihak sekali pun. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menyiasat atau menghentikan siasatan ke atas mana-mana individu. SPRM bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang bentuk campur tangan atau halangan daripada mana-mana pihak. Justeru itu, tohmahan yang mengatakan SPRM mengikut telunjuk dan tunduk kepada Kerajaan adalah tidak benar sama sekali.

13.          Ini dibuktikan menerusi proses transformasi yang dilalui oleh SPRM. Perubahan dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya pada tahun 2009 sebenarnya merupakan proses perubahan yang amat radikal. Kenapa saya katakan radikal? Ini kerana menerusi kewujudan SPRM, struktur dan budaya kerjanya telah sama sekali berubah. Kewujudan lima entiti bebas yang dianggotai oleh seramai 42 orang tokoh daripada pelbagai latar belakang bidang termasuk ahli-ahli politik daripada pelbagai parti (termasuk Parti Kerajaan mahupun Pembangkang), bekas-bekas Hakim, ahli-ahli akademik, ahli-ahli NGO, peguam, tokoh-tokoh korporat dan bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan seperti bekas Ketua Audit Negara dan bekas Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam memperlihatkan bahawa SPRM pada hari ini sebenar-benarnya adalah sebuah Suruhanjaya yang benar-benar bebas. Sehubungan itu Kerajaan menerima teguran, nasihat dan pandangan-pandangan ini secara serius dengan hati terbuka kerana kita yakin bahawa yang dicadangkan oleh SPRM adalah untuk kebaikan masyarakat dan negara.

14.          Sepanjang tempoh penubuhan Suruhanjaya ini, saya telah pun menerima dua laporan tahunan daripada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang mengandungi pelbagai cadangan, pandangan dan perakuan yang melibatkan isu-isu berkaitan rasuah, keperluan dan proses penambahbaikan SPRM secara keseluruhannya. Kesemua pandangan, cadangan dan perakuan ini telah dibentangkan dalam Parlimen serta dibincangkan secara telus dan serius dalam mesyuarat-mesyuarat Jemaah Menteri.

15.          Saya amat menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh ahli-ahli dalam kelima-lima entiti pemantau ini dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan Kerajaan di atas sumbangan dan kesungguhan yang ditunjukkan.

16.          Tanggungjawab memerangi rasuah bukan tanggungjawab SPRM semata-mata. Untuk memastikan rasuah berjaya dihapuskan, sokongan dan penglibatan segenap lapisan masyarakat baik dari segi pimpinan politik, tokoh-tokoh korporat, NGO, ketua-ketua kampung, para Pendakwah, guru-guru, pelajar-pelajar dan seluruh masyarakat harus bersama-sama berganding bahu. Rasuah adalah jenayah dan rasuah hukumnya haram dan salah di sisi undang-undang dan agama. Justeru itu, usaha memerangi rasuah adalah jihad menentang kebatilan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

17.          Rasuah tiada kaitan dengan fahaman politik, kepartian, status, kedudukan mahupun bangsa seseorang. Ia merupakan suatu kesalahan yang amat serius, melanggar undang-undang negara dan hukum agama. Sesiapa yang terlibat dengan rasuah dan terbukti bersalah, wajar menerima hukuman. It’s as simple as that.Sebaliknya jika seseorang itu dituduh rasuah tanpa sebarang asas, malah tuduhan liar itu digunakan untukcharacter assassination tanpa sebarang bukti, itu juga kesalahan besar. Justeru itu, janganlah kita menggunakan rasuah sebagai senjata untuk menjatuhkan seseorang. Jika rasuah dipolitikkan, jika tindakan SPRM dipolitikkan ia akan membawa kepada natijah yang amat besar dan buruk. Agensi penguatkuasaan akan menjadi lemah kesan dek tekanan yang diberikan oleh pihak yang mempolitikkan isu rasuah. Janganlah kita babitkan SPRM ke dalam kancah politik. Agensi ini bukan parti politik. Mereka bertindak berlandaskan undang-undang dan bebas dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Apa yang penting kita harus memerangi perasuah dan bukannya agensi yang membanteras rasuah.

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,

18.          Pada petang yang bersejarah ini, kita bersama-sama meraikan perasmian satu lagi inisiatif penting pencegahan rasuah di mana satu program yang dinamakan Program Pegawai Berintegriti Bertauliah atauCertified Integriti Officer (CeIO) telah diperkenalkan hasil usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Syabas dan tahniah kepada SPRM di atas inisiatif ini.

19.          Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melalui Pusat Pembangunan Integriti Korporat pada tahun 2008 telah berjaya membangunkan satu program khas untuk melahirkan pegawai integriti bertauliah yang berperanan merancang, melaksana dan memantau keberkesanan program integriti dan pencegahan rasuah di sektor awam dan swasta. Ia amat penting bagi meningkatkan kecekapan dan integriti agensi kerajaan termasuk pihak swasta. Pegawai CeIO ini mampu menangani isu membabitkan integriti di sesebuah organisasi sehingga ke peringkat akar umbi.

20.          Saya difahamkan setakat hari ini, sebanyak lima buah agensi penguatkuasaan telah pun menubuhkan Unit Pematuhan yang diketuai oleh Pegawai Integriti Bertauliah ini iaitu Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan SPRM. Saya yakin dan percaya, bahawa semua agensi Kerajaan termasuk GLC akan membentuk dan mewujudkan unit pematuhan ini di agensi masing-masing dan kesemua Ketua Jabatan harus memandang serius akan program ini.

21.          Bagi Syarikat-Syarikat Kepentingan Kerajaan (GLCs), Pihak Khazanah telah pun menjalinkan persefahaman dan kerjasama erat dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia untuk membangunkan Program CEiO ini bagi melatih dan membentuk pegawai-pegawai CEiO di semua GLCs dan KLCs.

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,

22.          Salah satu daripada pandangan dan saranan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Mencegah Rasuah dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM adalah berkaitan isu Dana Politik.

23.          Bagi pihak Kerajaan, saya menganggap isu ini amat penting kerana jika tiada suatu dasar yang tepat, telus dan jelas mengenainya maka ia boleh membuka ruang dan peluang kepada perlakuan rasuah.

24.          Sebagai langkah proaktif, demi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan-pertubuhan politik di negara ini, Kerajaan akan memperkenalkan satu lagi inisiatif di bawah GTP yang bagi tujuan mengawal “Political Financing”. Inisiatif ini akan memberi penekanan bahawa setiap sumbangan yang ingin diberikan kepada mana-mana parti politik sama ada di peringkat pusat mahupun negeri hendaklah disalurkan melalui akuan rasmi parti. Ini bagi mengelakkan ahli-ahli politik menyalahgunakan nama parti untuk meminta atau menerima apa-apa sumbangan yang kemudiannya diselewengkan untuk kepentingan persendirian.

25.          Setiap sumbangan yang dihulurkan perlulah dikemukakan resit penerimaan dan dimasukkan ke dalam akaun parti. Menerusi rekod penerimaan yang teratur ia boleh diaudit pada tiap-tiap akhir tahun kewangan. Kerajaan percaya inisiatif seumpama ini akan mengelakkan sebarang bentuk perbuatan rasuah dan penyelewengan di peringkat akar umbi dan manfaat kepada sumbangan dapat disampaikan kepada segenap peringkat parti dan seterusnya rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,

26.          Kerajaan juga memandang serius kekangan dan kekurangan yang dihadapi oleh SPRM, khususnya dalam aspek keanggotaan dan bajet. Perkara ini sebenarnya telah dibangkitkan oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Lembaga Penasihat SPRM dalam pertemuan dengan saya.

27.          Saya difahamkan bahawa pada tahun 2008, jumlah keanggotaan pegawai BPR adalah seramai 1,840. Bagaimanapun apabila SPRM ditubuhkan keanggotaan pegawai SPRM tidak banyak berubah, malah mencatatkan penurunan dengan rekod keanggotaan pada Julai 2011 yang menunjukkan hanya 1,805 pegawai yang berkhidmat. Perkara ini amat membimbangkan dan menimbulkan persoalan. Bagaimana mungkin dengan jumlah keanggotaan yang terhad, SPRM boleh menjalankan tugas secara berkesan, tambahan pula bidang kuasa yang diperuntukkan mengikut Akta SPRM 2009 adalah lebih luas berbanding Akta sebelumnya iaitu Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang digunapakai sebelum penubuhan SPRM.

28.          Atas justifikasi inilah, saya bersetuju supaya pertambahan sebanyak 150 perjawatan diwujudkan setiap tahun sehingga jumlahnya mencecah kepada seramai 5,000 orang. Jumlah 150 orang setahun ini dibuat memandangkan proses pelantikan pegawai-pegawai SPRM bukan sebagaimana pegawai-pegawai kerajaan yang lain. Mereka memerlukan latihan dan kepakaran tertentu. Justeru itu, mereka perlu dilatih selama tempoh beberapa bulan untuk memastikan pengetahuan berhubung undang-undang dapat diperlengkap.

29.          Selain itu, pola jenayah rasuah kini sudah semakin kompleks dan semakin global dan merentasi sempadan. Justeru itu, SPRM sangat memerlukan kakitangan profesional dan pakar pelbagai bidang bagi membanteras rasuah sebegini. Antara bidang yang dikenal pasti memerlukan kepakaran profesional seperti forensik akaun, kejuruteraan, komunikasi, teknologi maklumat, undang-undang dan sebagainya.

30.          Saya bersetuju dengan pandangan Lembaga Penasihat SPRM bahawa bagi memperlihatkan kebebasan SPRM, maka satu Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah wajar diwujudkan. Suruhanjaya ini kelak akan diberikan kuasa untuk melantik dan memecat anggota SPRM. Buat masa ini, semua proses pelantikan dan pemecatan pegawai-pegawai SPRM dibuat menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau SPA. Sekiranya Suruhanjaya Perkhidmatannya terbentuk sebagaimana Suruhanjaya Polis dan Suruhanjaya Pendidikan maka SPRM boleh menapis, memilih, menemu duga, melantik dan memecat anggota-anggotanya sendiri. SPRM amat memerlukan badan khusus dalam pemilihan berdasarkan kualiti dan kredibiliti calon bagi melaksanakan tugas yang memerlukan kepakaran tertentu.

31.          Tetapi perkara ini memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan. InshaAllah sekiranya Barisan Nasional diberikan mandat 2/3 dalam PRU 13 akan datang, pindaan Perlembagaan sewajarnya akan dibuat dan Suruhanjaya Perkhidmatan ini akan dibentuk. Jika ia dapat dilaksanakan, maka ramai golongan profesional negara yang ingin berkhidmat dengan SPRM akan dapat berbuat demikian secara lebih mudah dan efisyen.

32.          Ini adalah antara perkara-perkara yang sedang kita kaji, dan ini juga termasuk status jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mungkin dicadangkan sebagai sebuah jawatan berdasarkan Perlembagaan Malaysia sebagaimana pelantikan jawatan Peguam Negara, Ketua Audit Negara dan Hakim-Hakim, bagi memastikan kebebasan dan ketelusan.

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,

33.          Berhubung langkah pengisytiharan harta yang dicadangkan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, ingin saya perjelaskan bahawa Kerajaan Barisan Nasional telah mengamalkan proses pengisytiharan harta tersebut jauh lebih awal berbanding yang lain. Setiap Anggota Pentadbiran diwajibkan mengisytiharkan harta diri dan keluarga terdekat kepada Perdana Menteri. Setiap tambahan atau pelupusan harta wajib diisytiharkan. Tambahan lagi kesemua pengisytiharan harta yang berkenaan dibuat secara berkanun(statutory declaration). Pada hari ini, saya menyahut seruan Lembaga Penasihat SPRM, dan bersetuju agar Ketua Pesuruhjaya SPRM mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran.

Tuan-tuan dan puan-puan,

34.          Sebelum mengakhiri ucapan pada petang ini, Izinkan saya menyampaikan sepatah dua kata kepada tetamu asing kita dalam Bahasa Inggeris

Excellencies, ladies and gentlemen,

35.          Since year 2009, I have introduced and announced a new approach towards transforming Government, through focusing on the 6 National Key Results Areas (or NKRAs), identified as being the most important areas for the benefit of the people and progress of the nation, and it would be an Administrative Reform to improve government accountability and strengthen civil service.

36.          It was, and still remains our strong determination to establish an effective institutional framework of good governance. Recognising the importance of “Fighting Corruption” not only to uphold the principle itself, but as a key factor in the development of the country and the increase in the welfare of its people, it has been made a priority by the Government under the GTP.

37.          And I am pleased to announce today our progress in establishing a unique programme, a foundation of good governance which is the programme to produce the Certified Integrity Officer (CeIO). This programme is a step ahead to ensure effective service delivery to our people, the set-up of which is with the purpose of monitoring an organisation’s internal affairs thus increasing its transparency.

38.          I congratulate especially the MACC and Corporate Integrity Development Centre of Malaysian Anti Corruption Academy for the excellent modules towards hosting of CeIO programmes that commenced from August to December 2010.

39.          The CeIO will be responsible for implementing and conducting reviews on integrity enhancement programs within the agencies to ensure transparency, efficiency and honesty and will determine whether Governments departments and agencies are achieving their purpose in an effective, efficient and lawful way. The CeIO will also ensure that officers are monitored and adhere to procedures in the conduct of their duties, reducing opportunities for abuse of power.

40.          I believe this is an importent milestone in our fight against corruption and I am delighted that all of our foreign guests are here with us today to share this achievement.

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,

41.          Saya menaruh harapan yang tinggi kepada Pegawai –pegawai Integriti Bertauliah ini untuk memberikan komitmen yang tidak berbelah dan bertindak sebagai Rangkaian Pegawai Integriti Bertauliah, yang pakar dalam bidang pencegahan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa; pembangunan integriti; dan menjadi pemangkin dalam organisasi-organisasi berkaitan bagi memupuk budaya kerja berintegriti dalam sektor awam dan swasta.

42.          Di sini, saya ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada SPRM dan seterusnya mengiktiraf Pusat Pembangunan Integriti Korporat [CIDC] di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia sebagaibadan tunggal yang melaksanakan program Pegawai Integriti Bertauliah

43.          Dengan itu , dan dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan ini secara rasminya melancarkan Program Pegawai Integriti Bertauliah 2012 dan dengan sukacitanya juga saya mengumumkan bahawa CeIO merupakan program tunggal yang diiktiraf bagi melahirkan Pegawai Integriti Bertauliah di Malaysia.

Sekian,Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches