19 April, 2012

Majlis Perasmian Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia, MAIWP – Hospital Putrajaya


1.            Merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada YB. Menteri Kesihatan dan YB. Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana mengundang saya dan isteri untuk merasmikan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) – Hospital Putrajaya pada petang yang berbahagia ini.

2.            Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan, dalam memastikan rakyat Malaysia berada dalam keadaan fizikal dan mental yang optimum. Antara inisiatif yang diambil oleh Kementerian Kesihatan yang mendapat manfaat untuk rakyat adalah penubuhan Klinik 1Malaysia pada tahun 2010.

3.            Bermula dengan klinik pertama yang dibuka di Flet Kampung Kerinchi pada 7 Januari 2010, kini 100 buah Klinik 1Malaysia telah beroperasi di seluruh negara yang sekaligus telah memberikan manfaat kepada hampir 4 juta rakyat Malaysia. Usaha penubuhan klinik ini merupakan bukti bahawa Kerajaan amat peka dan senstitif terhadap keperluan golongan berpendapatan rendah yang memerlukan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti pada harga yang amat rendah iaitu hanya sebanyak RM1.

4.            Setelah 3 tahun beroperasi, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan Klinik 1Malaysia, sebanyak 11 buah Klinik 1Malaysia akan ditempatkan dengan doktor atau pegawai perubatan.

5.            Penubuhan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia ini, merupakan satu lagi usaha kerajaan dalam menyediakan infrastruktur yang selesa kepada rakyat. Bukti bahawa kerajaan sentiasa peka dan prihatin dalam mendengar denyut nadi rakyat Malaysia.

6.            Syabas dan tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Bahagian Pengurusan Hartanah, Perbadanan Putrajaya, Jabatan Kerja Raya serta semua agensi yang terlibat dalam merealisasikan projek murni ini, melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang dapat menjimatkan kos dan masa untuk projek ini disiapkan.

7.            Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia ini hanya menelan belanja kurang daripada RM12 juta yang merangkumi kos-kos perolehan peralatan perubatan, bukan perubatan dan kenderaan serta pengubahsuaian bangunan. Kos ini merupakan satu penjimatan jika hendak dibandingkan dengan pembinaan hospital baru di satu kawasan baru, yang memerlukan peruntukan yang lebih tinggi melibatkan pengambilan tanah, pembinaan yang memakan masa lebih panjang dan membiayai kos buruh yang semakin meningkat.

8.            Selain daripada penjimatan dari segi wang ringgit, Strategi Lautan Biru yang diterapkan oleh agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan projek Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia ini juga telah berjaya menyingkatkan tempoh penyediaannya. Jika projek mendirikan hospital baru memakan masa bertahun lamanya untuk disiapkan, dengan strategi yang bijak yang dipraktikkan oleh agensi-agensi yang berkaitan, hanya lima bulan sahaja diperlukan dalam mewujudkan pusat bersalin ini. Syabas dan tahniah diucapkan.

9.            Saya difahamkan, pusat ini telah diubahsuai daripada 2 blok kuarters yang pada asalnya dibina untuk kakitangan kerajaan. Melalui pengubahsuaian ini, Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dewan bersalin yang berhawa dingin, Pusat Saringan Pesakit atau Patient Assesment Centre (PAC), bilik untuk pesakit antenatal dan postnatal, dan 24 buah katil untuk rooming in bagi pesakit pediatrik bersama penjaga mereka.

10.         Pusat ini juga, yang dilengkapi dengan kemudahan rawatan fototerapi di special care nursery serta klinik untuk perkhidmatan antenatal dan ginekologi diharapkan mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik dan selesa kepada masyarakat.

11.         Pusat ini akan menempatkan pakar obstetrik, ginekologi dan pediatrik yang bertugas pada setiap hari bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang berkualiti, profesional dan berkesan.

12.         Pusat Bersalin Berisiko Rendah ini juga mampu memberikan keselesaan dan persekitaran yang kondusif kepada ibu-ibu yang berisiko rendah untuk bersalin kerana suami dibenarkan untuk menemani pasangan masing-masing, selaras dengan polisi Hospital Putrajaya yang mengamalkan konsep husband-friendly hospital.

13.         Lebih istimewa, Pusat Bersalin Berisiko Rendah ini menawarkan perkhidmatan Kelas Satu pada bayaran Kelas Tiga. Dengan bayaran serendah RM3 di Pusat Bersalin Berisiko Rendah ini, rakyat dapat menikmati layanan dan perkhidmatan yang setaraf dengan kemudahan Wad Kelas Satu. Dengan caj rawatan serta perkhidmatan yang minimum, ia diharapkan dapat membantu mengurangkan beban rakyat.

Cadangan Pengumuman

14. Seperti yang diumumkan dalam ucapan Bajet 2012 pada 15 Oktober 2011 yang lalu, bagi menghargai jasa warga emas terutamanya untuk mereka mendapatkan kemudahan awam seperti perkhidmatan kesihatan, semua warga emas iaitu yang berumur 60 tahun ke atas telah dikecualikan daripada caj pendaftaran pesakit luar sebanyak RM1.00 di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia milik Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengecualian tersebut telah mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2012.

15.       Sebagai menunjukkan keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan dalam menjaga kebajikan warga emas, Kerajaan telah bersetuju untuk memberi pengecualian tambahan bagi caj pendaftaran sebanyak RM5.00 di Jabatan Pesakit Luar Pakar di hospital dan klinik Kerajaan dan juga pengurangan caj sebanyak 50% daripada kadar caj pesakit Kelas Tiga dengan caj maksimum sebanyak     RM250.00 sahaja bagi setiap kemasukan. Pengecualian ini akan berkuatkuasa mulai 1 Mei 2012.

16.       Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua agensi-agensi yang terlibat atas usaha gigih untuk mewujudkan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia ini. Pembangunan pusat ini adalah bersesuaian dengan hasrat Kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik yang berpaksikan rakyat.

17.       Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches